Saturday, October 30, 1999

Surat Kepada Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi: Peruntukan 30% Daripada Tanah Felda kepada Rakyat Sabah

30 hb. Oktober 1998

Sukacita dicadangkan agar pihak kerajaan dapat memperuntukkan 30% daripda Tanah Felda kepada peneroka yang terdiri daripada rakyat negeri Sabah. Ini berdasarkan kepada hujah-hujah berikut:

Untuk mengikis anggapan salah bahawa skim Felda tidak menguntungkan dan tidak memberi faedah kepada rakyat negeri Sabah. Tanggapan ini bukan sahaja menjejaskan imej Felda malah menimbulkan prasangka di kalangan rakyat.

Untuk memindahkan pengundi daripada kawasan bandar ke kawasan luar bandar. Pemusatan pengundi yang terlampau banyak pada satu-satu tempat menyukar sesebuah kawasan dewan undangan negeri atau parlimen dijaga dengan baik oleh para wakil rakyat. Pemindahan ini akan dapat memberi peluang kepada pembahagian pengundi yang lebih rata dan seimbang di antara desa dan bandar.

Pembukaan tanah Felda kepada rakyat Sabah juga akan menambahkan peluang pekerjaan dan mengurangkan sebilangan rakyat yang terlampau memilih pekerjaan.

Industri pembalakan dijangka menurun menjelang tahun 2000, dengan pembukaan tanah Felda kepada rakyat negeri Sabah akan dapat memberikan pekerjaan alternatif kepada pekerja di sektor pembalakan masa kini. Ini akan memastikan mereka terus mendapat pekerjaan apabila terpaksa diberhentikan daripada pekerjaan mereka sekarang.

Di samping itu, kegawatan ekonomi yang menyebabkan ramai pekerja diberhentikan daripada industri pembuatan, pembinaan dan sektor-sektor lain. Jika peluang menyertai Felda disediakan kadar pengangguran ini akan dapat dikawal dan pekerja yang diberhentikan akan dapat terus mendapat pekerjaan bagi menyara keluarga mereka.

Penglibatan rakyat tempatan dalam pembangunan tanah Felda juga akan mengurangkan pengaliran keluar wang negara kerana tanah ini tidak lagi dikerjakan oleh rakyat asing tetapi diusahakan oleh rakyat tempatan.

Peruntukan sebanyak 30% daripada tanah Felda kepada rakyat negeri Sabah juga secara langsung menguntungkan pihak Felda sendiri. Ini diperolehi dengan membeli balik hasil tanaman kelapa sawit daripa para peneroka dengan harga yang lebih murah dan mutu yang lebih baik.

Di samping itu, Felda juga dapat memasarkan barangan mereka seperti baja kepada semua peneroka sama ada secara tunai atau secara potongan daripada pembelian hasil tanaman mereka.

Pendek kata, peruntukan sebanyak 30% daripada tanah Felda ini memang wajar dilakukan kerana ia benar-benar memanafaatkan rakyat negeri Sabah khasnya dan rakyat negara kita amnya.

Dengan hujah dan alasan di atas besarlah harapan saya agar YB Tan Sri akan dapat mempertimbangkan cadangan saya demi kepentingan bukan sahaja rakyat negeri Sabah, Felda malah kepentingan negara sendiri.

Atas pertimbangan dan perhatianYB Tan Sri saya dahului dengan ucapan ribuan terima kasih.

Monday, October 04, 1999

Malam Cintai Malaysia

Ucapan Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

4 hb Oktober 1998

Dewan Masyarakat Tawau.

YB Datuk Yong Teck Lee, Presiden Parti Maju Sabah
Ahli-ahli Majlis Tertinggi SAPP,
YB Datuk Michael Lim Yun Sang,
YB Puan Chua Soon Bui,
Wakil-wakil parti komponen Barisan Nasional,
Ketua-ketua Jabatan Kerajaan Persekutuan dan Negeri,
Pemimpin-pemimpin masyarakat dan petubuhan,
Ahli-ahli Parti Maju Sabah dan penyokong-penyokong Barisan Nasional,
Para Wartawan, Datuk-datuk, Datin-datin, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.

