Saturday, December 25, 1999

Upacara Penutupan Kursus NCO Persatuan St John Ambulans Tawau

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Persatuan St. John Ambulans Malaysia Kawasan Tawau, kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama anda dalam upacara penutupan Kursus NCO.

Walaupun saya tidak dapat bersama-sama dengan semua peserta kursus sepanjang masa, tetapi melalui air muka yang terbayang pada setiap peserta, saya penuh yakin bahawa semua peserta telah mendapat faedah and pengalaman yang cukup bermakna daripada Kursus NCO ini. Oleh yang demikian saya berharap segala pengajaran, pengalaman dan latihan yang diterima daripada kursus ini tidak akan disia-siakan. Ilmu dan pengalaman yang telah diperolehi mestilah dipraktikkan dan digunakan dalam kehidupan seharian. Dengan amalan dan penggunaan yang berulang kita akan menjadi lebih mahir dan cekap.

Para peserta kursus yang disayangi, saya beranggapan bahawa saudara dan saudari sekalian adalah golongan yang amat bertuah kerana dipilih untuk mengikuti Kursus NCO ini. Saya percaya kursus seperti ini amatlah berguna bukan sahaja kepada anda sekalian sahaja tetapi kepada semua orang. Oleh itu saya berharap para peserta tidak kedekut dengan pengalaman dan kemahiran yang telah dipelajari. Sebaliknya saya berharap para peserta dapat berkongsi pengalaman dengan kawan dan rakan di sekolah atau di sekeliling anda. Dengan ini pertolongan cemas tidak akan terhad kepada ahli persatuan pertolongan cemas semata-mata.

Adalah amat penting sekali kemahiran dan pengetahuan pertolongan cemas diperluaskan kepada orang ramai terutama sekali kepada setiap keluarga. Tidak dapat dinafikan bahawa kemalangan dan kecelakaan sering kali berlaku di rumah. Dalam kebanyakan kes, pesakit boleh diselamatkan atau dikurangkan kecederaan jika ada orang di sekelilingnya yang mengetahui pertolongan cemas. Jika setiap isi keluarga mempunyai sekurang-kurangnya seorang yang tahu sedikit sebanyak tentang pertolongan cemas, banyak nyawa dapat diselamatkan.

Tuan-tuan dan puan-puan, peserta-peserta kursus yang dihormati sekalian, saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada setiap keluarga, selain daripada mempelajari asas pertolongan cemas, mereka juga harus mempunyai peti pertolongan cemas yang lengkap di rumah. Selain daripada itu apa yang lebih penting ialah memastikan rumah kita sentiasa selamat didiami dengan menyusun semula perabot dan perkakasan rumah agar tidak mudah menimbulkan kemalangan di rumah. Memang benar kebanyakan kemalangan domestik berlaku akibat daripada kecuaian seperti lantai yang licin, wayar letrik yang berselerak, benda tajam yang diletak merata-rata tempat, ubat dan racun yang tidak dilabel atau diisi dalam bekas minuman dan sebagainya. Jika setiap orang dapat memberikan lebih tumpuan dan perhatian kepada penyusunan dan penyimpanan barangan dan sentiasa mengutamakan keselamatan di rumah, saya percaya kadar kemalangan domostik akan dapat dikurangkan.

Pendek kata menjaga keselamatan dan memberikan pertolongan cemas adalah tidak terhad kepada golongan tertentu sahaja. Ia adalah tanggungjawab setiap orang.

Tuan-tuan dan puan-puan, peserta-peserta kursus yang dihormati sekalian, saya tidak lupa untuk merakamkan rasa bangga dan setinggi-tinggi penghargaan saya kepada Persatuan St John Ambulans Malaysia Kawasan Tawau atas kejayaan mereka menganjur Kursus NCO ini. Saya juga berharap agar aktiviti-aktiviti yang sihat seperti ini dapat terus dianjurkan dari semasa ke semasa. Usaha dan pengorbanan tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan turut menyumbang ke arah membentuk sebuah masyarakat penyayang.

Saya dengan segala sukacitanya mengistiharkan Kursus NCO St John Ambulans Malaysia Kawasan Tawau ditutup dengan rasminya.

Sekian dan terima kasih.

Majlis Berbuka Puasa

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook
Disember 1998

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada pengerusi dan jawatankuasa majlis berbuka puasa ini kerana sudi menjemput saya untuk bersama-sama dalam majlis berbuka puasa yang sungguh mulia dan bermakna ini.

Saya merasa amat bangga dengan sikap dan semangat positif lagi mulia tuan-tuan dan puan-puan kerana di samping mengerjakan rukun Islam iaitu berpuasa dalam bulan Ramadan ini, tuan-tuan dan puan-puan tidak lupa akan semangat muhibah dan perpaduan. Kehadiran penduduk pelbagai kaum dan agama pada malam ini jelas membuktikan keikhlasan dan kesungguhan tuan-tuan dan puan-puan dalam usaha memupuk perpaduan dan kerjasama yang lebih erat. Amalan seperti ini bukan sahaja telah menjadi adat dan budaya penduduk di sini malahan harus dijadikan contoh dan teladan penduduk di tempat lain.

Kunjung-mengunjung ke majlis kagamaan dan perayaan di kalangan rakyat berbilang kaum seperti majlis berbuka puasa, Hari Raya, Tahun Baru Cina, Krismas, Pesta Kaamatan, Deepavali dan sebagainya dengan sendirinya menambahkan pengetahuan dan kefahaman kita terhadap budaya dan agama kawan dan rakan kita. Dengan pemahaman ini kita akan dapat lebih menghormati kepercayaan rakan-rakan kita.

