Sunday, April 11, 1999

Majlis Kesyukuran dan Suaikenal

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

11hb April 1998

Dewan SRJK( C ) Yuk Chin, Tawau.





Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan berbanyak-berbanyak terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri majlis Kesyukuran dan Suaikenal ini. Lebih membanggakan saya lagi ialah dapat beramah mesra dengan begitu ramai pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, pemimpin-pemimpin masyarakat dan ketua-ketua berbagai-bagai pertubuhan swasta dan sosial di Tawau.



Sememangnya itulah tujuan utama majlis kita pada malam ini. Saya berharap melalui majlis kita pada malam ini kita semua dapat mengambil kesempatan ini untuk bersuaikenal dan beramah mesra di antara satu sama lain, bertukar-tukar pendapat dan pandangan serta mengenali dengan lebih mendalam akan tugas dan tanggungjawab semua pihak. Jika wujud perasaan salah sangka selama ini di antara satu agensi dengan agensi yang lain, saya harap perasaan salah sangka ini dapat diselesaikan dan dikikis sama sekali.



Tidak dapat dinafikan setiap orang mempunyai peranan, tugas dan tanggungjawab masing-masing untuk sama-sama memastikan kemajuan daerah Tawau dan taraf hidup penduduk Tawau terus terjamin malah dipertingkatkan. Saya sendiri memikul tanggungjawab yang sama sebagai seorang senator. Akan tetapi tanpa kerjasama yang erat daripada semua pihak adalah mustahil kita dapat berjaya. Tanpa hubungan dan kerjasama yang rapat di antara setiap agensi kerajaan dan swasta termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan adalah sukar untuk kita membawa kemajuan dan pembangunan terutama sekali kepada daerah Tawau ini.



Maka dengan kesedaran ini saya mengambil inisiatif dan kesempatan ini untuk menganjurkan majlis Kesyukuran dan Suaikenal ini. Adalah menjadi harapan saya agar tuan-tuan dan puan-puan dapat mengambil peluang ini untuk berbincang, berunding dan bertukar-tukar pandangan akan masalah yang dihadapi, memberikan cadangan dan pendapat baru untuk sama ada menyelesaikan masalah yang sedia ada mahupun mengambil langkah dan tindakan yang baru bagi kebaikan daerah Tawau dan penduduknya. Saya bersedia menerima pendapat, cadangan dan pandangan daripada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya bersedia membawa masalah dan aspirasi rakyat Tawau ke Parlimen. Saya berharap dengan cara yang lebih berpadu dan kolektif ini kita akan lebih berjaya.



Sebagai seorang senator yang baru sahaja dilantik, saya tidak mahu berucap dan bercakap panjang lebar di sini, kerana saya mempunyai masa tiga tahun untuk bercakap dan berucap. Saya juga tidak mahu membuat janji-janji yang banyak. Tetapi ini tidak bermakna saya cuba lari daripada tugas dan tanggungjawab saya. Saya akan jalankan tugas saya dan memaklumkan kepada semua selepas kerja itu dilaksanakan. Saya tidak mahu janji-janji saya nanti menjadi janji kosong. Saya ingin memulakan tradisi yang baru ini iaitu cakap selepas kerja bukan cakap sebelum kerja. Saya rasa cara ini lebih tepat dan realistik. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan akan menjadi saksi tentang apa yang akan saya lakukan dan menjadi saksi kepada apa yang akan kita sama-sama jayakan untuk kepentingan dan kebaikan penduduk di daerah Tawau ini.



Satu perkara yang harus kita ingat iaitu kita semua ini bukanlah orang yang serba boleh atau “superman”. Sama ada kita seorang senator, wakil rakyat, pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan atau apa sekalipun pangkat dan jawatan yang kita pegang, kita tidak mungkin dapat melakukan segala-galanya. Kita tidaklah sempurna. Tetapi yang penting bagi kita ialah, kita mestilah mempunyai semangat, mempunyai keazaman, mempunyai kegigihan dan keinginan yang kuat untuk melakukan yang terbaik. Kita mestilah sentiasa mencuba sedaya upaya untuk menghasilkan kualiti kerja yang terbaik. Itulah yang akan saya lakukan dan saya rasa itulah juga yang akan dilakukan oleh semua pemimpin yang ada di sini pada malam ini.



