Thursday, August 19, 1999

Perjumpaan dengan Persatuan Pemandu Teksi Tawau

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

19hb Ogos 1998





Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli Persatuan Pemandu Teksi Tawau kerana sudi menghadiri perjumpaan ini.



Tuan-tuan yang dihormati sekalian, kegawatan ekonomi yang melanda negara kita telah menimbulkan pelbagai masalah sampingan seperti rompakan, kecurian, serta kes-kes jenayah yang lain. Ini menambahkan bebanan yang dihadapi oleh rakyat.



Pembunuhan serta rompakan terhadap pemandu teksi yang berlaku di Kota Kinabalu baru-baru amatlah menyedihkan kita. Insiden seperti ini bukanlah kali pertama kali berlaku dan ia pernah berlaku di daerah Tawau sendiri. Kita mestilah melakukan sesuatu untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berlaku.



Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab setiap pemandu teksi agar lebih berhati-hati dan berwaspada apabila mengambil penumpang. Saya tidak bermaksud untuk meminta para pemandu teksi supaya bersikap memilih penumpang, tetapi adalah lebih baik dan bijak supaya kita lebih berwaspada terhadap penumpang-penumpang yang dicurigai. Demi keselematan para penumpang teksi kita haruslah mengelakkan daripada mengambil penumpang yang disyaki atau yang meminta untuk dihantar ke tempat-tempat yang sunyi dan terpencil. Para pemandu teksi juga haruslah mengelakkan daripada beroperasi terlampau lewat pada waktu malam.



Saya juga ingin mencadangkan supaya para pemandu teksi melengkapkan teksi mereka dengan alat siren untuk membolehkan mereka membunyikan siren ketika kecemasan. Penggunaan siren akan dapat membantu para pemandu teksi meminta pertolongan pada ketika kecemasan seperti rompakan, ugutan, kemalangan jalanraya atau apabila berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini. Langkah berjaga-jaga ini akan dapat mengurangkan kes rompakan dan pembunuhan pemandu teksi. Siren akan membolehkan teksi berkenaan lebih mudah dilihat dari jauh dan juga lebih mudah didengar.



Di samping itu saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada para pemandu teksi khasnya di daerah Tawau ini supaya dapat sentiasa menjaga kenderaan mereka agar selamat dan selasa digunakan dan tidak melanggar peraturan jalanraya. Dengan memastikan kenderaan kita sentiasa berada dalam keadaan yang baik akan mengelakkan kita daripada terlibat dalam kemalangan jalanraya kerana kegagalan kenderaan. Perhatian serius terhadap lesen memandu, cukai jalan dan permit juga harus diberikan supaya tidak mengalami kesukaran semasa diperiksa oleh pihak polis mahupun Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ).



Saya juga ingin menyeru kepada semua pemandu teksi supaya meningkatkan mutu perkhidmatan mereka dari segi layanan terhadap para penumpang. Layanan baik yang diberikan akan memastikan perkhidmatan teksi terus diminati. Ia juga mengurangkan salah faham di antara penumpang dengan pemandu dan dengan ini mengurangkan kemarahan penumpang.



Akhir kata saya berharap Persatuan Pemandu Teksi Tawau akan meningkatkan program kebajikan mereka untuk menjaga kebajikan para ahli di samping mengeratkan kerjasama dan persahabatan di kalangan ahli supaya persatuan ini akan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam menjaga hak dan kepentingan para pemandu teksi. Dengan ini juga saya berharap bilangan ahli akan bertambah banyak.



Sekian dan terima kasih.

Tuesday, August 17, 1999

Surat Kepada Ketua Menteri Sabah: Penguatkuasa Tanah Simpanan Sungai di Negeri Sabah

17 hb. Ogos 1998





1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada YAB Tan Sri kerana mengambil berat terhadap ordinan tanah di negeri ini.



2. Sehubungan dengan itu saya ingin meminta agar Tanah Simpanan Sungai dikuatkuasakan untuk menjadi kebersihan sungai terutama sekalinya yang menjadi sumber air minuman.



3. Ini melibatkan tanah simpanan sungai di kedua-dua tebing sungai terutama sekali daripada tempat pengepaman air hingga ke hulu sungai. Mengikut ordinan tanah yang sedia ada setiap sungai mempunyai tanah simpanan sungai sepanjang satu chain, dengan izin, atau 66 kaki, atau dua kali ganda lebar sungai. Tanah Simpanan Sungai ini tidak boleh diusik sama ada dengan mendirikan rumah atau dijadikan tempat pertanian. Ia mestilah dipelihara dalam keadaan semula jadinya. Ini akan memastikan air sungai ini sentiasa bersih sehingga ke tempat pengepaman. Dengan ini air yang dipam untuk dihantar ke loji pembersihan air adalah benar-benar bersih.