Bagi pihak Parti Maju Sabah saya ingin mengucapkan selamat datang dan selamat bersama Malam Cintai Malaysia anjuran SAPP pada malam ini. Kita juga merasa amat bangga dan betuah kerana Presiden parti, YB Datuk Yong Teck Lee juga turut bersama-sama dengan kita pada malam ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kita berkumpul di sini pada malam ini hanya dengan satu tujuan dan matlamat, iaitu menyatakan cinta dan taat setia kita kepada negara kita, Malaysia. Pada malam ini juga kita akan memperbaharui dan memperkukuhkan komitmen kita, tanggungjawab kita, kewajipan kita, kesetiaan kita dan ketaatan kita terhadap negara kita yang tercinta.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Cinta bukan sekadar untuk disebut, dibaca, dinyanyi atau dilaungkan semata-mata. Cinta kita kepada orang yang tersayang dan Malaysia yang tersayang, mestilah disusuli dengan tindakan. Mestilah ditunjukkan dengan tindakan dan perbuatan yang bersungguh-sungguh. Sebentar lagi, YB Presiden parti akan berkongsi pengalaman dan kaedah beliau bagaimana kita boleh menterjemahkan cinta dan kasih sayang kita terhadap negara melalui perbuatan dan tindakan. Dengan bantuan pertunjukan multimedia. YB Presiden juga akan menunjukkan secara mendalam bagaimana setiap orang, tanpa mengira bangsa, agama, pangkat, umur dan keturunan, kita dapat mencitai Malaysia. Setiap orang dapat menyatakan cinta kita terhadap negara kita Malaysia.

Perkembangan semasa di negara kita dan juga di negara-negara di sekeliling kita memerlukan kita lebih bersatupadu dan berlindung di bawah naungan sebuah kerajaan yang kuat dan kukuh. Dengan menanam semangat cintakan negara, kita akan dapat menghadapi sebarang cabaran dan ancaman sama ada dari dalam mahupun dari luar. Kita juga harus bersyukur kerana tidak terjadi seperti yang berlaku di negara jiran yang mengalami masa depan yang tidak menentu akibat daripada perbuatan merusuh dan menimbulkan huru hara.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Keamanan, kemakmuran, kemajuan dan kesejahteraan negara tidak datang secara semulajadi. Ia mestilah dipupuk, dipelihara dan dipertahankan oleh setiap rakyat negara kita. Kesenangan dan kemudahan yang kita nikmati sekarang adalah hasil usaha gigih pemimpin-pemimpin kita pada waktu lampau. Untuk kita terus hidup dalam negara kita dan menikmati segala kemudahan yang ada, kita haruslah menyatakan cinta kita yang tidak berbelah bahagi terhadap negara kita Malaysia.

Oleh yang demikian, saya berharap tuan-tuan dan puan-puan akan dapat memberikan tumpuan dan perhatian yang secukupnya kepada ucapan yang akan disampaikan oleh YB Presiden, Datuk Yong Teck Lee. Saya ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Datuk Yong kerana tidak pernah kenal erti penat dan lelah dan berkerja kuat untuk menyampaikan mesej Cintai Malaysia kepada semua lapisan rakyat di seluruh negeri Sabah. Kita seharusnya mengambil contoh dan teladan yang telah ditunjukkan oleh YB Datuk Yong Teck Lee.

Tuan-tuan dan puan-puan, marilah kita sama-sama berdiri dan memberikan tepukan yang paling gemuruh kepada YB Datuk Yong Teck Lee.

Sekali lagi saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua hadirin atas sokongan yang telah diberikan dan tidak lupa juga kepada ahli jawatankuasa penganjur yang berkerja bertungkus lumus untuk menjayakan majlis kita pada malam ini.

Sekian dan terima kasih.

Friday, October 01, 1999

Ucapan Dewan Negara: Belanjawan 1999

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Belanjawan 1999

Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I, Datuk Sri Dr Mahathir Mohammad, atas pembentangan Belanjawan 1999 yang amat tepat dan sesuai pada suasana ekonomi masa kini.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 1999

1. Kebersihan Dan Penjagaan Sungai

Tuan Yang di-Pertua, pada persidangan yang lepas saya pernah membangkitkan masalah air dan sungai. Perbincangan dan perbahasan yang hangat telah dijalankan di Dewan yang mulia ini lebih-lebih lagi pada ketika itu negara kita sedang menghadapi masalah kekurangan air dengan banyak tempat terpaksa menghadapi catuan air.

