Friday, November 26, 1999

Surat Kepada PM: Peruntukan Khas Pemindahan SJK Kong Ming, Tawau

26 hb. November 1998

Kami amat menghargai kesungguhkan YAB Dato' Sri dalam usaha menyokong dan memajukan sekolah rendah Cina serta kebudayaan kaum Cina yang juga merupakan sebahagian daripada kebudayaan Malaysia.

Untuk pengetahuan YAB Dato' Sri, Sekolah Jenis Kebangsaan Kung Ming Tawau merupakan salah sebuah sekolah Cina yang amat memerlukan perhatian dan bantuan. Sekolah ini yang terletak di kawasan luar bandar kini mengalami kekurangan pelajar. Selama ini sekolah ini menampung kira-kira 90% pelajar daripada kaum bukan Cina walaupun pada dasarnya ia merupakan sebuah sekolah Cina.

Dengan perkembangan pesat dan pertambahan penduduk dari tahun ke tahun, sekolah-sekolah Cina yang sedia ada di daerah Tawau ini sudah tidak lagi cukup untuk menampung semua pelajar. Bilangan pelajar dalam sesebuah bilik darjah sudah menjangkau 50 orang. Kesesakan bilik darjah ini bukan sahaja menyukarkan proses pembelajaran dan pengajaran malahan juga membantutkan perlaksanaan KBSR (Kurikulum Baru Sekolah Rendah).

Oleh yang demikian, Sekolah Jenis Kebangsaan Kung Ming telah membuat keputusan untuk memindahkan sekolah ini ke satu tapak yang lebih sesuai bagi memenuhi keperluan semasa. Sekolah ini telah berjaya mengenal pasti sebidang tanah seluas 5 hektar bagi dijadikan tapak pembinaan sekolah baru. Sekolah ini juga telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Pendidikan Negeri Sabah untuk memindahkan sekolah ini ke tapak yang baru.

Akan tetapi pemindahan sekolah yang melibatkan pembinaan semula infrustruktur baru dianggarkan menelan belanja sebanyak RM 2.5 juta. Setakat ini pihak sekolah dan lembaga pengelola sekolah dengan pelbagai usaha dan ikhtiar telah berjaya mengumpul sebanyak RM 700,000.00. Kami masih lagi memerlukan sebanyak RM 1.8 juta untuk menjayakan projek ini.

Oleh yang demikian, sebagai Pengerusi Lembaga Pengelola Sekolah Jenis Kebangsaan Kung Ming Tawau, saya dengan rendah hati dan penuh harapan memohon pertimbangan dan budi baik YAB Dato' Sri agar dapat memberikan peruntukan khas dalam membantu menjayakan pemindahan dan pembinaan semula SJK Kung Ming Tawau.

Saya berharap permohonan saya akan mendapat perhatian dan pertimbangan daripada YAB Dato'. Saya dahului dengan ribuan ucapan terima kasih.

Thursday, November 25, 1999

Penerimaan Ahli Baru SAPP Dan Penubuhan 6 Buah Cawangan Baru

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

November 1998

Tuan-tuan dan puan-puan,

Saya merasa amat gembira dan bangga sekali dapat bersama-sama dengan tuan-tuan dan puan-puan pada malam yang cukup bersejarah ini. Saya percaya bahawa seluruh ahli Parti Maju Sabah (SAPP) juga turut merasa gembira dan bangga dengan majlis kita pada malam ini.

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada ahli jawatankuasa CLC En. Bakri Jamal atas usaha gigih beliau untuk menubuhkan 6 buah cawangan SAPP yang baru. Ini masing-masing terdiri daripada 2 buah cawangan daripada Merotai, 2 buah cawangan daripada Balung dan 2 buah cawangan lagi daripada Sri Tanjung.

Saya juga ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua ahli daripada keenam-enam cawangan baru ini untuk bersama-sama dengan SAPP dan berada di dalam keluarga besar Barisan Nasional. Pilihan dan keputusan tuan-tuan dan puan-puan adalah tepat sekali. Saya mewakili Presiden dan seluruh ahli Parti SAPP mengalu-alukan kedatangan dan kemasukan semua ahli baru.

Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati sekalian,

Saya amat yakin dan percaya bahwa kemasukan tuan-tuan dan puan-puan ke dalam Parti SAPP adalah ikhlas dan jujur. Saya juga percaya bahawa tuan-tuan dan puan-puan percaya dan yakin dengan perjuangan SAPP yang tidak membezakan kaum, agama dan keturunan. Salam SAPP kita memperjuangkan nasib dan hak seluruh rakyat Sabah tanpa diskriminasi.

Saya juga percaya bahawa kemasukan tuan-tuan dan puan-puan bukan disebabkan janji bayaran wang sebanyak RM300 setahun. SAPP dan Barisan Nasional tidak pernah menjanjikan RM300. Kami juga tidak menjanjikan tanah sebanyak 3 ekar. Kami tidak memberikan janji-janji kosong yang sekadar untuk menarik perhatian dan sekadar menipu para pengundi. Kami tidak dan tidak akan membuat janji politik yang murah seperti ini untuk memancing undi.

Tuan-tuan dan puan-puan yang bijaksana,

Saya yakin tuan-tuan dan puan-puan sedar bahawa Barisan Nasional adalah kerajaan yang bertanggungjawab untuk membawa pembangunan dan pembaharuan kepada rakyat semua lapisan dan golongan. Kita menyediakan plan dan rancangan yang boleh dan pasti dicapai. Kita mempunyai wawasan yang jauh menjangkau sekadar memerangi pilihanraya. Kita tidak membuat rancangan 5 tahun tetapi rancangan berterusan yang mengambil masa 30 tahun dan lebih. Sejarah telah membuktikan bahawa janji Barisan Nasional dikotakan satu per satu. Sejarah telah membuktikan bahawa Barisan Nasional bertanggungjawab terhadap apa yang telah dikatakan. Kita tidak memungkiri janji walaupun kita kalah. Malahan pembangunan dan kebajikan rakyat di kawasan Barisan Nasional tidak mempunyai wakil rakyat turut dijaga dan diberi perhatian.

Ini membuktikan Barisan Nasional benar-benar ikhlas dan komited terhadap usaha meningkatkan taraf hidup rakyat. Kita komited untuk memberikan perkhidmatan dan sumbangan kepada rakyat tanpa mengira latar belakang, agama dan kebudayaan. Barisan Nasional juga merupakan satu keluarga besar yang bukan sahaja menjaga kepentingan golongan majoriti malahan juga tidak pernah mengabaikan golongan minoriti. Itulah sebabnya di bawah pemerintahan Barisan Nasional, tiada golongan yang tertindas atau diabaikan.

Dalam Barisan Nasional kita mengamalkan semangat Barisan Nasional yang mengutamakan kepentingan ramai lebih daripada kepentingan individu. Oleh itu, tidak kira siapa sahaja menjadi calon Barisan Nasional, parti komponen mana sahaja yang mewakili Barisan Nasional dalam pilihanraya, semua ahli komponen parti Barisan Nasional akan memberikan sokongan yang padu dan tidak berbelah bahagi.

Pada masa yang sama, wakil rakyat sama ada daripada SAPP, UMNO mahupun ahli komponen parti Barisan Nasional yang lain akan tetap memberikan perkhidmatan mereka kepada semua ahli dan penyokong Barisan Nasional.

Semangat Barisan Nasional dan semangat kerjasama ini membolehkan kita terus mengekalkan pemerintahan negara ini untuk memastikan pembangunan negara dan mengekalkan keamanan dan kemakmuran negara. Kestabilan politik dan ekonomi adalah amat penting. Untuk membolehkan kita terus hidup dalam suasana yang aman, damai dan makmur, kita perlukan sebuah kerajaan yang kukuh dan kuat. Kita tidak seharusnya memperjudikan nasib kita sekadar tertarik dengan janji-janji kosong pihak pembangkang.

Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati,

Oleh yang demikian, kita janganlah mudah terpengaruh dengan dakyah dan khabar angin pihak pembangkang yang cuma bertujuan untuk menimbulkan kekeliruan dan kekacauan. Janji-janji kosong yang ditaburkan hanya merupakan satu perangkap besar dan satu pembohongan besar. Kita akan menyesal jika kita terperangkap dan tertipu oleh mereka.

Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan tidak lupa akan sejarah yang pernah menimpa negeri ini. Orang yang sedang menabur berbagai-bagai janji ini pada suatu masa dahulu pernah dibuang oleh pengundi negeri Sabah. Orang ini adalah orang yang tidak dapat menerima kekalahan tidak menerima pilihan pengundi. Sejarah telah menunjukkan kepada kita bahawa orang yang kalah dalam pilihanraya pada tahun 1986 tidak langsung melihat dan menilai semula kelemahan diri tetapi sebaliknya memilih untuk menimbulkan kecacauan dan rusuhan. Mereka yang tamak kuasa ingin merampas pemerintahan dengan cara kekerasan dan langsung tidak menghormati sistem demokrasi yang kita amalkan selama ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, orang yang pernah menimbulkan kecacauan akibat kalah dalam pilihanraya dahulu kita aktif semula dalam arena politik dan sedang menabur janji-janji manis. Adakah kita mahu pemimpin seperti ini dalam negeri ini? Janganlah kita mudah tertipu dan terpedaya dengan tipu helah mereka.

Saya juga ingin mengingatkan tuan-tuan dan puan-puan supaya berhati-hati dengan kad pengenalan anda. Jangan sekali-kali memberikan kad pengenalan anda kepada orang yang tidak dikenali kerana anda akan didaftarkan menjadi ahli sebuah parti yang anda tidak yakin dengan perjuangannya. Nama anda juga akan disenaraikan sebagai orang yang telah berdaftar untuk mendapatkan habuan dan hadiah yang kononnya akan dilaksanakan jika mereka menang dalam pilihanraya. Nama anda juga akan digunakan untuk propaganda politik golongan yang tidak bertanggungjawab.

Tuan-tuan dan puan-puan, kalau mereka benar-benar ikhlas, saya mencabar mereka supaya memberikan separuh daripada apa yang mereka janjikan. Tidak perlulah untuk mereka tunggu sehingga pilihanraya atau selepas memenangi pilihanraya. Buktikan kemampuan mereka dan buktikan keikhlasan mereka sekarang juga.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Kemasukan tuan-tuan dan puan-puan sekalian sudah pasti memberikan sokongan dan kekuatan baru kepada parti SAPP dan juga Barisan Nasional. Parti SAPP sebuah parti yang berwawasan dan komited terhadap perjuangan parti. Itulah sebabnya SAPP mempunyai latihan dan kursus yang diatur khas untuk semua ahli. Ini akan menjadikan semua ahli SAPP benar-benar faham dengan perjuangan parti di samping menghayati perjuangan parti serta dapat memberikan sumbangan yang lebih bermakna dan lebih positif terhadap parti dan Barisan Nasional.

Parti SAPP juga bukan sebuah parti yang ditubuhkan hanya semata-mata untuk memenagi pilihanraya dan terus lenyap selepas itu. SAPP adalah parti yang kukuh dan mempunyai rancangan yang berterusan untuk memperjuangkan nasib semua rakyat negeri Sabah. Parti SAPP akan terus hidup dan terus maju bersama-sama dengan Barisan Nasional. Penyertaan tuan-tuan dan puan-puan dalam SAPP akan terus memberikan semangat dan rangsangan kepada parti ini.

Tuan-tuan dan puan-puan,

Akhir kata, saya sekali lagi mengalu-alukan kemasukan tuan-tuan dan puan-puan ke dalam parti SAPP dan keluarga besar Barisan Nasional. Saya juga ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih parti kepada Encik Bakri Jamal atas usaha dan kesungguhan beliau dalam menjayakan majlis kita pada malam ini. Semoga semangat ini akan berterusan dan memberikan kemenangan besar kepada Barisan Nasional dalam pilihanraya negeri yang akan di adakan pada bila-bila masa sahaja.

Sekian dan terima kasih.

Ucapan Dewan Negara: Pindaan Akta Pertubuhan 1996 [Rang Undang-undang Pertubuhan (Pindaan) 1997]

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Dewan Negara

1998

Peruntukan bagi membolehkan penurunan kuasa ke peringkat negeri-negeri akan membolehkan pentadbiran dilaksanakan dengan lebih licin, lancar dan cekap. Cara ini akan dapat membantu mempercepatkan proses kerja serta mengurangkan kerenah pentadbiran yang selalunya menimbulkan rungutan dan sungutan orang ramai. Ini juga perlu dilihat sebagai satu usaha untuk memantapkan pentadbiran jentera kerajaan di samping memperkemaskan imej pentadbiran awam.

