Wednesday, May 12, 1999

Dewan Negara - Soalan-Soalan Bertulis

Senator Datuk Geoffrey Yee minta Menteri Pendidikan menjelaskan

a. Memandangkan semakin ramain pendatang asing yang memasuki negara kita telah menyebabkan kekurangan tempat di sekolah-sekolah di negeri Sabah terutama sekali di Tawau. Kemeneterian Pendidikan juga telah membuat satu kaji selidik tentang hal ini dan mengenakan yuran kepada mereka. Oleh itu berapakah bilangan pendatang asing yang sedang menuntut di negeri Sabah dan berapakah jumlah bayaran yang telah berjaya dikutip daripada pelajar-pelajar ini?



b. Masalah kekurangan guru di negeri Sabah belum dapat diselesaikan dengan memuaskan. Kebanyakan sekolah mempunyai guru sementara atau guru sandaran tidak terlatih. Ada juga sekolah yang mempunyai guru yang cukup tetapi tidak mengikut bidang pengkhususan dan menyebabkan berlebihan guru untuk mata pelajaran tertentu dan menimbulkan masalah kekurangan guru bagi mata pelajaran yang lain. Oleh itu apakah tindakan yang telah dan akan diambil untuk mengatasi kekurangan guru berpengalaman serta mengikut pengkhususan di sekolah-sekolah di Tawau dan adakah pihak kementerian bercadang untuk memberikan latihan perguruan kepada guru sandaran tidak terlatih yang sedia ada.



Senator Datuk Geoffrey Yee minta Menteri Pendidikan menjelaskan

Kegawatan ekonomi telah menyebabkan banyak perbelanjaan dan peruntukan dikurangkan.

a. Adakah pengurangan peruntukan kepada sekolah-sekolah lantaran daripada kegawatan ekonomi akan menjejaskan pentadbiran sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran, prestasi guru serta pelajar?



b. Adakah kerajaan akan meneruskan rancangan untuk membina sebuah maktab perguruan di Tawau, dan bilakah ia akan dilaksanakan?



Senator Datuk Geoffrey Yee minta Menteri Pengangkutan menjelaskan

a. Saya difahamkan banyak syarikat penerbangan menawarkan perkhidmatan telefon di dalam penerbangan mereka. Kenapakah perkhidmatan MASFONE tidak diperkenalkan kepada penerbangan dalam negeri dan adakah pihak MAS mempunyai rancangan untuk berbuat demikian pada masa hadapan?



b. Pada masa kerajaan sedang giat menggalakkan rakyat Malaysia membeli barangan buatan Malaysia, pihak MAS masih manawarkan buah-buahan import seperti buah kiwi dan orange dalam penerbangannya dan tidak menggunakan buah-buahan tempatan? Adakah buah-buahan tempat tidak setanding dengan buah-buahan luar negeri?



Senator Datuk Geoffrey Yee minta Menteri Kerjaraya menjelaskan

a. Laporan akhbar menyebut bahawa Kementerian Kerjaraya bercadang untuk menyediakan empangan air pada setiap 50km di negeri-negeri di Semenanjung sebagai salah satu langkah untuk mengatasi masalah kekurangan air. Adakah pihak kementerian ada menyediakan peruntukan khas untuk rancangan yang sama di negeri Sabah, kerana negeri Sabah juga tidak terkecuali daripada masalah ini?



Senator Datuk Geoffrey Yee minta Menteri Dalam Negeri menjelaskan

a. Banyak usaha telah dilakukan untuk mengurangkan kemasukan pendatang tanpa izin tetapi masih kurang berjaya. Adakah kerajaan bercadang untuk mengenakan hukuman sebat mandatory terhadap pendatang tanpa izin?



b. Jumlah banduan di penjara Tawau telah bertambah dengan begitu banyak dan melebihi had penampungan sebenar. Adakah kerajaan bercadang untuk membesarkan penjara Tawau, dan adakah kerajaan bercadang untuk mengenakan hukuman bentuk lain selain daripada penjara terhadap pendatang tanpa izin untuk mengatasi masalah kesesakan penjara di samping mengurangkan perbelanjaan kerajaan?