4. Dengan penguatkuasaan tanah simpanan sungai ini kebersihan punca air akan lebih terjamin. Walaupun penguatkuasaan undang-undang ini akan menimbulkan berbagai-bagai kerumitan kepada setengah-setengah pihak tetapi demi menjaga punca air yang lebih bersih, demi mengelakkan punca air daripada tercemar dan yang paling penting demi menjadi kesihatan setiap rakyat kita harus berkorban. Mereka yang bercucuk tanam di tepi sungai dan mendirikan rumah berdekatan dengan sungai seharusnya tidak berbuat demikian bermula dari awal lagi kerana mereka memang tahu akan kewujudan tanah simpanan sungai ini.



5. Akan tetapi apa yang menyedihkan ialah kebanyakan tebing sungai didiami atau ditanam dengan pelbagai tanaman. Pembuangan najis, sampah sarap, baja kimia dan racun serangga telah menyumbang kepada pencemaran sungai. Pembersihan tanah berdekatan dengan sungai juga menyebabkan hakisan tanah yang turut mencemarkan sungai. Ini menjadikan air sungai kita kurang selamat untuk diminum.



6. Oleh yang demikian saya ingin mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Parit dan Taliair serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mengambil langkah segera untuk memastikan pemuliharaan tanah simpanan sungai ini dikuatkuasakan demi menjaga kebersihan air sungai yang menjadi sumber air makan dan minum kita seharian.



7. Dengan memastikan tanah simpanan sungai ini benar-benar dipelihara kita akan mengelakkan buangan baja kimia, racun serangga, najis serta sampah sarap yang lain daripada mencemari sungai terutama sekali di kawasan punca air. Untuk mempercepatkan proses ini penduduk atau tuan punya ladang atau kebun yang terlibat haruslah menanam pokok-pokok di tebing sungai. Pihak Jabatan Perhutanan, pertubuhan sukarela juga boleh turut membantu dalam usaha memelihara tanah simpanan sungai ini.



8. Saya berharap cadangan saya akan mendapat perhatian dan pertimbangan daripada YAB Tan Sri. Saya dahului dengan ribuan ucapan terima kasih.

Surat Kepada Menteri Kewangan: Tambahan Cukai Rokok

17 hb. Ogos 1998





1. Saya telah membangkitkan perkaran peningkatan bilangan perokok terutama sekali di kalangan remaja dan pelajar sekolah di Dewan Negara baru-baru ini. Ini disebabkan harga rokok sekarang masih lagi rendah dan dapat dibeli oleh kebanyakan orang. Soalan asal saya ditujukan kepada YB Menteri Kesihatan kerana pelbagai usaha dan kempen anti merokok kementerian tersebut belum lagi dapat mengurangkan bilangan perokok.



2. Oleh yang demikian saya telah mencadangkan supaya cukai terhadap rokok dinaikkan dalam belanjawan akan datang. YB Menteri Kesihatan dalam jawapan beliau telah bersetuju supaya cadangan tersebut dirujuk kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan selanjutnya.



3. Cadangan menaikkan cukai rokok supaya rokok dijadikan barangan mewah adalah untuk mengelakkan orang ramai daripada terus tertagih terhadap rokok. Dengan cara ini bilangan perokok terutama sekali daripada golongan yang berpendapatan rendah dan golongan pelajar dan remaja akan dapat dikurangkan. Ini akan membolehkan mereka membelanjakan wang rokok mereka terhadap barang-barang yang lebih penting dan lebih diperlukan.



4. Di samping itu, dengan penambahan cukai rokok kerajaan juga akan dapat meningkatkan pendapatan negara. Dalam keadaan kegawatan ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara kita, pelbagai langkah dan usaha harus digembeling untuk meningkatkan tabung negara. Pada pendapat saya langkah menaikkan cukai rokok akan turut menyumbang ke arah tersebut.



5. Saya juga tidak lupa bahawa dengan peningkatan cukai rokok akan menambahkan kes-kes penyelupan rokok haram daripada negara jiran. Oleh yang demikian saya berharap agar langkah yang lebih tegas dan berterusan harus dilaksanakan untuk membanteras penyelupan.



6. Selain daripada itu, saya juga mencadangkan supaya kerajaan membernarkan penubuhan kedai rokok bercukai untuk membolehkan perokok membeli rokok import atau daripada negara jiran dengan tidak membeli rokok yang diseludup. Ini adalah satu cara untuk mengurangkan penyeludupan rokok, dan bukannya satu cadangan untuk menggalakkan orang ramai merokok.



7. Saya berharap cadangan saya akan mendapat perhatian dan pertimbangan daripada YAB Dato'. Saya dahului dengan ribuan ucapan terima kasih.