Thursday, September 30, 1999

Ucapan Dewan Negara: Rang Undang-undang Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) (Pindaan) 1998

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Dewan Negara

30hb September 1998

Tuan Yang di-Pertua, kegawatan ekonomi yang telah berlanjutan lebih setahun perlu ditangani dengan segera, berhati-hati, tegas dan berterusan. Langkah-langkah drastik tetapi praktikal yang diperkenal oleh kerajaan melalui Pelan Pemulihan Ekonomi negara sudah mula memperlihatkan hasil petanda yang baik telah dapat kita saksikan dalam pasaran saham. Malahan langkah yang diambil oleh Malaysia mulai mendapat perhatian negara lain.

Kegawatan ekonomi yang berlaku di negara ini juga membolehkan kita melihat dengan lebih jelas tentang kelemahan yang terdapat dalam perindustrian sekuriti. Oleh yang demikian langkah yang segera harus diambil untuk mengatasi dan memperbaiki kelemahan ini. Saya percaya pindaan ini perlu disegerakan untuk kepentingan negara.

Dengan pindaan ini, kita akan dapat mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran saham tempatan dan sekaligus membantu memperkukuhan pasaran. Di samping itu juga kita juga dapat memberikan lebih ketelusan sekuriti serta membanteras urus niaga saham di bursa saham yang tidak diiktiraf.

Tuan Yang di-Pertua, perkembangan politik semasa sedikit sebanyak telah mengalihkan pandangan kita daripada masalah ekonomi negara dan melambatkan usaha kita dalam menangani masalah kegawatan ekonomi. Saya rasa sudah cukup yang telah diperkatakan dan dibahaskan. Kita janganlah sampai terbawa-bawa dengan masalah ini sehingga kita lupa dan lalai akan tugas dan tanggungjawab kita yang lebih besar. Pemulihan ekonomi adalah agenda yang jauh lebih penting kepada negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Saya berharap kita semua akan kembali ke pangkuan jalan dan mengutamakan tanggungjawab yang lebih penting dan utama yakni memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pemulihan ekonomi.

Kita tidak seharusnya diganggu gugat atau terpengaruh dengan pelbagai dakwaan dan tohmahan palsu. Kita juga janganlah lari daripada tanggungjawab kita yang lebih penting untuk melayan perkara yang bersifat individu, persendirian serta membawa keburukan kepada negara.

Tuan Yang di-Pertua, laporan media asing yang berat sebelah serta sengaja digembar gemburkan sedikit sebanyak memberikan gambaran yang negatif kepada rakyat tempatan dan juga pelabur asing. Akan tetapi rakyak tidak seharusnya meragui keikhlasan dan keupayaan pihak kerajaan. Kejayaan kita menganjurkan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 98 dengan jelas membuktikan pelbagai kritikan pihak media asing terhadap kebolehan kita adalah tidak berasas dan tidak benar. Kita telah dikritik selama kira-kira 4 tahun tetapi akhirnya kita telah membuktikan kepada dunia bahawa kita boleh, Malaysia boleh dan kita telah berjaya menganjurkan satu sukan yang kedua terbesar di dunia. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan ini.

Oleh yang demikian kita harus terus menaruh harapan tinggi kepada kepimpinan negara dan memberikan sokongan yang lebih padu dan lebih kuat kepada pihak kerajaan. Semangat 'Malaysia Boleh' yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat dalam Sukan Komanwel baru-baru ini harus dijadikan contoh dan teladan kita dalam menghadapi ancaman dan cabaran semasa.

Tuan Yang di-Pertua, Pindaan rang undang-undang ini memang tepat pada masanya untuk mengembalikan keyakinan para pelabur. Saya dengan ini menyokong pindaan rang undang-undang ini diluluskan.

Sekian dan terima kasih.