Akhir kata, saya sekali mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir. Tidak lupa juga kepada mereka yang memberikan ucapan tahniah sama ada secara telefon, iklan akhbar dan sebagainya, saya turut menyatakan merakamkan setinggi penghargaan dan berbanyak-banyak terima kasih. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kepada semua hadirin sekalian yang telah memberikan sokongan, dorongan, teguran dan pandangan kepada saya selama ini. Saya berharap sokongan, dorongan, teguran dan pandangan seperti ini akan terus diberikan untuk membolehkan saya bekerja dengan cekap dan cepat. Saya juga berharap hubungan muhibbah yang terjalin pada malam ini akan membolehkan kita berkerjasama dengan lebih erat dan efisen. Marilah kita sama-sama menjadikan dearah Tawau ini satu daerah yang lebih aman, makmur dan harmoni.



Sekian dan terima kasih.

Thursday, April 01, 1999

Ucapan Dewan Negara: Isu Pencaruman KWSP Pekerja Asing

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Parlimen Kesembilan, Penggal Keempat, Dewan Negara

1998



Tuan Yang di-Pertua, pada ketika negara kita sedang menghadapi kegawatan ekonomi, pihak kerajaan mencuba sedaya upaya untuk memulihkan keadaan ekonomi. Langkah dan tindakan yang diambil oleh kerajaan setakat amatlah kena pada tempatnya dan dialu-alukan. Ini menunjukkan kerajaan benar-benar ikhlas dan komited dalam hal ini.



Akan tetapi cadangan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan tentang pencaruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di kalangan pekerja asing baru-baru perlu diteliti sehalus-halusnya sebelum dilaksanakan. Cadangan supaya semua pekerja asing menikmati kemudahan sama seperti pekerja tempatan iaitu dengan mencarumkan 11% gaji mereka di samping pihak majikan mengeluarkan 12% untuk mereka telah menerima pelbagai reaksi yang kurang menyenangkan.



Tuan Yang di-Pertua, saya sedar bahawa dengan memestikan setiap pekerja asing mencarum 11% daripada gaji mereka dan mewajibkan pihak majikan memberikan 12% untuk pekerja berkenaan akan dapat membantu mengukuhkan rezeb negara serta membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara. Timbalan Menteri Kewangan YB Datuk Wong See Wah, ketika melawat Tawau baru-baru ini juga telah menyatakan bahawa tindakan kerajaan ini adalah untuk meminjam wang tersebut bagi kegunaan kerajaan dan tidak memberikan kesan yang buruk terhadap kita. Beliau juga menegaskan bahawa pekerja asing memang berhak untuk menikmati kemudahan yang sama seperti pekerja tempatan.



Pada pendapat saya, pencaruman sebanyak 11% daripada pihak pekerja memanglah patut kerana ia adalah untuk kebaikan dan kebajikan pekerja tersebut di samping dapat membantu negara tempat mereka bekerja. Malahan pencaruman 12% daripada pihak majikan juga dianggap baik jika negara kita tidak menghadapi kegawatan ekonomi dengan banyak syarikat terpaksa ditutup, diambil alih, mengurangkan operasi serta berada dalam keadaan yang tenat.



Tindakan ini bukan sahaja tidak membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi terutama sekali pada sektor perladangan dan pertanian yang bergantung kepada tenaga buruh asing, malah akan menambahkan kos tanggunggan dan masalah pekerja yang kian meningkat yang belum lagi dapat ditangani dengan baik. Ini lebih-lebih lagi dengan pembayaran levi yang tinggi serta penglibatan FOMEMA dalam pemeriksaan kesihatan pekerja asing. Kedua-dua isu ini belum lagi diselesaikan dengan memuaskan dan kini para majikan dihantui pula dengan isu yang baru.



Tindakan ini jika diteruskan akan memperlihatkan ketidak prihatinan pihak kerajaan terhadap masalah yang dihadapi oleh para majikan. Sepatutnya sebarang langkah atau keputusan yang diambil haruslah mengutamakan kepentingan rakyat tempatan dan pihak majikan yang memainkan peranan dalam menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi. Kita juga harus peka terhadap perkembangan semasa agar tindakan yang diambil benar-banar membawa faedah dan kebaikan kepada semua pihak yang terlibat dan bukannya terhad kepada stau-satu pihak tertentu sahaja.