Penurunan kuasa ini akan membolehkan pertubuhan-pertubuhan berfungsi dengan lebih berkesan dengan tidak perlu menunggu masa yang terlalu lama untuk mendapatkan kelulusan seperti pertukaran nama, alamat, perubahan undang-undang dan sebagainya. Kita berharap dengan pindaan ini semua pertubuhan tidak perlu menangguhkan sesuatu aktiviti pada tempoh yang tidak dapat ditetapkan disebabkan kelewatan mendapat kelulusan daripada pendaftar pertubuhan.

Saya menyokong penuh pindaan kuasa menggantung aktiviti terhadap sesebuah pertubuhan yang disyaki melakukan aktiviti-aktiviti yang bercanggah dengan pertubuhan mereka atau lebih-lebih lagi yang mengancam maruah, kedaulatan dan keselamatan negara. Contoh yang paling jelas ialah seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri bahawa ada pertubuhan bukkan kerajaan (NGO) yang sengaja memberikan maklumat dan gambaran yang salah kepada media asing tentang kejadian di depot tahanan Semenyih. Saya percaya ada lagi pertubuhan-pertubuhan lain yang turut menjalankan kegiatan mengkhianati negara.

Dengan adanya kuasa menggantung aktiviti ini akan membolehkan kerajaan menggantung aktiviti pertubuhan berkenaan sementara siasatan lanjut dijalankan. Jika terbukti pertubuhan itu terlibat pertubuhan ini hendaklah dibatalkan secepat mungking dan pemimpin-pemimpin mereka juga perlu didakwa.

Pindaan untuk melanjutkan tempoh penyampaian penyata tahunan daripada 28 hari kepada 60 hari adalah tepat pada masanya. Pada masa ini banyak pertubuhan terutama sekali pertubuhan sukarela menghadapi bahawa pendaftaran mereka dibatalkan kerana kelewatan menyediakan penyata tahunan.

Saya tidak bermaksud untuk membela pertubuhan yang sengaja melambat-lambatkan penyampaian penyata tahunan tetapi memang ada pertubuhan yang memang menghadapi kesukaran untuk menyiapkan penyataan mereka dalam masa yang singkat. Maklum sahajalah pertubuhan sukarela, kerja mereka juga sukarela dan kadang-kala kerja pertubuhan mereka terpaksa ditangguhkan disebabkan tugas rasmi yang lain.

Dengan lanjutan tempoh ini saya rasa pertubuhan ini akan mempunyai masa yang secukupnya untuk menyiapkan segala laporan mereka di samping dapat menyediakan laporan mereka dengan lengkap dan menyeluruh dan bukannya disediakan sekadar untuk memuaskan hati pendaftar pertubuhan. Dengan pindaan ini kita berharap tidak ada lagi pertubuhan yang menjadikan tempoh masa yang singkat sebagai alasan untuk tidak menyerahkan laporan atau penyata tahunan mereka.

Wednesday, November 24, 1999

Levi terhadap Penjualan Minyak Kelapa Sawit Mentah apabila harga melebihi RM2,000 setan

Kenyataan Akbar Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

November 1998

Kenyataan YB Datuk Seri Panglima Osu Sukam bahawa negeri Sabah patut menerima sebahagian daripada levi penjualan minyak kelapa Sawit mentah amatlah tepat pada masanya. Ia juga menunjukkan YB Datuk Seri Panglima Osu memahami kepentingan dan keperluan rakyat negeri Sabah khasnya mereka yang terlibat dalam sektor perladangan kelapa sawit.

Seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan 1 dalam pembentangan Belanjawan 1999, bahawa industri minyak kelapa sawit mentah didapati meraih keuntungan yang lebih kerana harga jualan yang tinggi berikutan kejatuhan nilai Ringgit. Oleh itu, industri ini perlu memberi sumbangan yang berpatutan bagi membantu Kerajaan mendapat hasil tambahan.