Tuan-tuan dan puan-puan, saudara dan saudari muslim yang dihormati sekalian, sempena dengan bulan Ramadan yang mulia ini, saya percaya inilah masa yang terbaik untuk kita mengimbas kembali segala usaha dan pengorbanan kita sepanjang tahun ini dari segi memajukan diri, keluarga, masyarakat, negara dan agama kita. Inilah masa untuk kita menilai kelemahan dan kekuatan kita. Perbaikilah kelemahan kita dan menambahkan kekuatan kita. Inilah juga masanya untuk memperbaharui tekad dan azam kita bagi menghadapi tahun baru yang lebih mencabar.

Di samping itu, saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan tidak lupa akan pesanan YAB Perdana Menteri kita supaya berdisiplin dan berjimat cermat apabila berbelanja. Walaupun ada tanda-tanda pemulihan ekonomi tetapi kita haruslah berhati-hati apabila berbelanja dan membeli barangan yang benar-benar perlu sahaja tanpa membazir.

Saya sekali lagi mengucapkan terima kasih dan penghargaan yang tidak terhingga kepada tuan-tuan dan puan-puan atas kesudian menjemput saya ke majlis yang mulia ini. Semoga segala usaha baik tuan-tuan dan puan-puan sentiasa diberkati Tuhan.

Sekian dan terima kasih dan selamat berpuasa.

Wednesday, December 08, 1999

Ucapan Dewan Negara: Spekulasi Matawang & Tabung Matawang Antarabangsa (IMF)

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Dewan Negara
8hb Disember 1998

Tuan Yang di-Pertua, saya percaya pada ketika ini ramai orang yang merasa segan apabila memperkatakan kegiatan spekulasi wang antarabangsa. Ini disebabkan pada permulaan kejatuhan nilai matawang Ringgit YAB Perdana Menteri telah mengatakan bahawa ini adalah akibat daripada kegiatan spekulasi matawang oleh pihak yang tidak bertanggungjawab. Akan tetapi pada masa itu kenyataan YAB Perdana Menteri telah dikaitkan oleh banyak pihak sebagai punca kepada kejatuhan pasaran saham tempatan. Mereka merasai sangsi dengan pandangan dan pendapat YAB Perdana Menteri kita. Mereka malah meminta YAB Perdana Menteri supaya tidak terus membuat kenyataan.

Walau bagaimanapun, masa telah membuktikan bahawa pandangan YAB Perdana Menteri adalah tepat dan kenyataan beliau telah diterima bukan sahaja oleh rakyat negara ini malah pemimpin negara-negara lain. Kenyataan sepekulator matawang, George Soros baru-baru ini supaya rakyat menjatuhkan kerajaan pimpinan YAB Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad juga menunjukkan niat jahat dan liar mereka yang sebenar. Ini sekali lagi membuktikan kepada kita bahawa pandangan YAB Perdana Menteri kita adalah betul dan tepat.

Tuan Yang di-Pertua, menyedari akan hakikat ini kita telah mencadangkan supaya Tabung Matawang Antarabangsa menyediakan Peraturan Pengawasan Perdagangan Matawang Dunia. Akan tetapi kelewatan Pihak IMF telah menyebabkan negara-negara Asia terus menghadapi tekanan dan ancaman spekulasi matawang. IMF nampaknya hanya berminat mengenakan syarat dan peraturan mereka yang lapuk dan ketinggalan zaman terhadap negara-negara yang menerima bantuan IMF.

Hakikat telah menunjukkan kepada kita bahawa negara-negara yang menerima bantuan IMF bukan sahaja gagal membangunkan semula ekonomi mereka malah terus menghadapi masa depan yang tidak menentu. Mereka juga diacam masalah-masalah sampingan yang lain seperti politik dan sosial.

Justeru itu ketetapan kerajaan untuk tidak menerima IMF adalah tepat sekali. Malaysia sebagai sebuah negara yang berwawasan dan telah menggunakan cara dan kaedah kita sendiri dalam menangani kegawatan ekonomi. Dengan sokongan padu yang diberikan oleh rakyat terhadap kepimpinan negara dalam usaha mengatasi kegawatan ekonomi, kita telah berjaya menampakkan tanda-tanda pemulihan.

Ini sekali lagi membuktikan bahawa Malaysia boleh membangunkan semula negara ini dengan caranya yang tersendiri. Walaupun pada hari ini banyak pihak yang menjadi mangsa terutama sekali pelajar-pelajar kita yang berada di luar negari. Akan tetapi saya merasa syukur kerana pihak Kementerian Pendidikan telah dapat menyediakan tempat yang cukup untuk menampung pelajar-pelajar seperti ini. Saya juga dimaklumkan bahawa lebih banyak universiti negara luar akan membukan kampus cawangan mereka di sini seperti University of Curtin dari Australia akan membukan kampus cawangannya di Miri, Sarawak. Ini semua merupakan langkah dan usaha positif yang telah dilakukan oleh kerajaan bagi menangani kegawatan ekonomi.

Tuan Yang di-Pertua, apa yang telah kita lakukan dalam usaha memulihkan semula ekonomi negara telah membuktikan bahawa peraturan yang ditetapkan oleh Tabung Matawang Antarabangsa perlu diubah mengikut perkembangan semasa dan disesuaikan dengan keperluan setiap negara. Kelewatan atau keengganan pihak IMF melaksanakan penggubalan Sistem Matawang Dunia adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab dan tidak adil terutama sekali kepada negara-negara rantau Asia.

Oleh yang demikian, saya menyokong penuh supaya Pengarah Urusan Tabung Matawang Antarabangsaan, Michel Camdessus meletakkan jawatan dengan segera.