Saturday, January 30, 1999

Perlantikan CLC

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

30hb Januari 1999



Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian yang telah dilantik sebagai ahli CLC. Perlantikan tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu kepercayaan yang telah diberikan oleh parti. Ia juga merupakan satu tanggungjawab dan amanat yang amat penting.



Perlantikan tuan-tuan dan puan-puan bukanlah kerana nasib atau lobi melobi. Ia juga bukan keputusan yang tergesa-gesa. Perlantikan ini dibuat berdasarkan sumbangan dan komitmen yang telah ditunjukkan sepanjang tahun yang lepas. Sebelum perlantikan ini dibuat, kita telah membuat pelbagai perhitungan dan mengambil pelbagai aspek. Itulah juga sebabnya saya katakan bahawa perlantikan tuan-tuan dan puan-puan merupakan satu tanggungjawab dan amanat parti. Tuan-tuan dan puan-puan merupakan wakil parti pada peringkat CLC. Tuan-tuan dan puan-puan juga bertanggungjawab menjaga imej dan nama baik parti.



Perlantikan tuan-tuan dan puan-puan pada hari ini juga mempunyai makna yang amat besar kerana selepas ini kita akan menghadapi pilihanraya negeri yang dijangka diadakan pada bila-bila masa sahaja. Tuan-tuan dan puan-puan akan memimpin CLC masing-masing bagi mengembelingkan seluruh tenaga dan usaha yang ada untuk memastikan kemenangan besar kepada semua calon, bukan sahaja calon SAPP tetapi calon Barisan Nasional keseluruhannya.



Oleh yang demikian saya berharap kita akan dapat sama-sama memulakan langkah kita pada hari ini juga untuk membuat persedian yang secukupnya bagi menghadapi pilihanraya yang akan datang. Kita bukan sahaja perlu mengeratkan hubungan dan perpaduan di dalam CLC masing malahan juga perlu mengekal dan menambahkan hubungan yang baik dengan pengundi lain di kawasan ini.



Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, di samping itu, kita juga perlu mewujudkan suasana kerja yang erat, jujur dan ikhlas dengan parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain. Kerjasama dan semangat Barisan Nasional haruslah dipupuk dan dipelihara pada setiap masa. Kita haruslah menunjukkan komitmen kerja yang tinggi di semua kawasan pilihanraya tanpa mengira sama ada calon kita bertanding atau kita. Kita mesti memastikan kemenangan besar kepada semua calon Barisan Nasional.



Dengan semangat dan komitmen seperti ini, saya penuh yakin bahawa kita akan menjadi rakan seperjuangan yang paling bermakna dalam Barisan Nasional. Dengan itu kita juga akan menerima sokongan dan kerjasama yang serupa daripada parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain terutama sekali di kawasan-kawasan calon SAPP bertanding. Dengan ini kita akan dapat memastikan bahawa calon-calon kita akan mendapat sokongan penuh daripada parti-parti komponen yang lain dan memperolehi kemenangan.



Akhir kata saya sekali lagi mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua yang telah diberi kepercayaan parti dan semoga kita akan bekerja dengan kuat lagi untuk memasti parti kita sentiasa utuh, besar dan maju.



Sekian dan terima kasih.



Thursday, January 28, 1999

Jamuan Hari Raya Bersama Persatuan Pemberita Tawau

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

28hb Januari 1999





Saya kira belum lagi terlewat bagi saya untuk mengucapkan “Selamat Hari Raya Aidilfitri” kepada tuan-tuan dan puan-puan yang beragama Islam. Dalam kesibukan kita menguruskan tugas dan tanggungjawab seharian masing-masing, kadang-kadang adalah sukar bagi kita untuk sama-sama merayakan sesuatu perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri ini tepat pada harinya.



Pada banyak ketika kita terpaksa membuat pilihan untuk menghadiri beberapa majlis yang diadakan pada waktu yang sama. Oleh yang demikian, dengan melanjutkan perayaan seperti yang kita adakan pada malam ini tentu sekali akan memberikan peluang yang lebih besar bagi kita beramah mesra. Itulah sebabnya saya rasa ‘mood’ perayaan masih lagi segar walaupun hari perayaan yang sebenarnya sudah berlalu. Dan tidak terlewat untuk mengucapkan ‘Selamat Hari Raya Aidilfitri’.



Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, saya juga tidak lupa mengucapkan terima kasih kerana dapat bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Sesungguhnya majlis seperti ini bukan sekadar untuk kita makan dan minum semata-mata. Majlis ini juga memberi peluang kepada kita untuk mengeratkan lagi hubungan dan tali persahabatan kita. Apa yang penting juga ialah kita saling bermaafan di antara satu sama lain serta memperbaharui azam dan tekad untuk menghadapi tahun baru yang lebih mencabar.



Di samping itu kita juga dapat bertukar-tukar pendapat dan pandangan terutama sekali mengenai topik yang sedang hangat diperbincangkan masa kini. Bercakap pasal topik yang hangat diperbincangkan sekarang, tentu sekali tidak lain dan tidak bukan iaitu tarikh pilihanraya. Banyak sudah soalan yang telah diajukan kepada saya oleh para wartawan mengenai perkara ini. Tetapi saya rasa tuan-tuan dan puan-puan sekalian sebenarnya lebih arif daripada saya tentang tarikh dewan undangan negeri dibubarkan dan siapakah calon-calon yang akan bertanding. Saya sendiri mendapat berita daripada laporan akhbar tuan-tuan dan puan sekalian. Sememangnya tuan-tuan dan puan-puan lebih pandai mencari sumber dan membuat andaian.



Tuan-tuan dan puan-puan sekalian, memang telah menjadi lumrah dan kebiasaan pada setiap kali menjelangnya pilihanraya kita amat tertarik dengan beberapa soalan. Soalan-soalan ini adalah, bilakah dewan undangan negeri Sabah akan dibubarkan? Bilakah pilihanraya akan diadakan? Siapakah calon-calon yang akan mewakili setiap kawasan? Siapakah yang akan menang? Dan siapakah yang akan dibariskan dalam kabinet negeri?



Selepas pilihanraya, soalan-soalan seperti ini akan dilupakan dan akan hanya ditimbulkan semula 4 atau lima tahun kemudian atau jika adanya pilihanraya sekali lagi. Sehingga pilihanraya yang seterusnya kitapun kembali kepada tugas seharian kita. Kita seolah-olah beranggapan bahawa tanggungjawab kita sudah selesai.



Sebenarnya, persoalan yang lebih penting serta lebih mustahak jarang ditimbulkan. Persoalan yang lebih penting dan utama yang saya maksudkan ialah parti manakah yang akan dapat membawa kemajuan, kemakmuran dan kesejahteraan kepada semua rakyat? Parti manakah yang dapat membentuk kerajaan yang dapat benar-benar membela nasib rakyat jelata di negeri ini? Parti manakah yang akan mengotakan janji mereka dan melaksanakan apa yang telah dijanjikan.



Saya percaya kita memang suka untuk mendengar dan melihat orang-orang tertentu atau parti tertentu yang menjadi wira atau “hero” ketika kempen pilihanraya dengan pelbagai janji-janji yang sukar dipercayai. Tetapi kita jangan sekali-kali tertipu dan terpedaya dengan helah mereka kerana sejarah telah membuktikan bahawa wira-wira kempen pilihanraya adalah golongan yang berkepentingan diri dan bukannya mengutamakan kebajikan dan kesejahteraan rakyat. Oleh yang demikian, berhati-hatilah untuk membuat pilihan dan membezakan yang mana kenyataan dan yang mana mimpi siang hari. Gunakanlah hak di tangan tuan-tuan dan puan-puan dalam pilihanraya yang akan datang nanti untuk menentukan nasib kita semua. Dan pastikan kita bertanggujawab terhadap pilihan kita itu.



Tuan-tuan dan puan-puan yang dimuliakan, pada malam yang meriah ini saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua penderma darah di Tawau. Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk merakamkan ribuan terima kasih kepada Ketua Tabung Darah Hospital Tawau, Encik John Wong. Usaha gigih beliau bersama kakitangan beliau yang bertugas walaupun pada hari cuti umum bukan sahaja memberi peluang kepada lebih ramai penduduk Tawau untuk menderma darah malah secara tidak langsung telah meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan dan perubatan Hospital Tawau. Ini juga bermakna lebih ramai pesakit di Hospital Tawau akan mendapat bantuan yang lebih segera.