Senator Datuk Geoffrey Yee minta Menteri Perusahaan Utama menjelaskan

a. Baru-baru ini Menteri Perusahaan Utama telah mengetuai satu rombongan ke negeri China dan negara lain untuk menjalankan promosi hasil buatan daripada koko. Apakah hasil daripada promosi jualan koko di negeri China?






Soalan-Soalan Tambahan

Selasa, 12 Mei 1998 2.30 petang

Dewan Negara Yang Kesembilan

Mesyuarat Pertama

Penggal Yang Keempat



Soalan 6

Adakah benar guru-guru yang ditempatkan di sekolah-sekolah pedalaman kurang komited terhadap tugas mereka kerana tidak suka dengan penempatan mereka, permohonan pertukaran mereka ditolak, kekurangan kemudahan asas seperti flat guru dan ketiadaan peluang melanjutkan pelajaran? Ini secara tidak langsung telah menyumbangkan kepada kelemahan pencapaian pelajar bumiputera yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar.



Soalan 11

Akibat daripada kegawatan ekonomi, adakah kerajaan akan melakukan apa saja semata-mata untuk memastikan Wawasan 2020 tercapai tepat pada masanya atau akan membiarkan ia mengambil masa yang lebih panjang?



Soalan 12, 15

Adakah pengambilan guru sementara untuk mengisi kekurangan guru-guru mata pelajaran bahasa Cina dan Tamil telah menjejaskan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah berkenaan?



Soalan 16

Kerajaan pernah mengakui bahawa rancangan pemulihan penagih dadah di pusat Serenti di negara ini telah gagal. Adalah pusat-pusat serenti di negara ini masih mengamalkan cara dan konsep yang sama atau adakah langkah dan pendekatan yang baru diperkenalkan?



Soalan 16

Apakah punca utama berlakunya kekecohan di pusat-pusat serenti dan kenapakah semakin ramai penghuninya yang berjaya melepaskan diri daripada pusat pemulihan ini?



Soalan 18, 31, 33

Sebagai langkah mengurangkan kemasukan pendatang tanpa izin, adakah cadangan Perdana Menteri dalam satu sidang akhbar baru-baru ini bahawa pendatang tanpa izin mungkin dirotan terlebih dahulu sebelum dihantar balik ke negara asal mereka akan dilaksanakan oleh kerajaan?



Soalan 22

Adakah peluang golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan menjadi semakin sukar dengan bertambahnya kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini?



Soalan 10 (m.s. 19)

Apakah langkah Kementerian Kesihatan dalam menggalakkan para doktor untuk berkhidmat lebih lama di kawasan pedalaman terutama sekali di negeri Sabah dan Sarawak supaya tidak menjadikan tempat-tempat ini sebagai tempat latihan tambahan atau tempat menimba pengalaman semata-mata dan menyebabkan pesakit-pesakit di kawasan tersebut sentiasa dirawat oleh doktor-doktor muda yang kurang berpengalaman?



Soalan 16

Salah satu daripada tujuan kerajaan membina litar perlumbaan kereta di negara ini adalah untuk mengurangkan perlumbaan haram. Sejauh manakah gejala lumba haram telah dapat dibendung atau dikurangkan dengan adanya litar perlumbaan ini?



Soalan 20, 21, 22

Adakah kesilapan mengisi borang kemasukan universiti atau UPU seperti yang telah diumumkan oleh YB Menteri Pendidikan pada 7hb Mei 1998 berpunca daripada borang yang terlalu rumit, buku panduan yang kurang jelas atau kelewatan para pelajar mendapatkan borang dan terpaksa mengisinya dengan tergesa-gesa?



Soalan 50

Apakah hasil daripada Kempen Kesedaran 30 Hari tentang penggunaan perisian komputer yang tulen yang berakhir pada 8 Mei 1998 dan apakah langkah kementerian seterusnya selepas kempen ini?