Saya telah membangkitkan tentang pentingnya kita mengambil inisiatif untuk memastikan sumber air kita bersih dan selamat digunakan. Saya telah mencadangkan supaya langkah segera diambil untuk menguatkuasakan tanah simpanan sungai di kedua-dua tebing sungai terutama sekali daripada tempat pengepaman air hingga ke hulu sungai. Mengikut ordinan tanah yang sedia ada setiap sungai mempunyai tanah simpanan sungai sepanjang satu chain, dengan izin, atau 66 kaki, atau dua kali ganda lebar sungai. Tanah Simpanan Sungai ini tidak boleh diusik sama ada dengan mendirikan rumah atau dijadikan tempat pertanian. Ia mestilah dipelihara dalam keadaan semula jadinya. Ini akan memastikan air sungai ini sentiasa bersih sehingga ke tempat pengepaman. Dengan ini air yang dipam untuk dihantar ke loji pembersihan air adalah benar-benar bersih.

Dengan penguatkuasaan tanah simpanan sungai ini kebersihan punca air akan lebih terjamin. Walaupun penguatkuasaan undang-undang ini akan menimbulkan berbagai-bagai kerumitan kepada setengah-setengah pihak tetapi demi menjaga punca air yang lebih bersih, demi mengelakkan punca air daripada tercemar dan yang paling penting demi menjamin kesihatan setiap rakyat kita harus berkorban. Mereka yang bercucuk tanam di tepi sungai dan mendirikan rumah berdekatan dengan sungai seharusnya tidak berbuat demikian bermula dari awal lagi kerana mereka memang tahu akan kewujudan tanah simpanan sungai ini.

Tuan Yang di-Pertua, oleh yang demikian saya ingin mendapatkan kepastian daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Parit dan Taliair serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar tentang apakah langlah dan tindakan yang telah diambil dalam hal ini. Saya juga berharap kita tidak hanya membincang dan membahaskan perkara ini ketika kita menghadapi masalah tetapi melupakannya selepas masalah ini berakhir walaupun langkah punca masalah yang sebenarnya belum lagi diselesaikan.

2. Kenaikan Cukai Rokok dan Minuman Keras

Tuan Yang di-Pertua, seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan I dalam pembentangan Belanjawan 1999 yang lalu, cukai bagi rokok dan minuman keras telah dinaikkan. Walaupun pada satu ketika dahulu saya pernah bertanya kepada YB Menteri Kewangan pada ketika itu sama ada kerajaan bercadang menaikkan cukai rokok memandangkan bilangan perokok terutama sekali di kalangan remaja semakin meningkat, dan saya dimaklumkan bahawa kerajaan tiada cadangan untuk berbuat demikian pada ketika itu.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana mengumumkan peningkatan cukai terhadap rokok dan minuman keras. Langkah ini memang kena pada tempatnya walaupun ada pihak yang menganggap ini sebagai satu tindakan yang membebankan golongan yang berpendapatan rendah. Peningkatan harga rokok sebanar bukan bertujuan menindas golongan yang berpendapatan rendah. Ia sebenarnya satu langkah yang baik dan berkesan untuk mengelakkan orang ramai daripada terus ketagih dengan rokok. Peningkatan harga sebanarnya memberikan peluang dan alasan yang amat baik kepada mereka untuk berhenti daripada merokok.

Walaupun hampir semua perokok bersetuju bahawa merokok tidak membawa kebaikan kepada kesihatan tetapi ramai di antara para perokok merasa berat untuk berhenti merokok apatah lagi harga rokok masih dianggap murah. Dengan peningkatan harga rokok, saya berharap lebih ramai perokok akan berhenti merokok, terutama sekali golongan remaja dan pelajar. Ini bukan sahaja dapat menghindarkan diri daripada tabiat yang kurang baik malahan juga dapat menjimatkan wang ringgit mereka.

Di samping itu saya juga ingin mengulangi cadangan saya yang lalu supaya kerajaan meningkatkan usaha untuk membanteras rokok yang diseludup dari negara jiran. Kenaikan harga tentu sekali akan menambahkan lagi penyeludupan rokok haram kerana permintaannya dijangka bertambah. Oleh yang demikian untuk benar-benar mencapai matlamat menaikkan harga rokok, pihak berkuasa mestilah melipat gandakan usaha untuk membanteras kegiatan penyeludupan.

