Tuesday, March 30, 1999

Surat Kepada Ketua Menteri Sabah: Cukai Minyak Kelapa Sawit

30hb Mac 1999



Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah atas usaha kerajaan negeri mengambil langkah segera untuk menambahkan tabung kewangan negeri.



Cadangan kerajaan negeri untuk mengenakan cukai jualan ke atas minyak kelapa sawit apabila harga melebihi RM1,000 akan dikenakan cukai jualan sebanyak RM50 adalah cadangan yang baik dari satu segi. Akan pada satu segi yang lain cadangan ini perlu diteliti dengan lebih mendalam dan mengambil beberapa faktor lain supaya cadangan ini tidak menjadi tindasan terhadap golongan tertentu.



Saya meminta kerajaan supaya menangguhkan cadangan ini sebelum kajian yang lebih mendalam dibuat agar keputusan ini nanti bukan sahaja menguntungkan kerajaan negeri malahan turut membawa manafaat kepada pekebun atau peladang yang terlibat.



Cadangan kerajaan negeri ini adalah tidak selaras dengan cadangan asal Perdana Menteri (merangkap Menteri Kewangan I ketika itu) semasa membentangkan Belanjawan 1999 pada bulan Oktober 1998. Kita akui bahawa negeri Sabah menerupakan pengeluar minyak kelapa sawit yang terbesar di negara ini. Oleh itu struktur cukainya mungkin berbeza. Akan tetapi pelaksanaannya mestilah memberi faedah kepada semua pihak.



Justeru itu, adalah menjadi harapan saya agar kerajaan negeri mengambil kira beberapa faktor dan cadangan saya sebelum keputusan ini dilaksanakan.



Perlu diingat bahawa lebih daripada 80% daripada ladang kelapa sawit dimiliki oleh syarikat gergasi yang tersenarai dalam Bursa Saham Kuala Lumpur atau syarikat berhad lain yang besar. Sementara yang selebihnya merupakan pekebun kecil.



Seperti yang pernah saya suarakan dalam persidangan parlimen yang lalu serta kenyataan akhbar yang pernah saya keluarkan sebelum ini bahawa kebanyakan pekebun kecil terpaksa membayar tol jalan kerana kebun mereka terletak jauh daripada jalanraya utama. Mereka terpaksa menggunakan jalanaraya yang disediakan oleh ladang besar. Ladang besar pula terpaksa mengenakan bayaran tol kerana mereka membelanjakan banyak wang untuk membina dan memelihara jalanraya tersebut.



Oleh yang demikian cukai jualan yang dicadangkan hendaklah dikecualikan daripada dikenakan kepada pekebun kecil. Cukai jualan ini hendaklah dikenakan kepada syarikat besar sahaja.



Cadangan untuk mengenakan cukai jualan apabila harga melebihi RM1,000 juga terlalu umum dan mengelirukan. Oleh itu saya mencadangkan supaya formula berikut diguna pakai.



RM 1,010 – RM 1,529 => RM 10

RM 1,530 – RM 2,049 => RM 30

RM 2,050 ke atas => RM 50



Satu perkara yang amat penting ialah sebahagian hasil daripada kutipan cukai jualan minyak kelapa sawit ini mestilah dibelanjakan semula untuk membina, membaiki dan memelihara jalanraya di ladang dan kebun untuk mengurangkan kos perbelanjaan para peladang dan pekebun kecil.



Selain daripada itu, sebahagian daripada cukai ini juga perlu digunakan penyelidikan dan pembangunan sektor perladangan kelapa sawit. Ini akan membolehkan kelapa sawit terus berdaya saing di pasaran antarabangsa.



Saya amat berharap agar Kerajaan Negeri dapat mengambil kira cadangan saya dalam perlaksanaan cukai jualan minyak kelapa sawit ini.

Sunday, March 14, 1999

Kenyataan Akhbar - Kekalahan Datuk Michael Lim

Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Pengarah Pilihanraya N48 Sri Tanjung

14hb. Mac 1999



Seperti yang telah kita sama-sama maklum bahawa keputusan Pilihanraya Negeri Sabah telah diketahui dengan sepenuhnya. Barisan Nasional telah diberi mandat yang lebih besar untuk mentadbir negeri Sabah.



Namun begitu kegagalan calon Barisan Nasional Datuk Michael Lim Yun Sang untuk mempertahankan Sri Tanjung amat memeranjatkan dan menyedihkan. Barisan Nasional pada peringkat Sri Tanjung, dengan kerjasama erat semua parti komponen Barisan Nasional telah bekerja keras untuk memastikan kemenangan calon kita. Kita telah membuat persediaan yang terbaik dan melakukan yang terbaik untuk mengekalkan kerusi Sri Tanjung.



Akan tetapi, sebagai parti yang mengamalkan demokrasi kita menerima keputusan rakyat di Sri Tanjung dan menghormati pilihan rakyat. Sebagai pengarah pilihanraya bagi Sri Tanjung saya bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keputusan pilihanraya ini.



Akan tetapi ini tidak bermakna kita telah berputus asa. Kita sedar sepenuhnya lumrah pilihanraya, yakni ada menang dan ada kalah. Kita akan menjalankan 'post-mortem' dengan secepat mungkin dan mengkaji semula dari semua aspek bagi mendapatkan punca kekalahan ini. Berdasarkan 'post-mortem' kita akan merangka satu strategi yang baru untuk memastikan kita mendapatkan semula kerusi Sri Tanjung dalam pilihanraya yang akan datang. Kita akan berkerja keras walaupun terpaksa bermula dari permulaan.



Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan ribuan terima kasih kepada semua petugas parti, sama ada Parti Maju Sabah (SAPP) mahupun parti-parti komponen Barisan Nasional yang lain, semua penyokong Barisan Nasional dan semua pengundi yang telah memberikan sokongan kepada calon Barisan Nasional. Saya juga tidak lupa untuk mengucapkan terima kasih kepada Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) dan pasukan keselamatan yang telah bekerja keras untuk memastikan pilihanraya ini berjalan dengan lancar dan licin tanpa sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.



Kita penuh yakin dan percaya bahawa kegagalan ini adalah bersifat sementara sahaja. Kita akan terus berusaha sedaya upaya kami melalui saluran-saluran yang agak terhad sekarang, tidak lagi mempunyai wakil dalam Barisan Nasional, untuk membantu rakyat di Sri Tanjung. Oleh yang demikian saya menyeru kepada semua pengundi Barisan Nasional supaya tidak perlu kecewa atau merasa bimbang dengan hakikat ini.



Saya cukup sedar bahawa keputusan yang telah kita perolehi telah menunjukkan bahawa sebahagian besar penduduk Sri Tanjung cuma tahu meminta bantuan dan pertolongan daripada kerajaan Barisan Nasional terutama sekali dalam mendapatkan peruntukan untuk sekolah, pertubuhan sukarela dan tempat-tempat beribadat tetapi tidak memberikan sokongan yang padu kepada calon Barisan Nasional. Nampaknya ada di antara kita yang tidak menghargai kemudahan dan kesenangan yang kita nikmati hasil daripada dasar liberal kerajaan Barisan Nasional yang bukan sahaja menjaga pengundi Barisan Nasional malahan pengundi pembangkang. Saya merasa amat sedih dan terkilan atas trend yang telah ditunjukkan oleh para pengundi. Tetapi ini tidak menghalang kita daripada terus berusaha keras untuk memastikan semua rakyat Sri Tanjung menerima Barisan Nasional sepenuhnya.



Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah kepada wakil rakyat N48 Sri Tanjung yang baru. Saya percaya semua calon yang terpilih dalam pilihanraya kali ini akan menunaikan segala janji dan jaminan yang telah diberikan.



Saya juga tidak lupa untuk menyeru kepada semua rakyat di kawasan Sri Tanjung supaya dapat bersatupadu semula untuk kepentingan Sri Tanjung dan memberikan kerjasama kepada wakil rakyat yang baru untuk membangunkan kawasan Sri Tanjung. Kita harus memberikan peluang kepada wakil rakyat yang baru untuk membuktikan kebolehan beliau dan memberi peluang kepada beliau untuk menunaikan segala apa yang telah dijanjikan. Pilihanraya sudah berakhir dan kini tibalah masanya untuk kita kembali kepada tugas dan tanggungjawab kita seharian.



Terima kasih.

Monday, March 01, 1999

Pilihanraya Negeri Sabah 1999

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Mac 1999



Kesejahteraan Hidup



Tuan-tuan dan puan-puan, sebagai seorang rakyat biasa, keperluan kita yang paling asas adalah pekerjaan, tempat tinggal, keselamatan dan keselesaan hidup. Ini bermakna kita memerlukan satu keadaan yang mudah untuk mencari pekerjaan dengan pendapatan yang berpatutan. Pekerjaan yang saya maksudkan bukan sahaja untuk kita sendiri malahan untuk anak-anak kita, dan ahli-ahli keluarga kita yang lain. Untuk mempunyai peluang pekerjaan yang cukup, kita mesti mempunyai sebuah kerajaan yang stabil, sebuah kerajaan yang mendapat kerjasama dan bantuan daripada kerajaan pusat.



Hubungan yang baik di antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat amatlah penting, sama seperti hubungan seorang anak dengan seorang anak. Jika anak dan bapa bergaduh maka runtuhlah keluarga. Oleh itu hubungan baik di antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat juga akan menentukan kestabilan politik di negeri ini.



Dengan adanya kestabilan politik barulah kita akan dapat melaksanakan kegiatan ekonomi kita. Keselamatan negeri ini juga akan turut terjamin. Ini akan menarik lebih banyak pelabur ke negeri kita. Dengan itu peluang pekerjaan kita akan bertambah dan kita juga mudah mendapatkan pekerjaan.



Sama juga keadaannya jika dengan tempat tinggal. Semua orang ingin memiliki rumah sendiri. Untuk memperolehi rumah sendiri kita perlukan pekerjaan yang tetap untuk mendapatkan wang. Kita perlu ada kestabilan ekonomi dan politik untuk membolehkan para pemaju membina rumah. Pemaju tentu sekali tidak maju membina rumah di sesebuah negeri yang tidak menentu masa depannya kerana mereka mungkin mengalami kerugian yang besar. Tidak ada orang yang mahukan kerugian. Dengan ekonomi yang tidak menentu kita juga sukar mendapatkan pinjaman daripada bank atau syarikat kewangan. Ini tentu sekali akan membantutkan peluang kita untuk mendapat pekerjaan.