Soalan-soalan Tambahan

Rabu, 13 Mei 1998 2.30 petang

Dewan Negara Yang Kesembilan

Mesyuarat Pertama

Penggal Yang Keempat



Soalan 4

Apakah sebab utama kerajaan tidak menerima cadangan Menteri Sains Teknologi dan Alam Sekitar supaya ISA dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam pembakaran terbuka?



Soalan 18,33

Adakah kerajaan bercadang menurunkan kadar bayaran telefon dan internet apabila lebih banyak ISP atau pembekal perkhidmatan internet mula beroperasi di negara ini, sebagai langkah untuk menggalakkan penambahan langganan internet?



Soalan 20

Apakah kesan sosial terhadap pelajar-pelajar institusi tinggi yang menghabiskan masa mereka di “Cybercafe” dan adakah kerajaan bercadang untuk mengawasi mereka?



Soalan 25

Adakah arahan Kementerian Penerangan supaya semua stesen televisyen menyiarkan rancangan tempatan pada waktu “prime time” telah menjejaskan kutipan iklan TV dan mengurangkan penonton?










Selasa 4hb Ogos 1998



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Pendidikan menyatakan

a. bilangan pendatang tanpa izin/asing yang sedang menuntut di negeri Sabah dan berapakah jumlah bayaran yang telah berjaya dikutip daripada pelajar pendatang tanpa izin/asing ini?



b. Apakah langkah segera yang diambil oleh kementerian untuk mengatasi kekurangan tempat di sekolah rendah dan menengah yang berlaku pada setiap tahun di Tawau?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Pendidikan menyatakan

a. Apakah tindakan yang telah dan akan diambil untuk mengatasi kekurangan guru berpengalaman di sekolah-sekolah di Tawau dan adakah pihak kementerian bercadang untuk memberikan latihan perguruan kepada guru sandaran tidak terlatih yang begitu ramai di sekolah-sekolah rendah dan menengah?



b. Adakah pengurangan peruntukan kepada sekolah-sekolah lantaran daripada kegawatan ekonomi akan menjejaskan pentadbiran sekolah, pengajaran dan pembelajaran serta prestasi pelajar-pelajar?





Rabu 5hb Ogos 1998



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Pengangkutan menyatakan

a. Dengan terbukanya KLIA sebagai salah sebuah Lapangan Terbang termoden di dunia, perkhidmatan di dalam penerbangan MAS juga seharusnya diperkemas dan dipertingkatkan. Kenapakah perkhidmatan MASFONE tidak diperkenalkan kepada penerbangan dalam negeri dan adakah pihak MAS mempunyai rancangan untuk berbuat demikian pada masa hadapan?



b. Kenapakah dalam kehangatan kerajaan menggalakkan pembelian barangan buatan Malaysia, pihak MAS masih manawarkan buah-buahan import seperti buah kiwi dan oren dan tidak menggunakan buah-buahan tempatan?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Pengangkutan menyatakan

a. Pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang sentiasa menjadi perhatian orang ramai. Adakah kerajaan serta pihak berkuasa sedar bahawa dengan membenarkan alat-alat seperti telefon bimbit, kamera dan alat elektronik yang lain dikecualikan daripada “security screening” merupakan satu kelonggaran atau "loop hole" yang boleh membawa padah kepada keselamatan penerbangan serta memberi peluang kepada penyeludupan melalui peralatan ini? Apakah langkah kerajaan untuk membetulkan perkara ini?