Selama ini bukan tidak ada penguatkuasaan dibuat terhadap penyeludupan rokok haram tetapi kegiatan ini masih berleluasa. Malahan penjualan rokok tanpa duti dilakukan secara terbuka di kebanyakan bandar utama di negeri Sabah seperti Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Saya percaya ada sesuatu yang tidak kena atau ada sesuatu yang terabai dalam perlaksanaan penguatkuasaan ini. Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa berkenaan dapat mengkaji semula langkah dan strategi yang telah diambil untuk benar-benar membanteras penyeludupan dan penjualan rokok secara haram.

3. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Tuan Yang di-Pertua, dengan perkembangan politik terbaru pada masa sekarang, Akta Keselamtan Dalam Negeri sekali lagi hangat diperbahaskan. Akan tetapi saya dapati ramai individu atau pertubuhan yang menyuarakan tentangan terhadap ISA adalah mereka yang berkepentingan diri dan tidak melihat ISA daripada perspektif yang betul. Mereka tidak melihatnya dari sudut pandangan seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara kita. Kebanyakan mereka menggunakan pandangan barat yang tidak sesuai langsung dengan budaya, politik, agama dan aspirasi negara ini.

Apa juga pandangan dan pendapat mereka, pada kita, ISA adalah undang-undang negara kita yang terbaik setakat ini dan ia telah jelas membantu mengekalkan keselamatan, keamaan dan keharmonian rakyat berbilangan kaum, agama dan keturunan. ISA telah berjaya menghalang isu-isu sensitif seperti perkauaman dan agama daripada dieksploitasikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Penentangan terhadap ISA juga juga jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghayati dan menghargai erti kemerdekaan negara kita. Mereka hanya mempertikai hak asasi seseorang individu atau segolongan kecil rakyat Malaysia yang ditahan di bawah akta ISA. Mereka menganggap bahawa hak asasi individu atau golongan tersebut telah diancam dan ditindas.

Mereka langsung tidak mengambil kira bencana besar yang mungkin melanda negara kita jika kita membiarkan golongan kecil ini terus membakar semangat rakyat untuk menentang kerajaan, untuk menimbulkan kekacauan dan menimbulkan rusuhan kaum. Apakah nanti tindakan golongan ini tidak menindas dan mengancam hak asasi rakyat Malaysia lain yang jauh lebih penting dan lebih ramai? Jika kita sering kali melaung-laungkan tentang demokrasi dan kebebasan, kenapa tidak mengambil kira majoriti rakyat Malaysia yang inginkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan hidup?

Tuan Yang di-Pertua, jika kita ikhlas dan jujur untuk memperjuangkan hak asasi manusia, maka kita juga perlu mengambil kira kepentingan orang ramai. Kita perlu mengambil kira kepentingan golongan yang tidak menyuarakan sebarang bantahan. Kita harus memikirkan kepentingan rakyat Malaysia berjumlah 22 juta orang yang turut mempunyai hak mereka sendiri.

Apa yang jelas kepada kita sekarang ialah golongan yang menyuarakan penentangan terhadap ISA, sama ada dari dalam mahupun luar negeri langsung tidak menyentuh tentang rusuhan yang telah ditimbulkan. Mereka langsung tidak mengambil kira sejarah hitam yang melanda negara kita apabila rusuhan seperti ini dibiarkan berlanjutan. Mereka hanya mempertikaikan penahanan beberapa individu dan memberi gambaran seolah-olah seluruh negara berada dalam satu keadaan huru-hara. Tindakan mereka ini dengan jelas menunjukan mereka tidak jujur dalam memperjuangkan keadilan tetapi sekadar memperjuangkan kepentingan individu yang sempit dan mengabai kepentingan orang ramai yang membentuk majoriti rakyat negara ini. Ini merupakan satu pembohongan besar terhadap kebenaran dan keadilan yang mereka laung-laungkan.

Tuan Yang di-Petua, kita harus sedar bahawa negara kita adalah berbeza daripada negara-negara lain di dunia. Kita mencapai kejayaan yang ada pada hari ini adalah hasil daripada pelbagai pengajaran dan sejarah pahit yang pernah kita lalui. Oleh yang demikian mereka yang tidak memahami sejarah negara ini tidak harus dan tidak layak langsung untuk mempertikaikan penguatkuasaan ISA di negara kita.

