Saturday, December 30, 2000

Jamuan Hari Raya Aidilfitri Bersama Persatuan Pemberita Tawau - 2000

Ucapan Datuk Geoffrey Yee Lung Fook
30hb Disember 2000

Selamat Hari Raya Aidifitri dan Salam Sejahtera. Setelah setahun lamanya kita bersama dalam majlis seperti ini, saya merasa gembira kerana masih lagi termasuk dalam senarai orang-orang yang masih ditemui dan diingati oleh para pemberita sekalian. Terima kasih di atas penghargaan yang telah diberikan kepada saya. Terima kasih juga kerana sudi menjemput saya untuk sama-sama merayakan Hari Raya yang cukup bermakna ini.

Setelah sekian lama saya tidak diburu oleh para pemeberita seperti Perdana Menteri atau bintang filem, tetapi ini tidak bermakna saya tidak mengambil tahu tentang perkembangan yang berlaku terutama sekali yang berkaitan dengan penduduk Tawau. Saya juga sentiasa mengikuti perkembangan tugas dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan oleh para pemberita sekalian.

Persatuan Pemberita, di bawah pimpinan saudara Hiew serta ahli jawatankuasanya ditambah pula dengan kerjasama dan sokongan yang telah diberikan oleh semua ahli, telah banyak membawa kejayaan serta pencapaian yang bermakna seperti mana yang dapat kita sama-sama saksikan pada malam ini.

Saya percaya Persatuan ini telah mengamalkan sepenuhnya prinsip kejayaan persatuan dan pertubuhan iaitu, patuh dan hormat pada pemimpin yang dipilih, bermuafakat dalam merancang aktiviti, berganding bahu melaksanakan tugas dan tanggungjawab serta mempunyai semangat sayangkan persatuan. Dengan mengamalkan prinsip-prinsip ini, saya percaya Persatuan ini akan terus mencapai kejayaan yang lehih baik pada masa akan datang.

Saudara-saudari sekalian,

Media masa memainkan peranan yang amat penting dalam era teknologi maklumat dan komunikasi ( Information and Communication Technology). Daripada media kita dapat mengetahui apa yang berlaku di sekeliling kita sama ada dekat atau jauh. Dengan itu kita tahu apa yang harus dilakukan untuk berhadapan dengan keadaan atau kemungkinan yang bakal berlaku. Oleh itu laporan yang dibuat hendaklah tepat, cepat dan memberi manafaat kepada pembaca atau pengguna. Setiap pemberita atau wartawan mempunyai tanggungjawab sosial untuk memaklumkan yang benar, menghebahkan yang baik dan mencegah yang mungkar. Dengan ini barulah kita benar-benar dapat menjadi suara rakyat.

Satu perkara yang amat sedih berlaku di kalangan media masa pada hari ini ialah trend mengutamakan laporan berbentuk gossip, sensasi serta kontroversial. Tidak dapat dinafikan bahawa berita atau laporan berbentuk skandal mendapat sambutan baik di kalangan pembaca serta melariskan jualan akhbar, tetapi ia telah membawa banyak akibat buruk kepada orang yang menjadi bahan cerita atau gossip. Ia juga menjejaskan imej para pemberita. Kita tidak seharusnya menggunakan penderitaan orang lain untuk melariskan jualan akhbar atau majalah kita. Kita sepatutnya bersimpati dengan orang yang ditimpa nasih yang baik. Oleh itu, saya berharap Persatuan Pemberita Tawau dapat menjadi contoh serta teladan kepada pemberita lain yang hanya berminat terhadap berita-berita sensasi.

Di samping itu, dengan perkembangan globalisasi yang pesat pada hari ini, semakin ramai rakyat Malaysia yang menggunakan internet. Ramai juga yang lebih cenderung untuk mendapatkan berita luar negeri melalui internet berbanding dengan berita tempatan atau laporan akhbar. Perkembangan ini pada satu segi merupakan satu kemajuan yang harus dibanggakan kerana golongan celik internet semakin bertambah. Akan tetapi dari satu segi yang lain ia akan menjejaskan para wartawan yang menyumbangkan berita untuk akhbar konvensional. Oleh itu saya menyeru semua ahli Persatuan ini supaya mengambil inisiatif untuk menambahkan kemahiran dalam penggunaan komputer dan mempelajari selok-belok internet supaya kerjaya kita dapat disesuaikan serta digunapakai dengan lebih berkesan dalam zaman moden ini.

Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih kepada anda yang sudi menjemput saya ke majlis ini pada malam ini. Saya berharap pada tahun akan datang, saya masih lagi berpeluang bersama-sama anda dalam majlis seperti ini, sama ada sebagai tetamu, atau seperti apa yang saya lakukan pada malam ini.

Sekian dan terima kasih.