Tuan-tuan dan puan-puan, kebahagiaan sesebuah keluarga banyak bergantung kepada keadaan sesebuah negeri iaitu keadaan politik dan juga ekonominya. Mungkin kita kurang merasai hubungan politik dan ekonomi negara dengan kehidupan kita seharian. Lihatlah bagaimana kegawatan ekonomi yang telah melanda negara kita telah sedidit sebanyak menyukarkan kehidupan kita. Kenaikan harga barang dan kenaikan kadar faedah sudah cukup menyusahkan kita. Lihatlah bagaiman kehidupan rakyat di negara-negara jiran yang mengalami pelbagai masalah berpunca daripda masalah ekonomi.



Akan tetapi, kita harus ingat, berbanding dengan negara-negara jiran kita, kita masih jauh lebih bertuah dan bernasib baik. Kita harus ingat kita bernasib baik dan bertuah kerana kita mempunyai kerajaan yang stabil dan pemimpin yang berwawasan serta prihatin. Hanya kerajaan kita, Barisan Nasional di bawah pimpinan YAB Dato’ Dr Mahathir Mohammad yang berani mengambil langkah yang bijak untuk menyekat kegawatan ekonomi daripada terus memudaratkan negara kita. Itulah sebabnya kita tidak terjerumus seperti negara-negara jiran kita yang lain. Semua ini hanya dapat dilakukan kerana kita mempunyai sebuah kerajaan yang stabil seperti Barisan Nasional.



Oleh yang demikian, untuk membolehkan kita meneruskan pekerjaan kita dengan baik, untuk membolehkan kita terus menguruskan persekolahan anak-anak kita serta terus membolehkan kita menjalankan kehidupan kita seharian dengan baik, malah lebih baik, maka kita perlulah memastikan kerajaan sekarang iaitu kerajaan Barisan Nasional terus diberi mandat dan mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya akan datang. Kita mesti memastikan kerajaan Barisan Nasional terus memerintah negeri Sabah.



Tuan-tuan dan puan-puan, hanya Barisan Nasional sahajalah yang dapat menjamin kehidupan kita semua yang lebih baik dan bahagian. Oleh yang demikian undilah Barisan Nasional. Undilah Barisan Nasional untuk masa depan kita, undilah Barisan Nasional untuk kesejahteraan kita, undilah Barisan Nasional untuk kesejahteraan anak-anak kita. Masa depan kita terletak pada tangan kita, jangan sia-siakan undi kita.





Hubungan Kerajaan Negeri Dengan Kerajaan Pusat



Tuan-tuan dan puan-puan, ada pihak-pihak tertentu yang mempersoalkan tentang hubungan baik di antara kerajaan negeri dengan kerajaan pusat. Ada pihak yang beranggapan bahawa kunjungan menteri-menteri persekutuan ke Sabah merupakan satu bentuk penjajahan. Ada juga yang beranggapan bahawa rakyat Sabah tidak pandai mentadbir negeri kita sendiri dan diperintah oleh kerajaan pusat.



Tuan-tuan dan puan-pusat, hubungan di antara kerajaan pusat dengan kerajaan negeri di Malaysia adalah sama seperti hubungan bapa denga anak dalam sebuah keluarga. Bapa sebagai ketua keluarga menentukan soal-soal dasar bagi sesebuah keluarga. Anak-anak pula membuat keputusan yang lebih bersifat tempatan dan peribadi. Hubungan yang baik dalam sesebuah keluarga akan menjadikan rumah tangga itu bahagia dan dibormati. Jika mereka menghadapi masalah, masalah mereka akan dapat diselesaikan dengan baik. Jika anak menghadapi masalah dia akan dapat berbincang dan meminta bantuan daripda bapa.



Oleh yang demikian, tidak siapa yang dapat menafikan bahawa sesebuah kerajaan negeri dapat berfungsi dengan baik tanpa kerajaan pusat. Tidak siapa yang dapat menafikan bahawa jika hubungan anak dan bapa seperti musuh, maka banyak masalah tidak dapat diselesaikan dengan baik.



Tuan-tuan dan puan-puan, sejarah telah membuktikan bahawa mana-mana kerajaan negeri yang dapat mentadbir negeri mereka dengan baik mempunyai hubungan yang baik dengan kerajaan pusat. Lihatlah jiran kita negeri Sarawak yang jauh lebih maju daripada kita.

Ucapan Ulung Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Parlimen Kesembilan, Penggal Keempat, Dewan Negara

1998



Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin menjunjung kasih Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong di atas perlantikan saya sebagai senator yang baru. Saya akan mencuba sedaya upaya saya untuk menjalankan tugas saya dengan penuh dedikasi, bertanggungjawab dan dinamik. Saya tidak akan menghampakan harapan dan kepercayaan yang telah diberikan kepada saya.





Kegawatan Ekonomi



Tuan Yang di-Pertua, masalah kegawatan ekonomi yang melanda negara kita telah menjejaskan kehidupan hampir setiap penduduk. Sekalipun begitu, berbanding dengan beberap negara Asia yang lain, yang turut mengalami malasalah yang sama, Malaysia masih berupaya untuk bertahan kerana fundementalnya yang kukuh. Saya ingin mengucapkan syabas dan mengalu-alukan pelbagai langkah positif dan segera yang diambil oleh kerajaan dalam menangani masalah ini. Langkah yang sama yang telah di ambil oleh kerajaan-kerajaan negeri juga perlu dipuji. Walaupun hasilnya belum benar-benar dirasai, kita haruslah lebih bersabar kerana pemulihan ekonomi mengambil masa yang agak panjang. Namun begitu apa yang penting, kerajaan telah berjaya menimbulkan kesedaran di kalangan rakyat tentang masalah yang dihadapi. Perbelanjaan telah mula dikurangkan sama ada dalam sektor awam, sekotor swasta mahupun dalam perbelanjaan rumah tangga. Perbelanjaan berhemah telah mula menjadi amalan rakyat. Ini merupakan satu petanda yang amat positif. Kita berharap pemulihan ekonomi akan dapat dicapai dalam masa yang lebih singkat dengan kerjasama semua pihak.