Ada pihak yang mendakwa bahawa ISA akan disalahgunakan, tetapi sejarah teleh membuktikan bahawa ISA bukan sahaja digunakan terhadap pemimpin parti pembangkang, ia juga digunakan terhadap penyokong dan pemimping Barisan Nasional malahan menteri sekalipun. Ini jelas menunjukkan kuasa yang telah diperuntukkan tidak disalahgunakan. ISA hanaya digunakan terhadap mereka yang mengugat ketenteraman dan keselamatan negara.

Kepada media asing dan pemimpin negara asing, saya berharap mereka mengkaji dengan lebih mendalam tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri di negara ini. Jika mereka jujur dan ikhlas dalam mencari kebenaran tentang ISA, mereka akan dapati bahawa ISA mungkin dapat dipraktikkan di negara mereka sendiri dan menyelesaikan banyak masalah, rusuhan dan ketidakstbilan politik. Adalah amat memalukan jika mereka sendiri tidak dapat menentukan keamaan dan kestabilan di dalam negara mereka sendiri tetapi berlagak sombong dan berlagak pandai untuk mempertikaikan hal ehwal negara kita seolah-olah mengajar itik berenang. Sudah sampai masanya mereka melihat masalah negara dan undang-undang mereka sendiri. Sudah sampai masanya mereka bertanya sama ada undang-undang mereka memadai untuk menjamin keamanan dan keselamatan. Sudah sampai masanya mereka bertanya sama ada mereka telah memastikan nasib majoriti rakyat mereka terbela dan nasib golongan minoriti tidak diabaikan. Sudah sampai masanya mereka belajar daripada pencapaian Malaysia dalam menangani masalah perkauman dan rusuhan kaum. Dan sudah sampai masanya mereka menimbangkan kemungkinan memperkenalkan ISA di negara mereka sendiri.

Kepada golongan yang menghabiskan masa dan wang ringgit untuk menentang ISA saya mencadangkan supaya mereka menumpukan usaha dan masa mereka untuk membantu negara memulihkan ekonomi dan bukannya memburuk-burukkan negara dan memudaratkan ekonomi. Jika mereka benar-benarkan cintakan negara mereka harus mengutamakan agenda yang lebih penting iaitu pemulihan negara dan bukannya memperjuangkan kepentingan individu tertentu. Mereka harus menunjukan kepada masyarakat umum bahawa mereka benar-benar prihatin terhadap kepentingan orang ramai.

Tuan Yang di-Pertua, kita harus juga ingat bahawa tidak ada kebebasan mutlak di mana-mana. Malahan di negara yang mendakwa mempunyai kebebasan yang amat luas masih berlaku penindasan terhadap golongan kulit hitam dan penduduk asli. Kebebasan akhbar atau kebebasan media yang dikatakan hanya digunakan untuk memburuk-burukkan orang-orang tertentu yang mereka tidak suka dan jelas menunjukan sikap berat sebelah dan pilih kasih dalam laporan mereka. Kebebasan bagi mereka sebanarnya merupakan alasan dan senjata untuk mereka melakukan pembohongan, menganiayai golongan yang kurang mampu dan mengekalkan kepentingan diri mereka.

Sebaliknya kebebasan yang kita amalkan di negara kita adalah kebebasan yang matang dan kebebasan yang bertanggungjawab. Kita bebas bersuara tetapi pandangan, pendapat dan kritikan kita janganlah berniat jahat, Ia hendaklah membina dan bertujuan untuk membaik kelemahan. Kebebasan yang ada bukanlah untuk digunakan bagi tujuan menimbulkan huru-hara dan rusuhan. Pendek kata jika kebebasan tidak disertakan dengan kematangan berfikir dan rasa tanggungjawab ia hanyalah kebebasan untuk satu pihak sementara kebebasan dan hak pihak lain akan terancam dan dinodai.

Tuan Yang di-Pertua, saya berharap kerajaan tidak akan tunduk kepada tuntutan golongan ini yang sengaja mecari publisiti dengan mengungkitkan isu ISA. Mereka ini langsung tidak faham tentang sejarah pembentukan negara dan tidak faham langsung tentang erti kemerdekaan yang kita nikmati selama ini.

