Friday, April 27, 2001

Sekolah Haram Di Sabah?

27 April 2001

Nampaknya sehingga hari ini masih ada di kalangan kita yang belum dapat membezakan di antara pendatang tanpa izin, pendatang asing dan pelarian. Kita akui bahawa negeri Sabah merupakan negeri yang paling teruk dilanda masalah pendatang tanpa izin. Kita juga akui bahawa terdapat ramai warga negara asing di negeri ini.

Apa yang perlu ditegaskan ialah kita perlu membezakan di antara pendatang asing, pendatang tanpa izin dan pelarian. Pendatang asing ialah rakyat dari negara lain yang memasuki negara atau negeri ini secara betul mengikut undang-undang dan prosidur imigresen. Bagi mereka yang bekerja di negeri ini, mereka mempunyai permit kerja serta dijamin oleh majikan. Bilangan mereka didaftarkan dan mereka mematuhi undang-undang negara ini.

Pendatang tanpa izin adalah golongan yang memberikan masalah kepada negeri ini. Mereka masuk ke negeri ini tanpa sebarang documen perjalanan dan biasanya melalui cara haram. Mereka diberikan kerja tanpa sebarang permit kerja oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab. Mereka juga menjalankan kegiatan yang tidak dapat dikesan oleh pihak berkuasa. Golongan ini juga, mengikut rekod polis, merupkan golongan yang paling banyak terlibat dalam kegiatan jenayah. Mereka mencabar undang-undang negara ini dan mengancam keselamatan penduduk tempatan.

Sementara pelajarian pula merupakan warga negara asing yang masuk ke negeri ini akibat peperangan atau ketidakstabilan politik di negara mereka sendiri. Mereka ini diakui oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB). Kemasukan mereka biasanya bersifat sementara. Pelarian daripada Filipina dan Vietnam suatu ketika dahulu merupakan contoh pelarian.

Menyedari akan bahayanya ancaman pendatang tanpa izin banyak pihak telah menyuarakan kebimbingan. Pemimpin pelbagai pertubuhan telah meminta kerajaan mengambil tindakan yang tegas terhadap pendatang tanpa izin. Lantaran itu pihak keselamatan sedang melakukan operasi untuk membersihkan pendatang tanpa izin dan mereka yang ditangkap dihantar balik ke negara asal mereka. Pihak berkuasa hanya bertindak terhadap mereka yang memasuki negeri ini secara haram atau tanpa sebarang dokumen. Ini bermakna mereka yang memasuki negara ini secara sah tidak akan diganggu. Rakyat negeri Sabah sememangnya amat berterima kasih kepada pihak polis, tentera, Pasukan Pertugas Persekutuan dan sebagainya atas usaha mereka untuk mengurangkan bilangan pendatang tanpa izin dan sekaligus mengurangkan kejadian jenayah. Tanpa tindakan seperti ini yang berterusan, adalah amat sukar bagi rakyat negeri ini menikmati keamanan hidup.

Oleh yang demikian pengumuman bahawa pihak kerajaan boleh menerima anak-anak pendatang tanpa izin untuk bersekolah di sekolah-sekolah kerajaan asalkan mereka membayar yuran sekolah adalah tidak wajar sama sekali. Pengumuman adalah bercanggah dengan usaha pihak berkuasa dan seolah-olah memberikan gambaran bahawa kawasan sekolah adalah kawasan selamat bagi anak-anak pendatang tanpa izin. Pengumuman seperti ini amat mengelirukan dan boleh membawa implikasi yang amat tidak baik.

Dengan pengumuman untuk menerima anak-anak tanpa izin asalkan mereka membayar yuran sekolah, adakah ini bermakna seorang pendatang tanpa izin yang ditangkap polis dan dihantar balik ke negara asal mereka tetapi anak-anaknya boleh terus bersekolah di sekolah di negeri ini? Adakah kita bercadang untuk mengamalkan ‘double standard” dalam melaksanakan undang-undang? Dalam konteks apa sekalipun pendatang tanpa izin tetap pendatang haram dan perlu meninggalkan negeri ini. Kita hanya menerima mereka yang memasuki negeri ini secara baik dan mematuhi undang-undang negara ini.

Saya berharap pihak yang berkenaan dapat lebih peka terhadap perkembangan semasa dan masalah yang dihadapi oleh negeri ini secara lebih mendalam sebelum membuat hebahan atau pengumuman secara melulu. Kelalaian seperti ini bukan sahaja menjejaskan imej jabatan tertentu tetapi juga mengelirukan rakyat negeri ini. Rakyat akan hilang kepercayaan dan keyaikinan terhadap jabatan atau agensi tertentu.

Harus diingat, sekolah kerajaan hanya memberi tempat kepada rakyat negara asing yang masuk ke negara ini mengikut saluran undang-undang yang betul serta mematuhi peraturan imigresen. Mereka perlu membayar yuran yang diteapkan. Itu pun jika sekolah yang ingin dimasuki itu mempunyai tempat yang mencukupi bagi menampung mereka. Harus juga diingatkan bahawa keutamaan mestilah diberikan kepada rakyat negeri ini.

Prinsip yang sama juga harus digunakan dalam perkhidmatan awam yang lain seperti kemudahan kesihatan dan peluang pekerjaan. Kita mestilah mengutamakan rakyat negeri ini dahulu. Jangan sekali-kali kerana wang ringgit, hak dan kebajikan rakyat negeri ini diabaikan dan digadaikan.

Oleh yang demikian saya meminta pihak-pihak yang berkenaan untuk membetulkan pengumuman mereka supaya tidak mengelirukan.