Masalah ekonomi adalah masalah negara dan masalah negara adalah masalah seluruh rakyat Malaysia. Oleh itu, seluruh rakyat mestilah bersatu padu untuk sama-sama bekerja keras, berdisiplin dan memberikan keyakinan, kepercayaan serta sokongan yang penuh kepada kerajaan untuk memulihkan ekonomi negara. Dengan mengharapkan kerajaan semata-mata adalah tidak memadai jika dasar dan polisi kerajaan tidak mendapat sokongan rakayat keseluruhannya. Dengan sokongan yang padu dan usaha yang gigih daripada semua pihak sudah tentu kita akan dapat mengatasi masalah ini, malah dengan perpaduan yang kukuh kita akan dapat menghadapi sebarang masalah dan ancaman negera.





Pendatang Tanpa Izin





Tuan Yang di-Pertua, di samping masalah kegawatan ekonomi, satu lagi masalah yang perlu diberikan perhatian yang serius ialah masalah pendatang tanpa izin. Pendatang asing di negara ini terutama sekali yang memasuki negara kita secara haram telah menimbulkan pelabagai masalah keselamatan dan sosial. Mereka menambahkan masalah setinggan yang sedia ada, menjadi peniaga dan penjaja haram, mereka mengancam dan merebut peluang mencari rezeki dan nafkah peniaga dan penjaja tempatan yang berlesen. Mereka juga terlibat dalam pelbagai kegiatan jenayah seperti kecurian, pecah rumah dan rompakan bersenjata.



Pada ketika negara-negara Asia tenggara dilanda masalah kejatuhan nilai matawang dan kemerosotan ekonomi, bilangan kemasukan pendatang secara haram telah menjadi berlipat ganda. Kerajaan tidak mempunyai pilihan lain selain daripada menghantar mereka pulang ke negara asal mereka. Walaupun mereka ini dilayan dengan baik, diberikan tempat tinggal dan makanan di depot tahanan sebelum penghantaran pulang, mereka masih menimbulkan kekacauan. Ini jelas terbukti dengan peristiwa yang berlaku di Depot Tahanan Semenyih baru-baru ini. Kejadian ini yang melibatkan pengorbanan nyawa dan kecederaan ini amat dikesali.



Walaupun banyak pihak cuba memberikan gambaran yang negatif dan berniat jahat terhadap apa yang berlaku di depot tahanan, seolah-olah kita sengaja membunuh tanahan berikut. Saya menyokong sepenuhnya langkah kerajaan dan pihak polis dalam mengendalikan tahanan di depot berkenaan. Tindakan polis adalah untuk mempertahankan diri semata-mata. Rekod kita juga menunjukkan bahawa kerajaan Malaysia tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat asing sekalipun mereka memasuki negara kita secara asing. Cara pengendalian dan layanan yang diberikan kepada pelarian Vietnam beberapa tahun dahulu yang mendapat sanjungan Bangsa-bangsa Bersatu, jelas membuktikan bahawa Malaysia tidak pernah mengabaikan hak-hak asasi kemanusiaan.



Akan tetapi insiden yang berlaku di kem tahanan Semenyih in sekali membuka mata kita bahawa pendatang tanpa izin ini bukan sahaja mengancam keamanan orang ramai dengan masalah jenayah yang ditimbulkan, malahan mereka juga mencabar kewibawaan dan kedaulatan negara kita. Tindakan mereka ini amat dikesali dan tidak seharusnya berlaku sama sekali. Oleh itu saya menyokong penuh langkah kerajaan menghantar mereka pulang sebelum masalah ini menjadi lebih genting. Tindakan yang tidak kurang beratnya juga perlu diambil terhadap rakyat tempatan yang menjadi tali barut untuk membawa masuk pendatang tanpa izin ini. Penahanan mereka dengan ISA adalah tepat pada masanya. Orang ramai yang mempunyai maklumat seharusnya tampil ke hadapan untuk melaporkannya kepada pihak polis. Saya berharap pihak polis dapat menyediakan talian “hotline”, dengan izin, dan bebas tol untuk membolehkan orang membuat laporan dan aduan.



Tuan Yang di-Pertua, pada masa kita mengambil tindakan yang setimpal terhadap pendatang tanpa izin ini dan menahan mereka yang terbabit dalam penyeludupan pendatang asing, kita jangan lupa akan ramai lagi rakyat asing yang memasuki negara ini secara sah. Mereka ini datang dengan tujuan untuk mencari rezeki dengan cara yang betul. Golongan ini menjadi nadi utama dalam sektor pertanian dan perladangan terutamanya di negeri-negeri yang bergantung kepada penanaman koko, kelapa sawit serta industri pembalakan dan pengilangan papan seperti negeri Sabah. Dalam hal ini saya berpendapat masih banyak yang perlu dilakukan.