4. Cuti Pada Satu Hari Sabtu Setiap Bulan

Tuan Yang di-Pertua, saya mengalukan-alukan cadangkan kerajaan untuk menjadikan satu hari Sabtu dalam setiap bulan sebagai hari cuti umum. Walaupun ketika membuat cadangan tersebut YAB Perdana Menteri memberitahu bahawa tujuannya adalah untuk menggalakkan pelancongan dalam negeri, saya berpendapat implikasinya adalah jauh lebih daripada sekadar meningkatkan industri pelancongan.

Dengan adanya cuti tambahan sebanyak sehari dalam sebulan ini akan menggalakkan rakyat negara ini menggunakan masa ini untuk mejelajahi tempat-tempat menarik dan bersejarah. Ini bukan sahaja dapat merehatkan kepenatan kerja malahan juga dapat menambahkan pengetahuan untuk diri dan juga anggota keluarga yang lain. Lawatan ini juga akan memberi peluang kepada rakyat jelata untuk lebih mengenali negara sendiri di samping menghayati keindahan alam semulajadi, tempat bersejarah dan tempat-tempat yang menjadi kemegahan negara. Ini dengan sendirinya menambahkan rasa cinta kepada negara kita.

Di samping itu juga cuti tambahan ini juga membolehkan kita mempunyai lebih masa untuk bersama keluarga dan sudah tentu akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Kasih sayang dan perhatian yang lebih akan dapat ditumpukan kepada anak-anak. Ini dengan sendirinya akan membina sebuah institusi keluarga yang lebih penyayang dan kukuh. Insitusi keluarga yang kukuh akan mengurangkan masalah sosial di kalangan remaja di samping mengurangkan masalah keruntuhan rumahtangga.

Bagi mereka yang suka melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan aktiviti amal, cuti tambahan ini juga merupakan satu peluang tamabahan kepada mereka. Ini akan membantu melahirkan sebuah mayarakat yang sihat dan penyayang.

Bagi kebanyakan orang pengumuman kerajaan bahawa tiada bonus akan dibayar pada penghujung tahun ini merupakan satu berita yang kurang menyenangkan. Namun begitu sebagai rakyat yang memahami masalah yang sedang dihadapi oleh negara masa kita, kita mestilah bersikap lebih rasional, prihatin dan bertanggungjawab. Kita harus mengambil kira pemberian cuti tambahan pada setiap bulan dan pengecualian cukai pendapatan juga merupakan satu bentuk bonus yang perlu dihargai.

Akan tetapi, kita janganlah mengambil kesempatan dengan pemberian cuti tambahan ini sehingga ianya disalahgunakan. Dengan cuti tambahan yang telah diberikan pada setiap bulan adalah diharapkan agar semua kakitangan awam akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang. Tabiat suka melengah-lengahkan kerja, kelewatan tiba ke tempat bekerja, mengambil masa yang panjang untuk rehat dan makan tengah hari, awal meninggalkan tempat kerja dan sebagainya harus dikikis. Tabiat yang kurang sihat ini bukan sahaja menyusahkan orang ramai yang berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan malahan juga menjejaskan imej pentadbiran awam. Oleh yang demikian saya berharap dengan cuti tambahan ini akan dapat mengajak semua kakitangan awam untuk memulakan era perkhidmatan yang lebih cekap, bersih dan amanah.

Untuk memastikan cuti tambahan ini dilaksanakan dengan baik dan tidak disalahgunakan, satu garis panduan yang jelas perlu disediakan. Hari Sabtu yang hendak dijadikan cuti hendaklah dimaklumakan terlebih dahulu dan tidak ditetapkan sesuka hati. Ini akan mengelakkan timbulnya kesulitan kepada orang ramai yang ingin berurusan dengan jabatan atau agensi tersebut. Cuti juga haruslah diselaraskan bagi semua agensi dan jabatan untuk mengelakkan tergendalanya hubungan antara satu agensi dengan satu agensi yang lain.