Masyarakat Tawau sememangnya bertuah kerana mempunyai pegawai seperti Encik John Wong. Masyarakat Tawau juga amat bernasib baik kerana mempunyai begitu ramai penderma darah yang sentiasa bersedia untuk menyumbangkan darah mereka bagi menyelamatkan nyawa orang lain. Bilangan penderma darah yang semakin meningkat menujukan semakin ramai masyarakat kita yang mula tampil kehadapan untuk membantu mereka yang memerlukan pertolongan. Syabas kepada semua penderma dan syabas kepada masyarakat Tawau.



Justeru itu saya ingin menyeru kepada semua wartawan agar dapat membuat liputan dan laporan yang lebih meluas terhadap aktiviti menderma darah agar lebih ramai lagi orang yang datang untuk menderma darah. Kita harus menjadikan aktiviti menderma darah sebagai sebahagian daripada tugas dan tangggungjawab yang amat mulia bagi setiap orang. Jika masih ada orang yang ragu-ragu atau takut untuk menderma darah, maka pihak akhbar harus membetulkan salah faham ini. Oleh itu laporan yang positif dalam akhbar-akhbar tempatan dan peringkat nasional akan membatu ke arah mewujudkan sebuah masyarakat yang benar-benar penyayang dan prihatin. Pembentukan masyarakat penyayang bukan tanggunjawab kerajaan semata-mata tetapi tanggungjawab bersama setiap rakyat di negara kita.



Pada masa yang sama, Taman Mulia, sebagai sebuah pertubuhan sukarela yang mengumpul maklumat ribuan penderma darah di daerah Tawau ini akan terus menggiatkan usahanya bagi mendaftarkan lebih ramai penderma darah baru mahupun yang lama. Kami telah membina sebuah pangkalan data dalam komputer mengenai maklumat pribadi setiap penderma seperti nama, jantina, kumpulan darah, alamat, nombor telefon dan tarikh terakhir menderma darah bagi memudahkan kami menghubungi mereka ketika kecemasan atau apabila ada aktiviti atau kempen menderma darah dijalankan. Oleh yang demikian, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada orang ramai yang belum lagi mendaftarkan diri dengan Taman Mulia agar dapat berbuat demikian dengan menelefon – 769716.



Marilah kita sama-sama menjadikan masyarakat Tawau sebagai masyarakat yang prihatin dan penuh kasih sayang.



Sekian dan terima kasih.

Saturday, January 23, 1999

Surat Kepada Menteri Kesihatan: Penambahan Bahasa Cina dan Simbol/Lambang Pada Papan Tanda Hospital Besar Tawau

23 hb. Januari 1999



Memorandum Persatuan Hakka Tawau pada 16hb Januari 1999 dirujuk dengan hormatnya.



Terlebih dahulu saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Datuk serta Kemeneterian Kesihatan atas pelbagai projek pembangunan dalam bidang kesihatan bagi daerah Tawau. Pembinaan Pusat Latihan Jururawat dan pembesaran hospital misalnya bukan sahaja telah meningkatkan mutu perkhidmatan dan kebajikan kakitangan hospital tetapi juga sekaligus meningkatkan tahap kesihatan rakyat di Tawau.



Permintaan Persatuan Hakka Tawau supaya papan tanda di Hospital Besar Tawau dimuatkan dengan Bahasa Cina adalah wajar dan tepat sekali. Ini memandangkan majoriti pesakit yang mendapatkan rawatan perubatan dan kesihatan terdiri daripada golongan tua yang kurang faham Bahasa Kebangsaan. Penggunaan Bahasa Cina akan memudahkan golongan tua ini di samping mempercepat serta melicinkan proses rawatan serta urusan lain.