Monday, September 27, 1999

Pesta Tanglung SAPP 1998

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

27hb September 1998

Tempat Letak Kereta, Fujimart

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana sudi menghadiri Pesta Tanglung Anjuran SAPP pada malam ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada saudara Kenneth Goh serta ahli jawatankuasa pengelola beliau yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan majlis pada malam ini.

Pesta Tanglung merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh SAPP di seluruh negeri Sabah. Ia bertujuan menghargai, memelihara dan memperkayakan budaya Cina yang telah sekian lama kita warisi. SAPP bukan sahaja menganjurkan majlis kebudayaan Cina seperti ini sahaja malah kita juga turut menganjurkan majlis kebudayaan lain seperti Hari Raya, Pesta Kaamatan, Krismas dan Deepavali pada setiap tahun. Ini menunjukkan SAPP benar-benar komited terhadap perkembangan kebudayaan semua kaum di negeri ini.

Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan biar kaum Cina mahupun bukan Cina menjunkkan tuan-tuan dan puan-puan benar-benar menghayati erti sebenar perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Dengan menghadiri perayaan seperti ini kita bukan sahaja akan lebih memahami kebudayaan kita sendiri malahan kita juga akan lebih memahami kebudayaan rakan kita yang lain. Ini akan mengurangkan salah sangka dan sekaligus menjalinkan hubungan muhibah yang lebih erat dan berkekalan. Menghayati dan memelihara budaya kita sendiri juga akan menghindarkan kita daripada terpengaruh dengan budaya asing terutama sekali dari barat.

Perpaduan bagi rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, kebudayaan, agama dan latar belakang amatlah penting dan utama. Perpaduan menjadi lebih penting lagi ketika negara sedang menghadapi kegawatan ekonomi dan ujian politik. Kita mestilah sentiasa mengutamakan perpaduan untuk kita sama-sama menjadikan negara kita terus aman, makmur dan sentosa. Kita mesti menjauhi sebarang perbuatan yang menimbulkan huru hara seperti yang terjadi di negara jiran.

Oleh yang demikian saya berharap tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja akan bergembira dan terhibur dengan acara-acara yang disediakan pada malam ini, tetapi juga turut meluangkan sedikit masa untuk memikirkan tanggungjawab kita terhadap negara kita yang tercinta.

Sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan di atas sambutan dan sokongan yang telah diberikan.

Saya dengan sukacitanya mengistiharkan Pesta Tanglung SAPP 1998 dimulakan dengan rasminya.

Sekian.

Saturday, September 25, 1999

Cintai Malaysia

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

September 1998

Tuan-tuan dan puan yang dihormati. Saya merasa amat bangga melihat kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada malam ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah satu tanda kesedaran dan tanda tanggungjawab. Ini juga menunjukkan tuan-tuan dan puan-puan mencintai Malaysia.

Dengan perkembangan ekonomi dan politik semasa, kesetian dan ketaatan kita kepada negara yang tercinta amatlah penting. Ketika negara kita sedang menghadapi kegawatan ekonomi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk berdiri teguh di belakang kerajaan di samping memberikan sokongan penuh kepada langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam mengatasi masalah kegawatan ekonomi.

Memulihkan ekonomi negara amatlah penting untuk kita semua kerana kegawatan ekonomi turut menjejaskan kehidupan kita seharian. Kenaikan harga yang mendadak menambahkan perbelanjaan harian kita. Oleh yang demikian kita perlulah menunjukan rasa cinta kita kepada negara dengan berjimat-cermat ketika berbelanja. Perbelanjaan berhemat bukan sahaja disarankan oleh kerajaan malahan juga merupakan tuntutan agama kita. Kita juga harus utamakan penggunaan barangan buatan Malaysia dan mengurangkan penggunaan barangan import. Dengan ini sudah tentunya kita akan sama-sama membantu memulihkan ekonomi negara dengan secepat mungkin.