Selama ini pendaftaran pekerja asing telah banyak menimbulkan masalah dan kerumitan kepada bukan sahaja pihak pekerja malah majikan. Bayaran levi yang tinggi dan proses pendaftaran pekerja yang rumit dan memakan masa yang panjang menjadi punca utama meningkatnya pendatang tanpa izin diambil sebagai pekerja. Keadaan ini sepatutnya dapat dielakkan jika pendekatan yang lebih realistik diambil untuk negeri Sabah.



Negeri Sabah, seperti yang kita ketahui merupakan negeri yang banyak bergantung kepada sektor pertanian dan perladangan. Kita memerlukan pekerja yang ramai di ladang-ladang koko dan kelapa sawit. Kebanyakan penduduk tempatan kurang berminat untuk menjadi buruh di ladang kerana pendapatan yang agak rendah berbanding dengan pekerja kilang. Ini jelas terbukti dengan ramai belia dan beliawanis berhijrah ke bandar dan kota di Semenanjung Malaysia untuk berkerja di kilang-kilang. Penghijrahan ini menimbulkan masalah kekurangan buruh yang cuma dapat diisi oleh pekerja asing. Pengambilan pekerja asing untuk bekerja di ladang di negeri Sabah sebenarnya merupakan satu fenomina yang telah lama berlaku, jauh lebih lama daripada negeri-negeri lain di negara ini. Jika kita ingin sektor perladangan ini terus berkembang, mahu tidak mahu kita terpaksa menerima pekerja asing yang mempunyai dokumen yang sah.



Akan tetapi dengan levi yang tinggi telah menambahkan bebanan kewangan kepada kebanyakan majikan. Walaupun levi telah dikurangkan ianya masih lagi terlampau tinggi dan mahal. Saya berharap kerajaan akan menurunkan lagi levi ini dengan mengambil kira keadaan ekonomi masa kini. Pihak majikan sekarang berada dalam keadaan serba salah. Pertama mereka terpaksa membayar levi yang tinggi. Kedua process pendaftaran bukanlah berbentuk setempat atau “one stop”, dengan izin. Ini bukan sahaja memakan masa yang panjang tetapi juga memberikan gambaran yang kurang baik terhadap pihak yang mengendalikan pendaftaran ini. Prestasi dan kualiti kerja mereka secara tidak langsung dipertikaikan.



Ketiga sebagai penjamin kepada pekerja asing ini, pihak majikan terpaksa menanggung risiko jika pekerja tersebut meninggalkan tempat kerja mereka atau meninggal. Pihak majikan tidak boleh mendapatkan pekerja ganti. Mereka juga terpaksa bertanggungjawab terhadap pekerja mereka yang telah menghilangkan diri atau meninggal. Ini merupakan satu dilema yang amat besar yang dihadapi oleh semua majikan. Mereka telah membelanjakan wang yang banyak tetapi tidak mendapat sebarang jaminan terhadap pekerja upahan mereka. Keadaan ini adalah amat tidak adil terhadap pihak majikan. Saya berharap masalah ini mendapat perhatian daripada pihak berkuasa dan mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah ini.



Kerajaan perlu mengkaji semula agar mengenakan levi yang lebih rendah sekurang-kurangnya kepada negeri Sabah. Ini memandangkan upah pekerja terutama sekali di ladang-ladang adalah jauh lebih rendah daripada gaji harian pekerja kilang. Pekerja ladang dibayar kira-kira RM8 sehari berbanding dengan RM45 atau lebih di kilang-kilang di Semenanjung Malaysia. Berdasarkan upah ini levi pekerja juga haruslah dikurangkan mengikut nisbah yang lebih berpatutan dan mampu dibayar oleh pihak majikan.



Saya juga berharap pihak kerajaan dapat memberikan perhatian yang lebih serius terhadap masalah mobiliti pekerja yang berdaftar. Pihak majikan janganlah diikat dengan tempoh yang terlalu panjang apabila sesorang pekerja diambil untuk berkerja. Jika pekerja tersebut berhenti kerja, menghilangkan diri atau meninggal, pihak majikan sepatutnya mempunyai pilihan untuk mengambil pekerja gantian dalam tempoh yang singkat.



Tuan Yang Di-pertua, saya ingin mencadangkan supaya insuran yang belum lagi tamat tempohnya sepatutnya diteruskan ke atas pekerja ganti. Contohnya jika insuran ialah RM120 untuk setahun bagi seorang pekerja asing. Selepas 3 bulan bekerja, pekerja ini telah menghilangkan diri. Jika seorang pekerja baru diambil untuk menggantikan pekerja yang telah menghilangkan diri, majikan sepatutnya dibenarkan menyambung baki insuran sebanyak RM90 dan bukannya membayar semula levi atau insuran yang baru. Amalan ini bukan sahaja lebih realistik, munasabah malah lebih prihatin terhadap para majikan yang turut menghadapi tekanan kegawatan ekonomi. Dengan ini saya amatlah berharap perkara ini dapat dipertimbangkan sejajar dengan konsep masyarakat penyayang dan perbelanjaan berhemah.



Walaupun tujuan regularisasi pekerja adalah baik dan penting tetapi masalah-masalah sampingan yang dibawa bersama operasi ini perlu juga ditangani dengan segera. Pihak majikan tidak seharusnya menjadi mangsa dalam proses ini. Pelbagai masalah yang timbul, yang setakat ini belum dapat diselesaikan dengan baik telah menjadi pendorong utama kepada pengambilan pekerja tanpa izin terus berlaku. Ini sekaligus menggalakkan kemasukan lebih ramai pekerja tanpa izin. Dengan itu masalah pendatang tanpa izin tidak dapat dibendong kerana kita sendiri mendorong dan menggalakkan ia berlaku.