Khamis 6hb Ogos 1998



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Timbalan Menteri Dalam Negeri menyatakan

a. Adakah kerajaan bercadang untuk membesarkan penjara Tawau memandangkan jumlah banduan yang ada sudah melebihi kapasiti yang sebenar?



b. Adakah kerajaan bercadang untuk mengenakan hukuman bentuk lain selain daripada hukuman penjara terhadap pendatang tanpa izin sebagai menyahut seruan perbelanjaan berhemat di samping mengatasi kesesakan penjara?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Kesihatan menyatakan

a. Penswastaan pemeriksaan kesihatan pekerja asing kepada FOMEMA telah menimbulkan bantahan dan sunggutan banyak pihak di negara ini. Ini menjadi lebih teruk ketika hampir semua syarikat swasta mengalami masalah ketika kegawatan ekonomi. Atas alasan apakah FOMEMA diberikan kebenaran untuk menjalankan operasinya secara monopoli sehingga mengenakan kadar bayaran yang amat tinggi dan tidak menasabah.



b. Berapa ramaikah pekerja asing yang dijangka akan diperiksa oleh FOMEMA, berapa banyakkah keuntungan yang dijangka akan diperolehi oleh FOMEMA dan siapakah pengarah FOMEMA?






Isnin 10hb Ogos 1998



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Kesihatan menyatakan

a. Pelbagai kempen anti merokok serta tanda dilarang merokok di tempat-tempat awam dan bangunan berhawa dingin nampaknya tidak mengurangkan bilangan perokok di negara ini. Adakah kerajaan bercadang untuk menambahkan cukai ke atas rokok untuk menjadikan harga rokok lebih tinggi dan menjadikannya sebagai barang mewah, sebagai langkah untuk mengurangkan bilangan perokok terutama sekali perokok remaja?



b. Adakah kerajaan sedar bahawa dengan penjelasan dan laporan media yang menyeluruh tentang dadah seperti pil khayal telah secara tidak langsung menimbulkan rasa ingin cuba di kalangan remaja dan ini merupakan satu pengiklanan yang tidak langsung? Adakah kerajaan bercadang untuk memastikan laporan media tidak memberikan kesan sampingan terhadap pembaca atau penontonnya?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Penerangan menyatakan

a. Pelbagai rancangan dan iklan di televisyen seringkali menonjolkan gaya hidup barat serta cara hidup golongan mewah. Ini telah menggalakkan penduduk negara ini terutama sekali golongan remaja terikut-ikut dengan gaya hidup yang bertentangan dengan nilai moral negara kita. Penonjolan gaya hidup mewah juga tidak langsung membantu untuk menyampaikan mesej kerajaan supaya semua rakyat lebih berhati-hati berbelanja ketika negara kita sedang menghadapi kegawatan ekonomi. Adakah kementerian ini bercadang untuk mengkaji semula rancangan dan iklan yang ditayangkan supaya lebih realistik dan bersesuaian dengan perkembangan semasa?



Selasa 11hb Ogos 1998



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Perdana Menteri menyatakan

a. Dengan perlantikan Tan Sri Bernard Gilok Dompok sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru telah melengkapkan satu pusingan penggiliran Ketua Menteri Sabah di antara kaum Bumiputera Islam, Cina dan Bumiputera bukan Islam. Penggiliran Ketua Menteri ini telah dapat diterima dengan baik oleh rakyat negeri Sabah. Adakah sistem ini akan diteruskan selepas pilihanraya negeri Sabah yang akan datang?






Soalan-Soalan Tambahan



4hb Ogos 1998 Selasa 2.30 petang



Soalan Kedua

Memandangkan keadaan kekurangan tempat di sekolah-sekolah di Tawau berlaku pada setiap tahun adakah ini telah menjejaskan pembelajaran pelajar-pelajar?



Apakah punca sebenar berlakunya kekurangan tempat duduk di sekolah-sekolah rendah dan menengah di Tawau? Dan kenapakah keadaan ini dibiarkan berlaku secara berterusan untuk sekian lama?



Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan kekurangan tempat duduk di sekolah-sekolah tidak menjejaskan peluang anak-anak tempatan untuk mendapatkan pelajaran yang sempurna di sekolah?





Soalan Ketiga

Saya difahamkan bahawa Maktab Perguruan Sandakan akan ditutup kerana masalah dan alasan tertentu. Tidakkah dengan menutup maktab perguruan ini akan memburukkan lagi kekurangan guru terlatih di negeri Sabah ini?