Beliau telah mencadangkan supaya levi keuntungan dikenakan ke atas minyak sawit mentah apabila harganya melebihi 2,000 Ringgit setan. Pada harga dalam lingkungan 2,000 Ringgit sehingga 2,050 Ringgit, levi ditetapkan pada kadar bersamaan nilai harga yang melebihi 2,000 Ringgit. Walau bagaimanapun, apabila harga melebihi 2,050 Ringgit kadarnya adalah 50 Ringgit setan.

Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan supaya sebahagian daripada keuntungan yang diterima daripada kutipan tamabahan ini digunakan semula untuk kemudahan dan pembanguan pekebun kelapa sawit. Ini adalah untuk memastikan industri ini terus berkembang dengan lebih pesat dan dapat membawa manafaat kepada bukan sahaja kerajaan, peladang atau pekebun yang terlibat malah kepada negara secara amnya.

Pada masa sekarang terdapat banyak pekebun kecil kelapa sawit yang wujud di celah-celah ladang kelapa sawit yang besar. Kebanyakan daripada kebun ini adalah jauh daripada jalanraya utama. Ini menyulitkan perhubungan mereka kerana mereka terpaksa menggunakan jalan ladang yang lebih besar. Jalan-jalan seperti ini terletak di luar bidang kuasa Jabatan Kerja Raya atau Majlis Daerah atau Daerah. Oleh itu jalan raya ini terpaksa ditanggung segala pembinaan dan pembaikannya dari semasa ke semasa. Perbelanjaan yang tinggi memaksa mereka mengenakan tol kepada pekebun kecil yang turut menggunakan jalan mereka. Bayaran tol ini bukan sahaja menyusahkan tetapi juga membebankan.

Oleh yang demikian saya berharap agar jalanraya seperti ini diambil alih oleh kerajaan persekutuan bagi kemudahan semua pengguna. Dengan adanya kutipan tamabahan daripada levi penjualan minyak mentah, pembinaan dan pembaikan jalanraya seperti ini dapat dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan.

Ini bukan sahaja akan mengurangkan bebanan para pekebun kecil tetapi juga boleh membantu memajukan sektor perladangan kelapa sawit dan sekaligus menambahkan hasil pengeluaran. Kemudahan perhubungan yang lebih baik dan teratur juga dapat disediakan kepada pekerja serta penduduk di sekitar kawasan pertanian ini.

Oleh yang demikian saya berharap kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan cadangan ini yang jelas membawa situasi "menang-menang" kepada kerajaan persekutuan dari segi bertambahnya pendapatan cukai, peladang dan pekebun kelapa sawit dari segi kurangnya kos pengendalian dan sekaligus meningkatkan kecekapan dan keupayaan pengeluaran di samping menambahkan pendapatan mereka, dan kepada kerajaan negeri yang tidak perlu mendapatkan peruntukan tamabahan untuk membantu menyelenggarakan jalan raya ini.

Tuesday, November 16, 1999

Surat Kepada PM: Levi terhadap Penjualan Minyak Kelapa Sawit Mentah Digunakan Untuk Pembinaan Jalanraya di Ladang Kelapa Sawit

16 hb. November 1998

Seperti yang telah diumumkan oleh YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan 1 dalam pembentangan Belanjawan 1999, bahawa industri minyak kelapa sawit mentah didapati meraih keuntungan yang lebih kerana harga jualan yang tinggi berikutan kejatuhan nilai Ringgit. Oleh itu, industri ini perlu memberi sumbangan yang berpatutan bagi membantu Kerajaan mendapat hasil tambahan.

Sehubungan dengan itu, saya mencadangkan supaya sebahagian daripada keuntungan yang diterima daripada kutipan tamabahan ini digunakan semula untuk kemudahan dan pembanguan pekebun kelapa sawit. Ini adalah untuk memastikan industri ini terus berkembang dengan lebih pesat dan dapat membawa manafaat kepada bukan sahaja kerajaan, peladang atau pekebun yang terlibat malah kepada negara secara amnya.