Tuan Yang di-Pertua, jika proses pendaftaran pekerja dapat dipermudahkan, dipercepatkan dan bayaran levi dapat dikurangkan, masalah pengambilan pekerja asing secara haram akan dapat dikurangkan, walaupun tidak dapat dihapuskan dengan sepenuhnya. Pihak majikan tentunya tidak akan mengambil risiko untuk mengupah pekerja tanpa izin jika pekerja berpermit dapat diperolehi dengan mudah dan terjamin. Pendatang tanpa izin akan berkurangan apabila mereka sukar untuk mendapatkan pekerjaan.



Dengan berbuat demikian kita telah mengurangkan salah satu faktor pendorong atau penarik utama kepada kemasukan pendatang tanpa izin. Di samping mengurangkan faktor penarik kita juga perlu meningkatkan faktor penolak. Pada suatu ketika dahulu pihak polis pernah mencadangkan hukuman sebat terhadap pendatang haram yang ditangkap. Langkah ini pernah dilakukan oleh sebuah negara jiran terhadap pekerja asing di negara tersebut. Mereka mengancam untuk menjatuhkan hukuman sebat atau rotan mandatori terhadap pekerja asing yang memasuki negara tersebut secara haram. Hukuman tersebut jelas sekali menakutkan pendatang tanpa izin dan kesemua mereka meninggalkan negara tersebut dengan rela sebelum tempoh tamat yang ditetapkan.



Oleh yang demikian jika kita benar-benar menganggap pendatang asing yang memasuki negara kita secara haram, terutama sekali mereka yang terlibat dalam kes-kes jenayah, menjejaskan keselamatan orang awam dan negara, maka hukuman sebat mandatori akan menjadi satu faktor penolak yang amat berkesan. Saya berharap pihak polis akan mengkaji semula cadangan ini.



Pada masa negara kita menghadapi kegawatan ekonomi, kenaikan harga barang dan inflasi serta peningkatan kos hidup dalam segala segi, kewujudan Fomena sebagai ejen untuk menyelaraskan pemeriksaan kesihatan pekerja-pekerja asing adalah tidak sesuai dan boleh dikatakan sebagai menangguk di air keruh. Bayaran yang dikenakan oleh Fomena bukan sahaja amat mahal dan membebankan tetapi juga tidak berpatutan kerana ia telah menambahkan perbelanjaan.



Tindakan mendapatkan bayaran perkhidmatan hanya dengan menyelaraskan pemeriksaan kesihatan tetapi tidak menjalankan pemeriksaan sendiri adalah amat tidak adil terhadap pekerja-pekerja yang berpenat lelah di ladang-ladang. Saya meminta kerajaan mengkaji semula keperluan Fomena dalam hal ini khasnya apabila negara kita sedang menghadapi kegawatan ekonomi. Fomena tidak memberikan sebarang perkhidmatan yang berfaedah kepada pelanggannya tetapi sebaliknya memaksa mereka membayar perkhidmatan yang tidak diperlukan. Apakah salahnya pemeriksaan kesihatan dilakukan terus oleh klinik-klinik serta mengurangkan kos pemeriksaan? Jika kita benar-benar mahu menjayakan Masyarakat Penyayang dan mengamalkan perbelanjaan berhemah, Fomena mestilah mengurangkan kadar bayarannya atau meminta komisyen daripada klinik-klinik dan bukannya para pekerja. Saya berharap satu kajian semula dibuat dengan segara tentang peranan Fomena, dengan mengambil kira perkembangan ekonomi semasa.





Pembekuan Pinjaman Kepada Sektor Kurang Produktif



Tuan Yang di-Pertua, dalam melaksanakan sesuatu dasar, kadang-kadang kita perlu lebih realisitik dan flexible, dengan izin, umpamanya dalam hal pemberian pinjaman daripada institusi-institusi kewangan. Langkah kerajaan membekukan pinjaman kepada sektor yang kurang produktif telah menyebabkan banyak syarikat mengalami kerugian yang besar. Walaupun ada arahan supaya permohonan pinjaman dikaji secara kes demi kes tetapi pihak institusi kewangan menolak semua permohonan. Keadaan ini telah menjejaskan banyak syarikat dan perniagaan. Walaupun kerajaan ada menyediakan tabung pinjaman untuk Industri Kecil dan Sederhana (SMI) dengan tujuan untuk menggalakkan pasaran eksport, ini tidak banyak membantu pemulihan dan pertumbuhan ekonomi terutamanya di negeri Sabah.



Seperti yang telah saya nyatakan terlebih awal bahawa negeri Sabah adalah sebuah negeri yang masih bergantung kuat kepada sektor pertanian. Kemudahan pinjaman daripada tabung SMI tidaklah sesuai di negeri ini. Ini disebabkan negeri Sabah tidak mempunyai kilang-kilang besar seperti kilang pembuat kereta nasional Proton Saga yang turut memajukan industri-industri kecil yang menghasilkan barangan aksesori kereta. Kita tidak mempunyai kilang-kilang besar seperti ini untuk menampung industri-industri kecil di Sabah. Pendek kata rakyat negeri Sabah tidak dapat menikmati kemudahan ini dengan sepenuhnya.