Perlu ditegaskan di sini bahawa permintaan ini tidak sekali-kali bertujuan merendahkan martabat Bahasa Kebangsaan dan tidak seharusnya dipandang dari sudut perkauman. Ia seharusnya dilihat daripada perspektif yang lebih rasional untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada golongan tua yang tidak berpeluang mempelajari Bahasa Kebangsaan dengan sempurna disebabkan faktor sejarah negeri Sabah.



Sehubungan dengan itu saya juga memohon YB Datuk agar mempertimbangkan penggunaan simbol dan lambang pada papan tanda di Hospital Besar Tawau. Penggunaan simbol dan lambang yang membayangkan pengkhususan dan jenis rawatan serta perkhidmatan bukan sahaja dapat memberikan mesej yang lebih segera dan tepat malah dapat mengurangkan kekeliruan kerana penggunaan istilah-istilah perubatan yang tidak difahami orang ramai. Penggunaan simbol dan lambang ini akan memberi manafaat kepada semua penduduk berbilang kaum dan keturunan.





Saya penuh yakin dan percaya sebagai YB Datuk Menteri Kesihatan yang cukup prihatin dengan permintaan dan kesulitan rakyat serta kunjungan YB Datuk sendiri ke Hospital Besar Tawau, permintaan ini akan mendapat pertimbangan dan perhatian yang segera serta sewajarnya.



Saya dahului dengan ucapan terima kasih atas perhatian dan pertimbangan YB Datuk.

Thursday, January 14, 1999

Perjumpaan dengan Persatuan Pemandu Teksi Tawau

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

14hb Januari 1999





Terlebih dahulu, saya ingin mengambil merakamkan berbanyak-banyak ucapan terima kasih kepada semua pengerusi dan ahli jawatankuasa ketiga-tiga Persatuan Teksi Tawau, atas kehadiran tuan-tuan dan puan-puan ke majlis ini. Kesanggupan tuan-tuan dan puan-puan meluangkan masa terutama sekali pada bulan Ramadan yang mulia ini amat saya hargai.



Saya rasa belum terlewat bagi saya mengucapkan "Selamat Tahun Baru" kepada tuan-tuan dan puan-puan. Saya rasa juga tidak terlewat bagi saya mengucapkan "Selamat Berpuasa" kepada tuan-tuan dan puan-puan yang beragama Islam. Dan tidak terlalu awal untuk saya mengucapkan "Hari Raya Aidilfitri".



Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada semua pemandu teksi di daerah Tawau atas perkhidmatan cemerlang yang telah ditunjukkan sepanjang tahun lalu. Kita agak bernasib baik kerana daerah Tawau kurang terjejas akibat kegawatan ekonomi. Pelacong dari luar juga tidak putus-putus mengunjungi daerah Tawau. Ini menyebabkan permintaan terhadap perkhidmatan teksi terus dikekalkan.



Tuan-tuan dan puan-puan, tanggapan dan gambaran pelancong asing terhadap daerah Tawau banyak bergantung kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana tuan-tuan dan puan-puanlah orang pertama yang berdepan dengan pelancong asing. Cara mereka dilayan dan bagaimana Tawau diperkenalkan akan memberikan gambaran sama ada baik atau buruk kepada pelancong asing. Oleh yang demikian adalah amat penting bagi kita menjaga adat dan budaya kita pada setiap masa di samping memberikan penjelasan yang tepat dan benar kepada pengunjung dari luar.



Ini juga membayangkan bahawa kita bukan sahaja perlu tahun tentang perjalanan di sekitar daerah Tawau kita juga perlu arif tentang perkembangan semasa sama ada tentang daerah Tawau, negeri Sabah mahupun negara kita sendiri. Untuk membolehkan kita berkomunikasi dengan lebih baik dan berkesan dengan pelancong asing kita juga perlu mempelajari lebih daripada satu bahasa seperti bahasa Inggeris.



Tuan- tuan dan puan-puan yang dihormati, kita baru sahaja melangkah ke tahun 1999. Dalam tahun yang baru ini saya berharap tuan-tuan dan puan-puan dapat menggunakan kesempatan ini untuk menilai semula pencapaian dan sumbangan tuan-tuan dan puan-puan sepanjang tahun 1998.