Pada masa sekarang terdapat banyak pekebun kecil kelapa sawit yang wujud di celah-celah ladang kelapa sawit yang besar. Kebanyakan daripada kebun ini adalah jauh daripada jalanraya utama. Ini menyulitkan perhubungan mereka kerana mereka terpaksa menggunakan jalan ladang yang lebih besar. Jalan-jalan seperti ini terletak di luar bidang kuasa Jabatan Kerja Raya atau Majlis Daerah atau Daerah. Oleh itu jalan raya ini terpaksa ditanggung segala pembinaan dan pembaikannya dari semasa ke semasa. Perbelanjaan yang tinggi memaksa mereka mengenakan tol kepada pekebun kecil yang turut menggunakan jalan mereka. Bayaran tol ini bukan sahaja menyusahkan tetapi juga membebankan.

Oleh yang demikian saya berharap agar jalanraya seperti ini diambil alih oleh kerajaan persekutuan bagi kemudahan semua pengguna. Dengan adanya kutipan tamabahan daripada levi penjualan minyak mentah, pembinaan dan pembaikan jalanraya seperti ini dapat dilaksanakan oleh kerajaan persekutuan.

Ini bukan sahaja akan mengurangkan bebanan para pekebun kecil tetapi juga boleh membantu memajukan sektor perladangan kelapa sawit dan sekaligus menambahkan hasil pengeluaran. Kemudahan perhubungan yang lebih baik dan teratur juga dapat disediakan kepada pekerja serta penduduk di sekitar kawasan pertanian ini.

Oleh yang demikian saya berharap kerajaan persekutuan dapat mempertimbangkan cadangan ini yang jelas membawa situasi "menang-menang" kepada kerajaan persekutuan dari segi bertambahnya pendapatan cukai, peladang dan pekebun kelapa sawit dari segi kurangnya kos pengendalian dan sekaligus meningkatkan kecekapan dan keupayaan pengeluaran di samping menambahkan pendapatan mereka, dan kepada kerajaan negeri yang tidak perlu mendapatkan peruntukan tamabahan untuk membantu menyelenggarakan jalan raya ini.

Saya berharap cadangan saya akan mendapat perhatian dan pertimbangan daripada YAB Dato'. Saya dahului dengan ribuan ucapan terima kasih.

Wednesday, November 03, 1999

Majlis Perbandaran Tawau

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

3 hb. November 1998



Yang Berusaha Presiden Majlis Perbandaran Tawau, Tuan Haji Hamzah Amir, Timbalan Presiden, Ahli-ahli Majlis, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian. Terlebih dahulu saya ingin merakamkan ucapan terima kasih dan penghargaan saya kerana sudi menjemput saya ke mesyuarat ini.



Walaupun ini adalah kali pertama saya menghadiri mesyuarat Majlis Perbandaraan Tawau, namun begitu saya setiasa mengikuti perkembangan MPT. Saya merasa amat kagum dengan perkhidmatan yang telah ditunjukkan oleh para ahli majlis setakat ini. Oleh yang demikian saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada Presiden dan ahli-ahli majlis pimpinan beliau atas usaha yang telah dilakukan untuk kebaikan dan kemajuan daerah Tawau.



Saya juga ingin mengucapkan syabas kepada MPT atas usaha mereka membuat berbagai-bagai persediaan bagi menghadapi La Nina. Walaupun kita belum pasti bilakah daerah Tawau akan dilanda La Nina, saya percaya dengan beberapa siri latihan dan kerja-kerja persediaan seperti penebangan pokok dan plan bertindak yang telah disediakan, kita telah lebih daripada bersedia untuk menghadapinya.



Semangat dan kesungguhan yang telah ditunjukkan dalam persediaan menghadapi La Nina harus diterjemahkan juga dalam usaha kita menangani dan menyelesaikan masalah-malasah lain. Komitmen yang lebih ikhlas dan mendalam perlu juga ditunjukkan agar kita bukan sahaja bersedia untuk menghadapi La Nina malahan bersedia untuk menghadapi cabaran yang lebih besar pada tahun 2000 nanti.



Tuan-tuan dan puan-puan, saya amat tertarik dengan gotong royong dan kempen kebersihan yang telah dijalankan oleh Majlis Perbandaran Tawau. Kempen kebersihan dan gotong royong ini biasanya melibatkan orang-orang kenamaan dan badan-badan sukarela di daerah ini. Jika dilihat daripada satu sudut memanglah ini merupakan satu usaha yang amat baik dan terpuji. Apatah lagi ia sejajar dengan cogan kata "Kepimpinan Melalui Teladan".