Jika kelonggaran tidak dapat diberikan, maka saya berharap pihak kerajaan dapat menyediakan satu tabung pertanian seperti mana kemudahan yang telah disediakan kepada industri kecil dan sederhana. Tabung ini akan digunakan untuk memberi kemudahan pinjaman kepada para petani dan peladang yang ingin memperluaskan tanaman, menanam semula dan membeli peralatan jentera pertanian yang lebih canggih dalam usaha mempertingkatkan penggunaan teknologi pertanian yang lebih moden, canggih, cekap dan menguntungkan. Ini akan dapat menjamin sektor pertanian terus berkembang sejajar dengan perkembangan zaman di samping menambahkan eksport negera dan membantu memulihkan ekonomi negara.





Masalah Air



Tuan Yang di-Pertua, pada masa negara kita mengalami keadaan ekonomi yang tidak tentu kita juga menghadapi masalah air. Banyak kenyataan telah dibuat berhubung dengan pencatuan air dan penjimatan air. Saya tidak mahu bercakap panjang tentang apa yang telah diperkatakan.



Akan tetapi, saya rasa telah tiba masanya kita mengambil perhatian yang serius terhadap kualiti air yang diterima. Selama ini tidak ada orang membangkitkan perkara ini kerana kita tidak menghadapi masalah kekurangan air dan kebersihan air kurang dipersoalkan. Pada musim kemarau, paras air di sungai dan empangan menjadi rendah. Pembersihan air perlu dilipat ganda kerana air pada musim kemarau lebih pekat dengan pelbagai bahan kotoran dan larutan.



Sebelum masalah ini menjadi lebih serius kita harus mengambil inisiatif untuk memastikan sumber air kita bersih dan selamat digunakan. Salah satu langkah segera yang perlu diambil ialah dengan menguatkuasakan tanah simpanan sungai di kedua-dua tebing sungai terutama sekali daripada tempat pengepaman air hingga ke hulu sungai. Mengikut ordinan tanah yang sedia ada setiap sungai mempunyai tanah simpanan sungai sepanjang satu chain, dengan izin, atau 66 kaki, atau dua kali ganda lebar sungai. Tanah Simpanan Sungai ini tidak boleh diusik sama ada dengan mendirikan rumah atau dijadikan tempat pertanian. Ia mestilah dipelihara dalam keadaan semula jadinya. Ini akan memastikan air sungai ini sentiasa bersih sehingga ke tempat pengepaman. Dengan ini air yang dipam untuk dihantar ke loji pembersihan air adalah benar-benar bersih.



Selama ini kita tidak mengambil berat tentang tanah simpanan sungai kerana kita tidak menghadapi masalah air. Apabila kita menghadapi masalah air kebanyakan daripada kita lebih suka menyalahkan orang lain daripada mengakui bahawa kita, malah setiap orang turut menyumbang kepada masalah yang kita alami.



Seperti yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dalam Ucapan Diraja, baginda telah meminta semua agensi yang terlibat menguatkuasakan undang-undang dengan berkesan agar tidak berlaku pencemaran sungai di kawasan punca air. Saya menyokong penuh saranan Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong itu. Dengan penguatkuasaan tanah simpanan sungai ini kebersihan punca air akan lebih terjamin. Walaupun penguatkuasaan undang-undang ini akan menimbulkan berbagai-bagai kerumitan kepada setengah-setengah pihak tetapi demi menjaga punca air yang lebih bersih, demi mengelakkan punca air daripada tercemar dan yang paling penting demi menjadi kesihatan setiap rakyat kita harus berkorban. Mereka yang bercucuk tanam di tepi sungai dan mendirikan rumah berdekatan dengan sungai seharusnya tidak berbuat demikian bermula dari awal lagi kerana mereka memang tahu akan kewujudan tanah simpanan sungai ini.



Akan tetapi apa yang menyedihkan ialah kebanyakan tebing sungai didiami atau ditanam dengan pelbagai tanaman. Pembuangan najis, sampah sarap, baja kimia dan racun serangga telah menyumbang kepada pencemaran sungai. Pembersihan tanah berdekatan dengan sungai juga menyebabkan hakisan tanah yang turut mencemarkan sungai. Ini menjadikan air sungai kita kurang selamat untuk diminum.



Tuan Yang di-Pertua, oleh yang demikian saya ingin mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Parit dan Taliair serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mengambil langkah segera untuk memastikan pemuliharaan tanah simpanan sungai ini dikuatkuasakan demi menjaga kebersihan air sungai yang menjadi sumber air makan dan minum kita seharian.



Dengan memastikan tanah simpanan sungai ini benar-benar dipelihara kita akan mengelakkan buangan baja kimia, racun serangga, najis serta sampah sarap yang lain daripada mencemari sungai terutama sekali di kawasan punca air. Untuk mempercepatkan proses ini penduduk atau tuan punya ladang atau kebun yang terlibat haruslah menanam pokok-pokok di tebing sungai. Pihak Jabatan Perhutanan, pertubuhan sukarela juga boleh turut membantu dalam usaha memelihara tanah simpanan sungai ini.



Di samping memastikan punca air kita tidak tercemar kita juga harus mengubah sikap kita yang suka membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dan kemudiannya menuduh dan menyalahkan pihak lain tidak mengutip sampah. Pembuangan sampah adalah satu tabiat buruk yang diamalkan oleh hampir semua orang. Untuk memastikan pencemaran sungai tidak berlaku dan tidak membawakan kepada masalah lain yang selanjutnya kita mestilah mula mengubah sikap dan tabiat kita sendiri. Jika kita gagal berbuat demikian biar apa sekalipun tindakan yang diambil oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, semuanya akan menjadi sia-sia kerana semua orang akan lupa apabila bekalan air pulih seperti biasa. Kita haruslah mengambil pengajaran daripada masalah yang kita hadapi sekarang untuk kita sama-sama mengubah sikap.