Adakah masalah yang dihadapi oleh Maktab Perguruan Sandakan terlalu rumit sehingga terpaksa ditutup? Tidakkah ada cara lain untuk menyelamatkan maktab ini daripada ditutup apatah lagi pada ketika kegawatan ekonomi sekarang ini?



Dengan tertutupnya Maktab Perguruan Sandakan adakah kerajaan akan mempercepatkan pembinaan sebuah maktab perguruan di Tawau seperti yang pernah dijanjikan?







6hb Ogos 1998 Khamis 2.30 petang



Soalan Pertama

Adalah difahamkan bahawa kira-kira 85% daripada banduan-banduan di Penjara Tawau terdiri daripada pendatang asing. Perbelanjaan untuk banduan-banduan ini adalah amat tinggi. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah ramai di antara banduan-banduan ini masih lagi menunggu perbicaraan. Pada masa kita terpaksa berjimat-cermat, keadaan yang berlaku di penjara bukan sahaja merugikan kita malahan menjejaskan kewibawaan dan kecekapan pihak-pihak yang terlibat. Oleh yang demikian,



a. Adakah kerajaan bersetuju bahawa bilangan banduan di penjara mestilah dikurangkan?



b. Adakah kerajaan bersetuju bahawa perbicaraan tahanan ini harus disegerakan supaya mereka ini tidak ditahan terlampau lama sementara menunggu perbicaraan mereka?



c. Adakah kerajaan bersetuju bahawa hukuman alternatif perlu dicari untuk mengelakkan kesesakan penjara, seperti denda, rotan dan sebagainya?







Soalan Kedua

Dalam kegawatan ekonomi sekarang kita haruslah berjimat seberapa banyak yang boleh. Dalam konteks FOMEMA,

a. Adakah di antara butiran pemeriksaan yang tersenarai boleh dikurangkan supaya bayarannya boleh dikurangkan daripada yang telah ditetapkan sekarang ini?



b. Adakah di antara butiran pemeriksaan yang tersenarai boleh diperiksa selama dua tahun sekali dan bukannya secara tahununan supaya bayarannya dapat dikurangkan?



c. Adakah kita lebih memberatkan kesihatan pekerja asing sedangkan penduduk tempatan sendiri tidak diwajibkan untuk berbuat demikian? Saya percaya ramai di antara Yang Berhormat yang berada di dalam dewan yang mulia ini juga tidak menjalankan pemeriksaan kesihatan secara tahunan.



d. Kita percaya bahawa salah satu sebab FOMEMA mengenakan bayaran yang tinggi ialah kerana mereka terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menyediakan pejabat, makmal pemeriksaan dan sebagainya pada peringkat permulaan. Adakah FOMEMA masih perlu mengenakan bayaran yang tinggi pada tahun yang kedua dan tahun-tahun berikutnya kerana mereka sudah mendapat keuntungan yang diperlukan pada tahun pertama?








Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan bahawa kejayaan Malaysia menganjurkan Kuala Lumpur 98 Sukan Komanwel Ke-16 telah menunjukkan Malaysia memang berbolehan dalam apa juga bidang dan lapangan. YAB Perdana Menteri telah menyatakan hasrat untuk menganjurkan Sukan terbesar di dunia iaitu Sukan Olimpik pada tahun 2008.



a. Apakah kekurangan yang ada pada kita yang menyebabkan kita belum lagi cukup syarat untuk menganjurkan sukan tersebut dan apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil untuk melayakkan kita menganjurkan sukan tersebut?



b. Apakah rancangan yang telah disediakan untuk menggunakan kemudahan yang sedia ada, terutama sekali kemudahan yang telah disediakan semasa Sukan Komanwel yang lalu, bagi mempertingkatkan mutu sukan di negara ini?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Perdana Menteri menyatakan bahawa perkembangan politik semasa menunjukkan bahawa ada kalangan pemimpin negara bukan sahaja terlibat dalam kes-kes rasuah malah terjerumus dalam perbuatan seks yang memalukan bangsa, negara dan agama. Setakat ini kerajaan hanya meminta mereka mengistiharkan harta untuk mengelakkan daripada gejala rasuah.