Perkembangan politik semasa sama ada pada peringkat nasional ataupun pada peringkat negeri memerlukan semua rakyat bersatupadu, berdisiplin dan berdiri teguh di belakang kepimpinan negara. Kita semua tahu bahawa negeri Sabah akan menghadapi pilihanraya negeri pada bila-bila masa sahaja. Oleh yang demikian banyaklah kempen dan lobi di sana sini yang mengelirukan kita semua. Berbagai-bagai janji yang indah diberikan dalam usaha mendapatkan sokongan dan kemengan. Tidak kurang juga ada pihak yang memburuk-buruk nama negara.

Sebagai rakyat yang cintakan negara ini, kita haruslah turut mempertahankan nama baik negara kita dan jangan membiarkan anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab terus menghina negara dan pemimpin kita . Tuan-tuan dan puan-puan janganlah mudah tertipu dan terpedaya dengan janji-janji kosong seperti ini yang hanya indah didengar tetapi sukar dijadikan kenyataan.

Apa yang berlaku di negara jiran yang menimbulkan rusuhan sehingga banyak harta benda dan nyawa terkorban harus menjadi ikhtibar dan pengajaran kepada kita semua. Janganlah kerana rasa tidak puas hati atau sekadar tertipu dengan janji-janji manis pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, maka kita juga turut terlibat dalam mogok, demonstrasi dan sebagainya yang akhirnya hanya membawa padah dan keburukan kepada kita sendiri. Penderitaan rakyat di negara jiran selepas rusuhan haruslah menyedarkan kita bahawa pembangunan dan kebahagian rakyat tidak akan tercapai melalui rusuhan dan demonstrasi. Kita harus mencontohi perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman secara rundingan dan perbincangan yang membina serta berfaedah.

Oleh yang demikian saya ingin menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan terus memberikan sokongan, kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan Barisan Nasional agar terus memerintah negeri ini supaya kemakmuran dan kebahagian yang dinikmati selama ini akan terus berpanjangan dan dilipat gandakan. Marilah kita sama-sama menghadapi cabaran ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Marilah kita sama-sama bekerja keras untuk memastikan kemenganan besar Barisan Nasional.

Cintai Malaysia bukan sekadar melaung-laungkan slogan atau melalui kempen di sana sini. Cintai Malaysia bukan sekadar membeli barangan buatan Malaysia, mengibarkan bendera Malaysia atau menyanyikan lagu Negaraku. Ia merangkumi banyak segi dan kehidupan kita. Kita haruslah mempunyai semangat perjuangan anggota pasukan keselamatan yang sentiasa menjaga keamanan dan keselamatan negara kita. Kita juga harus mempunyai semangat cintakan negara dan menaikkan nama baik negara seperti yang ditunjukkan oleh para atlit kita dalam pertandingan sukan seperti Sukan Komanwel atau Kuala Lumpur 98. Dengan mengutamakan kepentingan negara lebih daripada kepentingan kita sendiri, kita akan dapat menunjukkan rasa cinta kita yang sejati kepada negara kita, Malaysia.

Akhir kata saya sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin atas sokongan yang diberikan. Semoga negara kita akan terus aman, sentosa dan makmur.

Sekian dan terima kasih.

Friday, September 17, 1999

Ketua 10

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

17 hb September 1998

Tuan-tuan dan puan yang dihormati. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada anda yang terpilih sebagai Ketua 10 (K-10). Saya juga merakamkan terima kasih kepada semua hadirin sekalian.

Dengan perkembangan ekonomi dan politik semasa, tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan menjadi lebih penting dan utama. Ketika negara kita sedang menghadapi kegawatan ekonomi adalah menjadi tanggungjawab dan peranan semua pemimpin untuk menyalurkan maklumat yang betul kepada semua rakyat agar berjimat-cermat ketika berbelanja. Perbelanjaan berhemat bukan sahaja disarankan oleh kerajaan malahan juga merupakan tuntutan agama kita. Oleh itu, utamakan penggunaan barangan buatan Malaysia dan mengurangkan penggunaan barangan import. Dengan ini sudah tentunya kita akan sama-sama membantu memulihkan ekonomi negara dengan secepat mungkin.

