Saturday, May 31, 2003

Perkhemahan St John Ambulance

Ucapan Datuk Geoffrey Yee Lung Fook
31/5/2003

Saudara dan saudari yang dikasihi sekalian, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan terima kasih kerana menjemput saya untuk bersama-sama dalam majlis yang bersejarah ini.

Kejayaan perkhemahan ini menyaksikan sekali lagi peserta-peserta kursus ditingkatkan pengalaman dan pengetahuan. Saya berharap pengalaman baru serta pengetahuan baru yang diterima akan digunakan sepenuhnya dalam kegiatan persatuan St John Ambulance dan juga kehidupan saudara-saudari sekalian.

Ilmu dan pengetahuan yang dipelajari ibarat payung. Payung yang tertutup tidak ada gunanya. Sama juga dengan ilmu dan pengetahuan yang dipelajari, jika tidak digunakan adalah seperti payung yang tertutup. Oleh itu, kita haruslah menggunakan ilmu pengetahuan dan pengalaman untuk membawa kebaikan kepada diri kita sendiri dan juga orang lain.

Saudara-saudari sekalian,

Dalam masa dunia berada dalam kebimbangan kerana serangan wabak SARS, dunia juga turut sedar akan kegigihan, pengorbanan dan prihatin para doktor, jururawat dan petugas kesihatan. Mereka berada di barisan hadapan untuk memastikan wabak ini tidak terus merebak. Mereka menggadaikan nyawa dan kesihatan mereka demi kepentingan dan keselamatan kita semua.

Ini adalah satu contoh pengorbanan yang amat murni yang harus kita contohi. Sebagai ahli pertolongan cemas, ahli Persatuan St John Ambulance tidaklah terlibat dalam pengawalan wabak SARS secara langsung, tetapi mereka tetap dipandang mulia kerana mereka juga berada di barisan hadapan ketika berlakunya kecemasan seperti kemalangan jalanraya, bencana alam atau peperangan.

Oleh yang demikian, penglibatan diri dalam pertolongan cemas seperti St. John Ambulance bukanlah satu perbuatan yang dipandang rendah. Pengorbanan dan sumbangan mereka amatlah tinggi. Saya berharap lebih ramai lagi pemuda-pemudi akan melibatkan diri dalam persatuan pertolongan cemas. Kita bukan sahaja dapat mempelajari selok belok pertolongan cemas, berpeluang membantu orang dalam kesusahan malahan juga dapat belajar berdisiplin dan berdikari. Para belia yang pernah melibatkan diri dalam kegiatan yang sihat seperti ini juga jauh lebih tabah dan bersedia dalam mengharungi masa depan mereka yang penuh cabaran.

Untuk terus mendapat penghormatan dan penghargaan daripada masyarakat, para anggota pertolongan cemas haruslah sentiasa menjaga tingkah laku mereka agar sentisa menjadi contoh dan teladan kepada orang lain.

Tahniah dan syabas sekali lagi kepada semua ahli.

Terima kasih.