Jika YAB Perdana Menteri menyeru pihak kakitangan awam agar mengemaskinikan perkhidmatan mereka dengan tidak melengahkan kelulusan sesuatu permohonan di samping mengurangkan kerenah pentadbiran di sektor awam, kita juga seharusnya meringankan bebanan yang sedang ditanggung oleh pihak majikan, sejajar dengan kehendak dan seruanYAB Perdana Menteri Malaysia.Semua pihak harus peka dan perihatin dan janganlah tergesa-gesa untuk melaksanakan sesuatu dasar yang dilihat sebagai bertentangan atau kurang sesuai pada situasi ekonomi masa kini.



Tuan Yang di-Pertua, sekalipun pihak majikan diwajibkan untuk mencarumkan 12% daripada gaji pekerja asing mereka ke dalam KWSP ini belum tentu dapat menjamin mengukuhkan kedudukan kewangan negara. Faktor yang paling penting yang perlu kita pertimbangkan ialah mobiliti pekerja. Pekerja asing di negara ini pada ketika ini tidaklah dapat bekerja dengan tetap untuk satu tempoh masa yang panjang. Jika pekerja asing ini kembali ke negara mereka, mereka akan membawa balik 11% daripada gaji mereka dan ditambah pula dengan 12% caruman pihak majikan. Negara kita akan kerugian 12% daripada jumlah gaji pekerja asing ini. Ini merupakan satu jumlah yang amat besar memandang begitu ramai pekerja asing yang terdapat di negara ini.



Ini merupakan pengaliran keluar wang negara yang bukan sahaja ingin kita elakkan selama ini malahan dengan sendirinya menggagalkan tujuan asal pelaksanaan pencaruman KWSP pekerja asing. Ini jelas membuktikan bahawa negara bukan sahaja tidak mendapat sebarang faedah daripada dasar ini malah menerima kerugian yang lebih besar. Jika keadaan ini berlaku maka isu ini akan menjadi satu bahan ketawa kepada pihak pembangkang serta musuh negara. Ini dengan sendirinya akan mengurangkan keyakinan rakyat terhadap kebolehan dan kewibaan pihak berkuasa berkenaan.



Saya sedar bahawa kita tidak boleh mengabaikan sumbangan para pekerja asing terhadap perkembangan ekonomi di negara ini. Kebajikan para pekerja asing tidak seharusnya dilupakan. Akan tetapi masanya tidaklah sesuai dan belum tiba lagi untuk kita mewajibkan pencaruman KWSP terutama sekali pada pihak majikan. Saya berharap pihak kerajaan akan mempertimbangkan semula perlaksanaannya.



Tuan Yang di-Pertua, jika pihak kerajaan benar-benar yakin bahawa cara ini akan membantu mengukuhkan kedudukan kewangan negara dan pekerja asing yang tidak pernah meminta pencaruman KWSP, saya ingin mencadangkan supaya dasar ini dilaksanakan dengan sedikit pindaan supaya ia lebih menguntungkan semua pihak. Saya mencadangkan supaya pihak pekerja asing tetap mencarumkan 11% daripada gaji mereka dan pihak majikan tetap mencarumkan 12%. Tetapi apabila pekerja tersebut meninggalkan negara ini mereka hanya boleh membawa balik 11% dan faedah yang mereka carumkan selama ini. Manakala 12% dan faedah yang dicarumkan oleh pihak majikan akan dikembalikan kepada pihak majikan.



Tuan Yang di-Pertua, cadangan ini pada pendapat saya, bukan sahaja dapat menjaga kebajikan pekerja asing tetapi juga dapat mengelakkan pihak majikan daripada terus menanggung bebanan yang berat. Langkah ini juga akan mengurangkan pengaliran wang keluar ke negara asing berbanding dengan cadangan Menteri Kewangan yang asal. Pihak kerajaan masih dapat menggunakan wang tersebut untuk mengukuhkan kedudukan kewangan, menjaga kebajikan pekerja asing, pihak majikan tidak kerugian dan turut membantu untuk memulihkan ekonomi negara. Dengan ini kita telah mewujudkan satu keadaan “Win-Win” atau "Menang-Menang" yang pastinya akan menguntungkan ketiga-tiga pihak kerajaan, majikan dan pekerja asing.



Tuan Yang di-Pertua, saya mohon disokong. Sekian dan terima kasih.