Perkembangan politik semasa sama ada pada peringkat nasional ataupun pada peringkat negeri memerlukan semua rakyat bersatupadu, berdisiplin dan berdiri teguh di belakang kerajaan Barisan Nasional. Kita semua tahu bahawa negeri Sabah akan menghadapi pilihanraya negeri pada bila-bila masa sahaja. Oleh yang demikian banyaklah kempen dan lobi di sana sini yang mengelirukan kita semua. Berbagai-bagai janji yang indah diberikan dalam usaha mendapatkan sokongan dan kemengan. Tuan-tuan dan puan-puan janganlah mudah tertipu dan terpedaya dengan janji-janji kosong seperti ini yang hanya indah didengar tetapi sukar dijadikan kenyataan.

Apa yang berlaku di negara jiran yang menimbulkan rusuhan sehingga banyak harta benda dan nyawa terkorban harus menjadi ikhtibar dan pengajaran kepada kita semua. Janganlah kerana rasa tidak puas hati atau sekadar tertipu dengan janji-janji manis pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, maka kita juga turut terlibat dalam mogok, demonstrasi dan sebagainya yang akhirnya hanya membawa padah dan keburukan kepada kita sendiri. Penderitaan rakyat di negara jiran selepas rusuhan haruslah menyedarkan kita bahawa pembangunan dan kebahagian rakyat tidak akan tercapai melalui rusuhan dan demonstrasi. Kita harus mencontohi perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman secara rundingan dan perbincangan yang membina serta berfaedah.

Oleh yang demikian saya ingin menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan terus memberikan sokongan, kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan Barisan Nasional agar terus memerintah negeri ini supaya kemakmuran dan kebahagian yang dinikmati selama ini akan terus berpanjangan dan dilipat gandakan. Marilah kita sama-sama menghadapi cabaran ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Marilah kita sama-sama bekerja keras untuk memastikan kemenganan besar Barisan Nasional.

Sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua Ketua 10 dan berharap di bawah pimpinan anda sekalian, kita akan lebih bersatupadu dan memperolehi kemenangan yang lebih besar dalam pilihanraya yang akan datang.

Sekian dan terima kasih.

Wednesday, September 01, 1999

Perjumpaan Dengan Para Wartawan

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook,

1hb September 1998



Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan, para wartawan yang dihormati kerana sudi menghadiri majlis makan malam ini.



Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada para wartawan kerana telah menjalankan tugas anda dengan berkesan, berprinsip, komited dan bertanggujawab. Liputan berita dan aktiviti di sekitar Tawau telah menjadikan daerah kita lebih dikenali dan diberikan perhatian yang sepatutnya oleh pihak berkuasa. Ini telah memudahkan pelbagai projek kerajaan dilaksanakan dengan baik dan lancar. Selain daripada itu pihak berkuasa juga mendapat maklum balas yang betul bernaan dengan projek-projek yang dilaksanakan.



Di samping itu juga aspirasi dan harapan, teguran dan rungutan rakyat tempatan juga dapat disuarakan melalui pelbagai rencana dan berita. Hubungan dua hala di antara pemimpin dengan rakyat melaui para wartawan ini membolehkan pihak berkuasa lebih peka terhadap masalah rakyat dan mengambil tindakan yang segera untuk mengatasinya. Para pemimpin dan wakil masyarakat juga akan lebih memahami keperluan rakyat. Ini akan membantu mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih baik dan berkesan.



Dengan menambahkan kandungan liputan berita dan rencana tempatan khasnya mengenai Tawau juga turut membantu mempopularkan Tawau sebagai destinasi pelaburan dan menjadikan ia sebagai tempat persinggahan kepada beberapa destinasi pelancongan yang terkenal seperti pulau Mabul dan Pulan Sipadan.



