Wednesday, November 08, 2000

Kenyataaan Akhbar - Pelancaran Kempen Cintai Sungai Kita

Datuk Geoffrey Yee Lung Fook
8 November 2000

Sudah menjadi lumrah kebanyakan pemimpin kita untuk mengeluarkan kenyataan malah membuat janji apabila berlakunya sesuatu peristiwa yang kurang baik seperti kemalangan, bencana alam dan sebagainya. Akan tetapi selepas peristiwa itu berlaku maka apa yang diperkatakan juga turut dilupakan, sehinggalah peristiwa yang serupa berulang lagi.

Pada tahun 1998 negara kita menghadapi masalah air. Kita mengalami kekuranga air kerana musim kemarau. Banyak kenyataan oleh pemimpin pelbagai peringkat telah dibuat berhubung dengan pencatuan air dan penjimatan air.

Selepas daripada itu kita juga memperkatakan tentang banjir. Semua ini ada kaitan rapat dengan penjagaan sungai.

Seperti yang kita sedia maklum bahawa pada 10hb November 2000, YAB Perdana Menteri akan melancarkan kempen "Mencintai Suagai Kita" di Sungai Anak Bukit. Oleh yang demikian, sebagai orang yang pernah membangkitkan isu penjagaan dan pemuliharaan sungai, saya perlu mengulangi apa yang pernah saya bentangkan di Dewan Negara semenjak tahun 1998.

Saya telah mengatakan bahawa telah tiba masanya kita mengambil perhatian yang serius terhadap kualiti air yang diterima. Selama ini tidak ada orang membangkitkan perkara ini kerana kita tidak menghadapi masalah kekurangan air dan kebersihan air kurang dipersoalkan. Pada musim kemarau, paras air di sungai dan empangan menjadi rendah. Pembersihan air perlu dilipat ganda kerana air pada musim kemarau lebih pekat dengan pelbagai bahan kotoran dan larutan.

Sebelum masalah ini menjadi lebih serius kita harus mengambil inisiatif untuk memastikan sumber air kita bersih dan selamat digunakan. Salah satu langkah segera yang perlu diambil ialah dengan menguatkuasakan tanah simpanan sungai di kedua-dua tebing sungai terutama sekali daripada tempat pengepaman air hingga ke hulu sungai.

Mengikut ordinan tanah yang sedia ada setiap sungai mempunyai tanah simpanan sungai sepanjang satu “chain”, atau 66 kaki, atau dua kali ganda lebar sungai. Tanah Simpanan Sungai ini tidak boleh diusik sama ada dengan mendirikan rumah atau dijadikan tempat pertanian. Ia mestilah dipelihara dalam keadaan semula jadinya. Ini akan memastikan air sungai ini sentiasa bersih sehingga ke tempat pengepaman. Dengan ini air yang dipam untuk dihantar ke loji pembersihan air adalah benar-benar bersih.

Selama ini kita tidak mengambil berat tentang tanah simpanan sungai kerana kita tidak menghadapi masalah air. Apabila kita menghadapi masalah air kebanyakan daripada kita lebih suka menyalahkan orang lain daripada mengakui bahawa kita, malah setiap orang turut menyumbang kepada masalah yang kita alami.

Seperti yang dititahkan oleh Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong dalam Ucapan Diraja 1998, baginda telah meminta semua agensi yang terlibat menguatkuasakan undang-undang dengan berkesan agar tidak berlaku pencemaran sungai di kawasan punca air. Saya menyokong penuh saranan Duli Yang Maha Mulia Sri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agong itu. Dengan penguatkuasaan tanah simpanan sungai ini kebersihan punca air akan lebih terjamin. Walaupun penguatkuasaan undang-undang ini akan menimbulkan berbagai-bagai kerumitan kepada setengah-setengah pihak tetapi demi menjaga punca air yang lebih bersih, demi mengelakkan punca air daripada tercemar dan yang paling penting demi menjadi kesihatan setiap rakyat kita harus berkorban. Mereka yang bercucuk tanam di tepi sungai dan mendirikan rumah berdekatan dengan sungai seharusnya tidak berbuat demikian bermula dari awal lagi kerana mereka memang tahu akan kewujudan tanah simpanan sungai ini.

Akan tetapi apa yang menyedihkan ialah kebanyakan tebing sungai didiami atau ditanam dengan pelbagai tanaman. Pembuangan najis, sampah sarap, baja kimia dan racun serangga telah menyumbang kepada pencemaran sungai. Pembersihan tanah berdekatan dengan sungai juga menyebabkan hakisan tanah yang turut mencemarkan sungai. Ini menjadikan air sungai kita kurang selamat untuk diminum.

Oleh yang demikian saya ingin mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Parit dan Taliair serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mengambil langkah segera untuk memastikan pemuliharaan tanah simpanan sungai ini dikuatkuasakan demi menjaga kebersihan air sungai yang menjadi sumber air makan dan minum kita seharian.

Dengan memastikan tanah simpanan sungai ini benar-benar dipelihara kita akan mengelakkan buangan baja kimia, racun serangga, najis serta sampah sarap yang lain daripada mencemari sungai terutama sekali di kawasan punca air. Untuk mempercepatkan proses ini penduduk atau tuan punya ladang atau kebun yang terlibat haruslah menanam pokok-pokok di tebing sungai. Pihak Jabatan Perhutanan, pertubuhan sukarela juga boleh turut membantu dalam usaha memelihara tanah simpanan sungai ini.

Di samping memastikan punca air kita tidak tercemar kita juga harus mengubah sikap kita yang suka membuang sampah ke dalam longkang dan sungai dan kemudiannya menuduh dan menyalahkan pihak lain tidak mengutip sampah. Pembuangan sampah adalah satu tabiat buruk yang diamalkan oleh hampir semua orang. Untuk memastikan pencemaran sungai tidak berlaku dan tidak membawakan kepada masalah lain yang selanjutnya kita mestilah mula mengubah sikap dan tabiat kita sendiri. Jika kita gagal berbuat demikian biar apa sekalipun tindakan yang diambil oleh kerajaan dan pihak berkuasa tempatan, semuanya akan menjadi sia-sia kerana semua orang akan lupa apabila bekalan air pulih seperti biasa. Kita haruslah mengambil pengajaran daripada masalah yang kita hadapi sekarang untuk kita sama-sama mengubah sikap.

Sempena dengan pelancaran "Kempen Cintai Sungai Ini" saya berharap semua pihak anak mengambil sikap yang positif serta memberikan kerjasama sepenuhnya untuk memastikan sungai kita tidak tercemar dan sentiasa terpelihara. Demi kepentingan kita bersama, demi kebersihan sumber air dan alam sekitar kita, marilah kita memberikan sokongan padu terhadap kempen ini.