Pembaziran Air



Satu lagi sikap yang perlu kita ubah ialah pembaziran terutama sekali pembaziran air. Tabiat membasuh, mandi dan mencuci dengan air paip terbuka dan membiarkan air mengalir sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita. Memang kita tidak menyedarinya semasa kita tidak menghadapi kekurangan air. Kita hanya menghargai kepentingan air apabila krisis air berlaku.



Selain daripada itu ada juga pembaziran air yang berlaku secara tidak disedari. Banyak paip air yang telah lama dan bocor tidak dapat dikesan kerana tertanam di bawah tanah atau di dalam konkrit bangunan. Kita hanya akan menyedarinya apabila kebocoran menjadi terlalu besar dan airnya memancut keluar. Saya cadangkan supaya kita mencari jalan untuk mengesan kebocoran air pada paip-paip lama untuk menjimatkan air.



Penemuan kilang-kilang yang mencuri air baru-baru ini bukan sahaja menunjukkan kegiatan ini telah lama wujud malah banyak lagi kegiatan seumpama itu. Langkah segera dan tegas perlu diambil untuk mengatasi masalah ini. Saya juga berharap tindakan untuk mengesan kegiatan mencuri air dapat dijalankan secara berterusan walaupun selepas masalah kekurangan air ini berlalu.



Pihak jabatan air atau pemegang konsesi penswastaan bekalan air perlu juga menyegerakan pengeluaran bil air bulanan. Ini akan membolehkan bil dibayar tepat pada masanya di samping membolehkan pengguna mengawasi penggunaan air. Pada setengah-setengah tempat bil air tidak pernah diterima sehingga bertahun-tahun lamanya. Pengeluaran bil air secara sekali sekala atau beberapa tahun sekali bukan sahaja menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan malah juga tidak berlaku adil terhadap pengguna. Ini bukanlah satu keadaan yang sihat. Tunggakan bayaran air yang tinggi kerana kelewatan pengeluaran bil akan menimulkan masalah sampingan seperti rasuah dan penyelewengan. Oleh yang demikian saya berharap selain daripada mengemaskinikan pengurusan air, Jabatan Air juga perlu mengemaskinikan rekod bayaran di samping menawarkan perkhidmatan yang lebih baik dan berkualiti. Kelemahan pihak yang bertanggungjawab terhadap air ini telah ditimbulkan satu demi satu semasa negara mengalami krisis air. Saya berharap pihak yang berkenaan menerima semua kritikan sebagai maklum balas daripada orang ramai untuk membolehkan satu pengurusan yang lebih cekap, cepat dan berkesan dilaksanakan. Saya juga berharap pihak-pihak yang telah memberikan kritikan dan kutukan selama ini juga berani tampil ke hadapan untuk memberikan bantuan dan pertolongan setakat mana yang dapat untuk sama-sama mengatasi masalah yang sedang kita hadapi.





Bekalan Air Kepada Semua Penduduk



Kita telah banyak berbincang dan berbahas tentang kebocoran paip air dan kekurangan air. Adakah kita sedar bahawa kita sebenarnya amat mementingkan diri kita sendiri. Apabila kita membahaskan masalah air, kita hanya tumpukan perhatian kita kepada air paip.



Adakah beribu-ribu lagi penduduk di negara ini yang masih lagi belum mendapat bekalan air, yang masih mendapatkan air minum mereka daripada sungai, tasik dan telaga harus kita lupakan? Adakah nasib petani-petani yang rugi berjuta-juta ringgit kerana kemarau panjang tidak perlu dibela?



Oleh yang demikian saya berharap, di samping mencari jalan untuk mengubah dan mengatasi masalah air di bandar-bandar, kita harus juga menyegerakan pembekalan air paip kepada penduduk yang sudah lama menantikan ketibaan bekalan air paip. Kita harus ingat bahawa kita hanya mengalami kesukaran dan kekurangan air dalam jangka masa yang pendek tetapi penduduk lain telah bertahun-tahun lamanya hidup tanpa air paip yang bersih dan selesa. Kita harus ingat bahawa tanggungjawab kita bukanlah kepada rakyat yang mempunyai kemudahan air paip sahaja tetapi meliputi semua penduduk.



Langkah yang segera juga harus diambil oleh Jabatan Parit dan Taliair untuk membantu petani-petani yang menghadapi kesukaran air untuk mengairi tanaman mereka. Begitu juga dengan penternak-penternak.



Saya juga ingin meminta pihak yang berkenaan agar mengambil tindakan yang tegas terhadap pegawai-pegawai yang dipertanggungjawabkan untuk menyediakan bekalan air, menjaga kebersihan air, sama ada di punca mahupun tempat bekalan dan sebagainya yang telah lalai dan lambat menjalankan tugas mereka. Kelalaian dan kelewatan mereka bertindak telah menyebab banyak masalah yang timbul tidak dapat diselesaikan dengan cepat dan segera. Kelalaian dan kelewatan mereka juga menambahkan beban dan belanja kerajaan.



Sekian dan terima kasih.