Tidak dapat dinafikan bahawa kegawatan ekonomi yang melanda negara kita telah sedikit sebanyak turut menjejaskan pendapatan para pemandu teksi. Akan tetapi kegawatan ekonomi tidak seharusnya menjadi alasan kepada kita untuk tidak terus memperbaiki perhidmatan teksi.



Saya juga ingin menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan supaya sentiasa menerima teguran orang ramai mengenai perkhidmatan teksi dengan hati yang terbuka. Dengan adanya teguran yang membina barulah mutu perkhidmatan teksi dapat dipertingkatkan. Disiplin dan imej para pemandu teksi mestilah sentiasa dijaga dan dibaiki. Janganlah kerana nila setitik hingga merosakkan susu sebelanga. Oleh itu tuan-tuan dan puan-puan perlulah selalu menegur sesama sendiri dan mengingatkan sesama rakan setugas supaya tidak menjejaskan imej para pemandu teksi.



Di samping itu, kebersihan teksi juga mestilah sentiasa dijaga. Kebersihan teksi bukan sahaja memberikan keselesaan yang lebih kepada penumpang ia juga dapat mencerminkan mutu perkhidmatan yang kita berikan.



Tuan-tuan dan puan-puan, walaupun YAB Perdana Menteri kita telah mengatakan bahawa ekonomi negara kita sedang beransur baik, ini tidak bermaksud kita harus leka dan berpuas hati. Adalah menjadi harapan saya agar semua pemandu teksi dapat sentiasa meningkatkan mutu perkidmatan teksi untuk menjadikan perkhidmatan ini lebih diminati dan pada masa yang sama meningkatkan pendapatan tuan-tuan dan puan-puan sekalian.



Tahun 1999 merupakan tahun yang terakhir sebelum kita melangkahkan kaki ke abad yang baru. Tahun 2000 tentu sekali akan menjadi lebih mencabar dan perkhidmatan teksi juga akan menghadapi lebih banyak persaingan. Oleh yang demikian inilah masa yang terbaik bagi kita menilai semula kemapunan, kekuatan dan kelemahan kita selama ini supaya dapat kita melengkapi diri kita bagi menghadapi cabaran yang lebih besar.



Akhir kata saya ingin merakamkan ucapan terima kasih saya sekali kepada semua yang hadir. Semoga tuan-tuan dan puan-puan akan memperolehi kejayaan yang lebih maju dan cemerlang



Sekian dan terima kasih.

Saturday, January 09, 1999

Bantuan Pendidikan SAPP

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

9hb Januari 1999





Terlebih dahulu, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan berbanyak-banyak terima kasih atas kehadiran para pelajar, tuan-tuan dan puan-puan ke majlis ini.



Bantuan Pendidikan ini merupakan satu projek tahunan Parti Maju Sabah (SAPP). Bantuan ini diberikan bagi meringgankan bebanan ibu bapa dalam membeli buku dan alat tulis sekolah. Walaupun jumlah yang diberikan tidaklah besar untuk setiap pelajar saya penuh yakin dan percaya bahawa sedikit sebanyak ia dapat membantu meringankan perbelanjaan ibu bapa.



Kepada adik-adik yang menerima bantuan ini saya ucapkan tahniah. Saya berharap adik-adik semua dapat menghargai bantuan ini dan belajarlah rajin-rajin untuk mendapat keputusan yang baik. Kepada pelajar-pelajar yang akan menduduki peperiksaan UPSR dan PMR, saya berharap adik-adik akan dapat belajar dengan lebih bersungguh-sugguh. Rajinlah membuat ulangkaji dan membuat latihan supaya dapat memperolehi keputusan yang cemerlang nanti. Pencapaian yang cemerlang merupakan cara yang terbaik untuk membalas budi baik dan pengorbanan ibu bapa serta guru-guru.



Di samping itu, saya juga berharap adik-adik pelajar sekalian dapat juga berkelakuan baik dan tidak melibatkan diri dalam kegiatan yang tidak baik seperti ponteng sekolah, bergaduh, mencuri, merokok dan menghidu gam. Seorang pelajar yang baik adalah pelajar yang baik dari segi pelajaran dan juga baik tata susila serta kelakuannya. Oleh itu kita mestilah sentiasa mendengar nasihat guru-guru dan menerima teguran guru-guru dengan hati yang terbuka.