5. Tindakan Membabitkan Orang Asing Dalam Urusan Rumahtangga Negara

Tuan Yang di-Pertua, perkembangan ekonomi dan politik tanahair masa kini telah memperlihatkan adanya tanda-tanda ketidaksetiaan sebilangan kecial rakyat Malaysia terhadap negara ini. Keadaan ini jika tidak dibendung akan lama kelamaan menjadi satu penyakit yang amat merbahaya kepada keselamatan dan kedaulatan negara ini.

Tindakan golongan tertentu yang menyimpan wang mereka di luar negara apabila negara mengalami kegawatan ekonomi menunjukkan golongan ini yang menjadi kaya raya hasil daripada pelbagai langkah bijak kerajaan menarik pelabur asing dan membina satu suasana ekonomi yang memberangsangkan, sebenarnya merupakan golongan yang pandai mengambil kesempatan tanpa mengambil kira kepentingan negara.

Apabila kerajaan mengumumkan langkah-langkah untuk menyekat pengaliran keluar ringgit dan menambahkan tabungan negara maka golongan ini jugalah yang mula-mula menyuarakan tentangan dan bantahan.

Ada juga golongan tertentu di negara ini yang sentiasa menjadi tali balut media asing yang memberikan maklumat yang tidak betul serta memburukkan negara. Laporan akhbar dan media elektronik asing jelas menunjukkan ada golongan tertentu yang terlibat dalam usaha memburuk-burukkan nama negara kita. Laporan yang diberikan jelas berat sebelah dan memihak kepada pihak tertentu. Laporan tersebut juga jelas menunjukkan ketidak matangan dalam profesyen kewartawanan.

Dengan sengaja membesar-besar rusuhan di ibu kota seolah-olah seluruh negara berada dalam keadaan darurat adalah satu tindakan yang amat jahat dan tidak bertanggungjawab. Ini jelas telah menjejaskan kunjungan pelancong asing ke negara ini. Dan ini sekaligus menjejaskan industri pelancongan yang merupakan penyumbang ketiga terbesar terhadap pendapatan negara.

Penglibatan orang asing terutama sekali beberapa pemimpin negara luar terhadap hal ehwal negara kita juga amat dikesali. Kenyataan yang dibuat oleh mereka jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati perjanjian tidak mencampuri urusan rumahtangga negara jiran, Tindakan mereka juga sengaja dilakukan untuk merendah-rendahkan mahkamah negara ini.

Penyebaran berita-berita palsu melalui internet juga merupakan satu gejala baru dalam penyebaran propaganda di negara ini. Walaupun setakat ini belum ada tindakan untuk menyekat penyebaran berita berkenaan di internet saya berharap kerajaan dan rakyat negara ini yang cintakan negara ini dapat turut menyumbangkan laporan yang betul untuk tatapan dunia melalui internet. Dengan tidak mengendahkan dakwaan palsu dalam internet bukanlan langkah yang bijak kerana ia akan menimbulkan syak dan wasangka. Akan tetapi kita tidak perlu mengikut jejak langkah mereka untuk menjadikan internet sebagai medan propaganda atau medan untuk mencaci hamun pihak tertentu. Apa yang kita perlu lakukan ialah memberikan gambaran dan penjelasan yang sebenar. Saya pasti rakyat Malaysia serta dunia luar yang sudah bosan dengan propaganda palsu akan berpeluang menerima maklumat yang tepat.

Saya juga berharap pihak Kementerian Penerangan dapat mempertingkatkan kempen cintakan Malaysia. Kempen ini perlu dipergiatkan untuk menaikkan semangat cintakan negara di kalangan rakyat berbilang kaum. Kempen ini juga perlu untuk memberi kesedaran kepada rakyat jelata betapa pentingnya kita mengekalkan keamanan dan kestabilan terutamanya pada masa sekarang.

Filem, drama dan rencana tentang perjuangan kemerdekaan dan sejarah hitam yang pernah melanda negara kita harus ditayangkan semula untuk mengajak rakyat merenung kembali tentang kepahitan dan kepayahan pemimpin kita yang lalu memperjuangkan kemerdekaan. Kita sebagai golongan yang menikmati kesenangan hasil daripada perjuangan pemimpin yang lampau harus menghargai pengorbanan mereka. Kita juga harus mengekalkan kemerdekaan dan keamanan yang telah kita nikmati selama ini dan tidak sewenang-wenangnya dipengaruhi dengan usaha golongan tertentu yang bertujuan memporak perandakan negara.