a. Adakah kerajaan bercadang untuk meminta pemimpin negara dan ketua jabatan turut menyampai laporan kesihatan tahunan untuk menunjukkan mereka sihat dan bebas daripada penyakit seperti virus HIV?



b. Adakah kerajaan bercadang untuk meminta semua wakil rakyat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan pada setiap tahun seperti mana yang telah disyaratkan terhadap pekerja warganegara asing?





Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Penerangan menyatakan bahawa terlalu banyak laporan negatif yang telah disiarkan dalam media asing terutama sekali berkenaan dengan isu ekonomi dan politik akhir-akhir ini. Kebanyakan berita yang disiarkan bukan sahaja palsu, fitnah dan berat sebelah malah mengancam kestabilan negara. Media asing juga jelas dilihat sebagai diperalatkan oleh golongan atau orang tertentu untuk kepentingan dan niat jahat.



a. Apakah tindakan kerajaan terhadap media asing yang membuat laporan sedemikian, dan apakah tindakan terhadap wakil media asing yang ada juga merupakan rakyat negara ini?



b. Adakah pihak kerajaan bercadang untuk memperbaiki hubungan dengan negara luar dalam usaha memberikan gambaran perkembangan semasa negara yang lebih tepat dan mendapat liputan berita yang lebih bertanggungjawab daripada media asing?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Kerjaraya menyatakan bahawa dalam persidangan Parlimen yang lalu kita telah membahaskan dengan panjang lebar tentang masalah air dan sungai. Pelbagai janji telah dibuat.



a. Apakah tindakan yang telah diambil setakat ini semenjak persidangan yang lalu dalam usaha menyediakan air paip yang mencukupi?



b. Jika ada tindakan yang telah diambil, apakah hasil daripda tindakan yang telah diambil setakat ini?





Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Kerja Raya menyatakan bahawa terdapat peruntukan untuk melapis semula atau "resurface" jalan raya untuk satu tempoh yang tertentu. Kadang-kadang jalan raya yang dilapis semula tidak terdapat sebarang kerosakan dan kerja ini amat membazir terutama sekali semasa kita perlu berjimat cermat dalam perbelanjaan kita.



a. Adakah pihak kementerian mempunyai cadangan untuk mengubah peraturan yang sedia ada bagi membolehkan peruntukan ini disalurkan bagi kerja-kerja pembaikan jalan raya yang lebih diperlukan?



b. Adakah pihak kementerian bercadang untuk menurunkan kuasa kepada ketua pejabat JKR tempatan bagi menentukan sama ada peruntukan untuk melapis semula jalan raya dapat dipindahkan jika jalan tersebut masih lagi sempurna untuk digunakan?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Sains Teknologi dan Alam Sekitar menyatakan bahawa ketika negara kita menghadapi masalah jerebu pembakaran secara terbuka menjadi satu isu yang amat besar dan hukuman yang berat telah dicadangkan.



a. Ketika masalah jerebu tidak lagi mengancam negara kita adakah kerajaan masih meneruskan kegiatan untuk mengesan pembakaran terbuka?



b. Apakah difinisi dan takrif sebenarnya bagi pembakaran terbuka?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri menyatakan berapa ramaikah Ahli Dewan Negara yang belum mencukupi umur 55 tahun apabila bersara?



a. Adakah kerajaan bercadang untuk memberikan pencen kepada Ahli Dewan Negara sebaik sahaja mereka bersara walaupun mereka belum menjakau umur 55 tahun? Ini memandangkan mereka yang telah berkhidmat selama dua penggal tidak mungking dilantik sebagai Ahli Dewan Negara lagi.



b. Adakah tingkah laku, hal ehwal dan kebajikan Ahli Dewan Negara turut dijaga selepas mereka bersara?