Akhir kata, sekali lagi saya berharap agar pelajar-pelajar yang menerima bantuan ini tidak mensia-siakan pemberian ini dan belajarlah bersungguh-sungguh untuk memastikan setiap pelajar mencapai keputusan yang paling baik. Kita juga berharap jika keadaan mengizinkan, lebih ramai pelajar akan menerima bantuan ini.



Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan syabas dan terima kasih kepada Pengerusi projek di Daerah Kunak ini serta ahli jawatankuasanya yang bertungkus lumus untuk menjayakan projek serta majlis penyampaian bantuan pendidikan ini.



Sekian dan terima kasih.

Saturday, January 02, 1999

Penyerahan Kuih Raya Kepada Pasukan Keselamatan dan Unit Beruniform

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Januari 1999



Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana sudi menghadiri majlis yang ringkas ini.



Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ”Selamat Berpuasa" kepada tuan-tuan dan puan-puan, saudara dan saudari sekalian yang beragama Islam.



Memang tidak dapat dinafikan bahawa pekerjaan tuan-tuan dan puan-puan sekalian memerlukan anda semua memberikan perkhidmatan yang jauh lebih berat dan berkesan malahan sehingga terpaksa mengorbankan masa sendiri demi kepentingan tugas, masyarakat dan negara. Tugas dan tanggjungjawab tuan-tuan dan puan-puan memerlukan perhatian dan komitmen 24 jam. Ini membezakan tuan-tuan dan puan-puan daripada pegawai dan kaki tangan awam yang lain.



Dengan keadaan tugas dan tanggungjawab sedang dipikul oleh tuan-tuan dan puan-puan sekalian, ramai di antara tuan-tuan dan puan-puan yang tidak dapat berhari raya atau merayakan hari kebesaran yang lain bersama-sama dengan keluarga tersayang. Saya percaya ini merupakan salah satu pengorbanan yang besar daripada tuan-tuan dan puan-puan demi kepentingan keselamatan dan kesejahteraan orang ramai. Dengan semangat seperti inilah tuan-tuan dan puan-puan telah membantu mengekalkan keamanan dan keharmonian daeraha Tawau khasnya dan negara ini amnya.



Kita jusga tidak lupa sebelum 1994 dearah Tawau dibanjiri oleh pendatang tanpa izin. Keselamatan penduduk Tawau juga turut terancam dengan kehadiran pendatang tanpa izin ini. Namun begitu dengan adanya regularisasi yang dilaksanakan oleh pasukan petugas khas, masalah pendatang haram telah dapat dikurangkan. Walaupun masih ramai pendatang asing di daerah ini tetapi kebanyakan daripada mereka merupakan pendatang yang berdaftar. Penduduk Tawau juga merasa lega dengan keadaan ini. Oleh itu saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pasukan petugas khas dan pihak polis atas usaha gigih yang telah mereka laksanakan.



Saya penuh yakin dan percaya bahawa seluruh penduduk di Daerah Tawau ini turut merasa bertuah dengan semangat dan kemitmen yang ditunjukkan oleh tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya bagi pihak seluruh penduduk Tawau mengambil kesempatan ini untuk merakamkan berbanyak-banyak terima kasih dan setinggi-tinggi penhargaan kepada anda sekalian. Semoga anda sekalian dilanjutkan umur dan sentiasa dilindungi serta diberkati Tuhan.



Sempena bulan yang mulia ini, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan ribuan terima kasih dan setiggi-tinggi penghargaan kepada anda sekalian atas sumbangan dan pengorbanan selama ini. Saya dengan sukacitanya ingin menyampaikan sedikit kuih raya sebagai penghargaan kami.



Akhir kata saya sekali mengucapkan "Selamat Berpuasa" dan "Selamat Hari Raya" kepada anda sekalian yang beragama Islam dan "Selamat Bertugas" serta "Selamat Bercuti" kepada yang lain.



Sekian dan terima kasih.