Akan tetapi kita perlu menerima hakikat bahawa hampir semua gotong royong dan kempen kebersihan yang telah dijalankan bukan sahaja di Tawau, malahan di daerah lain sekalipun, tidaklah mendatangkan hasil yang menggalakkan. Kawasan yang telah dibersihkan semasa kempen kebersihan biasanya kembali kotor dan cemar selepas dua minggu.



Tuan-tuan dan puan-puan, kita harus sedar bahawa, orang yang mengotorkan tempat-tempat yang telah kita sama-sama bersihkan bukanlah orang-orang yang terlibat dalam kempen kebersihan ini. Mereka juga tidak mengambil bahagian dalam gotong royong yang telah kita anjurkan. Ini juga menunjukkan kepada kita bahawa golongan yang mengotorkan bandar kita tidak langsung menghormati dan menghargai usaha para pemimpin kita yang sama-sama membersihkan bandar kita. Mereka masih lagi tidak sedar bahawa setiap individu bertanggungjawab untuk menjaga kebersihan.



Oleh yang demikian, saya ingin mencadangkan kepada Majlis ini supaya kita tidak perlu lagi membuang masa untuk menjalankan kempen dan gotong royong untuk membersihkan bandar ini kerana orang yang terlibat dalam kempen ini sememangnya orang yang tahu akan kepentingan kebersihan.



Apa yang patut kita lakukan ialah mengenakan denda dan hukuman yang berat terhadap mereka yang membuang sampah, mengotorkan longkang dan sungai serta mencemarkan alam sekitar. Denda dan hukuman ini juga hendaklah dijalankan pada sepanjang tahun dan bukannya pada masa kempen kebersihan dilancarkan. Wang ringgit, masa dan tenaga yang kita gunakan untuk gotong royong bolehkan digunakan untuk menangkap dan mengenalpasti mereka yang sengaja mengotorkan bandar kita. Saya percaya langkah ini jauh lebih berkesan dan mencapai matlamat yang kita perlukan.



Adalah menjadi harapan saya agar para ahli majlis akan lebih peka terhadap masalah dan keperluan pendudukan Tawau dan sentiasa mencari jalan dan ikhtiar untuk meningkatkan mutu perkhidmatan kita demi bangsa, agama dan negara.



Sekian dan terima kasih.

Tuesday, November 02, 1999

Kata-Kata Aluan Untuk St John Ambulance Tawau

Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada Persatuan St. John Ambulans Malaysia Kawasan Tawau, atas inisiatif mereka menganjurkan kursus NCO.

Sebagai sebuah pertubuhan sukarela, Persatuan St. John Ambulans Malaysia tidak ketinggalan dari segi menyumbangkan khidmat dan bantuan kepada mereka yang memerlukan pertolongan, terutama sekali pertolongan cemas. Untuk memastikan semua ahli dapat memberikan perkhidmatan yang terbaik dan dengan pengetahuan serta kemahiran yang terkini, maka menghadiri kursus dan latihan seperti NCO ini amatlah perlu.

Adalah diharapkan di samping melengkapkan diri dengan kemahiran dan ilmu pengetahuan yang perlu dalam pertolongan cemas, para peserta juga dapat mempelajari sifat kepimpinan yang baik dan berkesan. Setiap belia pada hari ini adalah pemimpin pada masa hadapan. Oleh yang demikian, pembelajaran dan pengalaman dalam kursus ini tentu sekali dapat membantu melatih dan membimbing para peserta ke arah tersebut.

Saya juga berharap agar para ahli Persatuan St. John Ambulans Malaysia tidak lupa untuk mengikuti perkembangan semasa sama ada dari segi ekonomi, politik mahupun sosial. Di samping itu pengetahuan dalam bidang Teknologi Maklumat (IT) juga tidak harus diabaikan kerana negara kita sedang menuju ke arah pencapaian Wawasan 2020 dengan pengembelingan kepakaran dan kemudahan IT melalui Multimedia Super Corridor (MSC).

Dengan melengkapkan diri dalam pelbagai cabang ilmu dan kemahiran dibantu dengan sifat dan sikap yang positif lagi dinamik, saya percaya Persatuan St. John Ambulans Malaysia akan terus melahirkan pemimpin-pemimpin yang berkalibar dan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih baik.

Sekian dan terima kasih.