Pendek kata, peranan para wartawan dalam usaha membantu menjayakan pembangunan negara adalah amat penting. Laporan yang tepat dan padat membolehkan dasar kerajaan disalurkan kepada rakyat jelata dengan betul. Maklum balas dan reaksi rakyat terhadap isu-isu tertentu membolehkan pihak berkuasa mengkaji semula dan menghalusi kaedah pelaksanaan agar lebih sesuai dan lebih menguntungkan semua pihak. Oleh yang demikian, tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh para wartawan seperti tuan-tuan dan puan-puan sekalian adalah amat mulia dan terpuji. Kita bukan sekadar tetapi bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis dan dilaporkan.



Sehubungan dengan itu, haruslah juga kita memberikan perhatian yang serius terhadap laporan yang kita buat terutama sekali pada ketika negara kita sedang menghadapi kegawatan ekonomi. Laporan haruslah lebih bertumpu kepada pemulihan keyakinan rakyat dan pelabur asing. Berita yang lebih mengutamakan kegagalan dan kemusnahan akibat kejatuhan pasaran saham dan matawang akan melemahkan semangat rakyat kita. Kita juga dengan sendirinya memberikan gambaran yang negatif kepada pelabur asing. Ini akan membantutkan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dengan secepat mungkin.



Sebaliknya berita, rencana dan laporan yang lebih menumpukan kepada ketabahan dan kegigihan penduduk tempatan kita untuk mencari rezeki dan kejayaan pengusaha dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, harus diberikan perhatian yang lebih serius. Ini bukan sahaja dapat merangsang semangat penduduk lain agar tidak mudah berputus asa malahan juga dapat memberikan idea dan alternatif baru kepada mereka untuk mempelbagaikan perniagaan mereka untuk terus kekal dan bertahan dalam bidang mereka masing-masing. Laporan seperti ini adalah lebih positif, bertanggungjawab dan berfaedah kepada para pembaca. Dengan ini para pembaca tidak akan menganggap membaca akhbar sebagai satu hiburan atau mengising masa lapang semata-mata tetapi sebagai satu sumber mendapatkan idea baru dan mengukuhkan semangat dan ketabahan.



Di samping itu kita juga haruslah tidak terikut-ikut dengan cara kewartawanan yang berorientasikan budaya barat yang lebih mengutamakan skandal dan sensasi. Memang benar berita-berita mengenai skandal orang-orang kenamaan seperti pemimpin negara dan bintang filem amat diminati oleh para pembaca dan dapat membantu melariskan akhbar. Pihak media barat sanggup membelanjakan wang ringgit yang banyak untuk mendapatkan berita terkini tentang Puteri Diana dengan mengupah pasukan paparazi contohnya. Ini tidak seharusnya menjadi ikutan atau teladan wartawan kita. Berita-berita berbentuk gossip dan memburuk-burukkan orang-orang tertentu bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetepi sedidikit sebanyak membayangkan peribadi kita sendiri. Ia juga secara langsung mengikis nilai-nilai murni yang dimiliki kita selama ini.



Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar para wartawan kita dapat membuat laporan yang tepat, cepat, bertanggungjawab, membina, positif dan membantu ke arah pembangunan negara dan insan.



Saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan akan dapat bergaul rapat dengan semua lapisan masyarakat untuk memahami masalah dan harapan mereka. Saya yakin dengan ini semua lapisan masyarakat, tua dan muda, kaya dan miskin akan turut mendapat tempat di dalam laporan tuan-tuan dan puan-puan dan menjadikan akhbar dan laporan anda benar-benar berjiwa rakyat.



Akhir kata saya sekali lagi mengucapkan syabas kepada tuan-tuan dan puan-puan atas tugas dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan. Teruskanlah perjuangan tuan-tuan dan puan-puan dengan penuh keyakinan, positif dan komited. Marilah kita sama-sama membina sebuah negara yang bermartabat tinggi dan disegani dunia.



Sekian dan terima kasih.