Saya juga berharap Kementerian Pendidikan dapat meningkatkan usaha untuk menjadikan mata pelajaran sejarah lebih menarik untuk dipelari dan seterusnya memastikan setiap pelajar benar-benar faham akan sejarah negara kita dan bukan sekadar menjadikannya sebagai satu mata pelajaran untuk diduduki semasa peperiksaan.

Di samping itu juga, saya berharap setiap guru besar dan pengetua sekolah akan dapat memberikan nasihat kepada semua pelajar agar menggunakan masa cuti dengan cara yang berfaedah dan bukannya terlibat dengan kegiatan yang kurang sihat serta tidak terlibat dengan sebarang demonstrasi dan tunjuk perasaan. Institusi pengajian tinggi juga diharap dapat mengambil tindakan yang tegas terhadap pelajar-pelajar mereka yang terlibat dengan tunjukan perasaan haram. Ramai di anatara mereka ini yang mendapat biasiswa awam yang datangnya daripada para penyumbang cukai pendapatan. Oleh itu mereka harus menumpukan perhatian mereka terhadap pelajaran dan bukannya terlibat dalam kegiatan haram yang langsung tiada kaitan dengan pelajaran mereka. Jika tidak biasiswa mereka harus ditarik balik dan diberikan kepada pelajar lain yang lebih layak dan berminat dalam pelajaran.

Dengan usaha ini, saya berharap rakyat dari semua lapisan akan mempunyai lebih keyakinan terhadap arah tuju negara dan tidak mudah terpengaruh oleh dakyah palsu dan jahat daripada golongan yang ingin menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Masa depan negara kita terletak di tangan setiap rakyat negara ini. Oleh yang demikian setiap rakyat harus bertanggungjawab untuk memastikan kita terus hidup dengan aman, makmur dan terhormat di mata dunia.

6. Levi terhadap Penjualan Minyak Kelapa Sawit Mentah apabila harga melebihi RM2,000 setan

Tuan Yang di-Pertua, YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan 1 telah menyatakan bahawa industri minyak kelapa sawit mentah didapati meraih keuntungan yang lebih kerana harga jualan yang tinggi berikutan kejatuhan nilai Ringgit. Oleh itu, industri ini perlu memberi sumbangan yang berpatutan bagi membantu Kerajaan mendapat hasil tambahan.

Beliau telah mencadangkan supaya levi keuntungan dikenakan ke atas minyak sawit mentah apabila harganya melebihi 2,000 Ringgit setan. Pada harga dalam lingkungan 2,000 Ringgit sehingga 2,050 Ringgit, levi ditetapkan pada kadar bersamaan nilai harga yang melebihi 2,000 Ringgit. Walau bagaimanapun, apabila harga melebihi 2,050 Ringgit kadarnya adalah 50 Ringgit setan.

Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 1999 negara kita dijangka akan dapat menghasilkan satu juta tan minyak mentah sebulan. Ini bermakna kita akan menerima pendapatan tambahan sebanyak RM 50 juta sebulan atau RM 600 juta setahun.

Saya mencadangkan supaya sebahagian daripada keuntungan yang diterima daripada kutipan tamabahan ini digunakan semula untuk kemudahan dan pembanguan pekebun kelapa sawit.

Ini memandangkan pada masa sekarang terdapat banyak pekebun kecil kelapa sawit yang wujud di celah-celah ladang kelapa sawit yang besar. Kebanyakan daripada kebun ini adalah jauh daripada jalanraya utama. Ini menyulitkan perhubungan mereka kerana mereka terpaksa menggunakan jalan ladang yang lebih besar. Oleh kerana jalan tersebut merupakan jalan milik persendirian pekebun kecil ini biasanya dikenakan tol. Bayaran tol ini bukan sahaja menyusahkan tetapi juga membebankan.

Oleh yang demikian saya berharap agar jalanraya ini diambil alih oleh kerajaan persekutuan bagi kemudahan semua pengguna. Ini bukan sahaja akan mengurangkan bebanan para pekebun kecil tetapi juga boleh membantu memajukan sektor perladangan kelapa sawit. Kemudahan perhubungan yang lebih baik dan teratur juga dapat disediakan kepada pekerja serta penduduk di sekitar kawasan pertanian ini.

Sekian dan terima kasih.