Friday, October 01, 1999

Ucapan Dewan Negara: Belanjawan 1999

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Belanjawan 1999

Tuan Yang di-Pertua, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan I, Datuk Sri Dr Mahathir Mohammad, atas pembentangan Belanjawan 1999 yang amat tepat dan sesuai pada suasana ekonomi masa kini.

Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada Tuan Yang di-Pertua kerana memberi peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Belanjawan 1999

1. Kebersihan Dan Penjagaan Sungai

Tuan Yang di-Pertua, pada persidangan yang lepas saya pernah membangkitkan masalah air dan sungai. Perbincangan dan perbahasan yang hangat telah dijalankan di Dewan yang mulia ini lebih-lebih lagi pada ketika itu negara kita sedang menghadapi masalah kekurangan air dengan banyak tempat terpaksa menghadapi catuan air.

Saya telah membangkitkan tentang pentingnya kita mengambil inisiatif untuk memastikan sumber air kita bersih dan selamat digunakan. Saya telah mencadangkan supaya langkah segera diambil untuk menguatkuasakan tanah simpanan sungai di kedua-dua tebing sungai terutama sekali daripada tempat pengepaman air hingga ke hulu sungai. Mengikut ordinan tanah yang sedia ada setiap sungai mempunyai tanah simpanan sungai sepanjang satu chain, dengan izin, atau 66 kaki, atau dua kali ganda lebar sungai. Tanah Simpanan Sungai ini tidak boleh diusik sama ada dengan mendirikan rumah atau dijadikan tempat pertanian. Ia mestilah dipelihara dalam keadaan semula jadinya. Ini akan memastikan air sungai ini sentiasa bersih sehingga ke tempat pengepaman. Dengan ini air yang dipam untuk dihantar ke loji pembersihan air adalah benar-benar bersih.

Dengan penguatkuasaan tanah simpanan sungai ini kebersihan punca air akan lebih terjamin. Walaupun penguatkuasaan undang-undang ini akan menimbulkan berbagai-bagai kerumitan kepada setengah-setengah pihak tetapi demi menjaga punca air yang lebih bersih, demi mengelakkan punca air daripada tercemar dan yang paling penting demi menjamin kesihatan setiap rakyat kita harus berkorban. Mereka yang bercucuk tanam di tepi sungai dan mendirikan rumah berdekatan dengan sungai seharusnya tidak berbuat demikian bermula dari awal lagi kerana mereka memang tahu akan kewujudan tanah simpanan sungai ini.

Tuan Yang di-Pertua, oleh yang demikian saya ingin mendapatkan kepastian daripada pihak berkuasa tempatan, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Parit dan Taliair serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar tentang apakah langlah dan tindakan yang telah diambil dalam hal ini. Saya juga berharap kita tidak hanya membincang dan membahaskan perkara ini ketika kita menghadapi masalah tetapi melupakannya selepas masalah ini berakhir walaupun langkah punca masalah yang sebenarnya belum lagi diselesaikan.

2. Kenaikan Cukai Rokok dan Minuman Keras

Tuan Yang di-Pertua, seperti yang diumumkan oleh YAB Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan I dalam pembentangan Belanjawan 1999 yang lalu, cukai bagi rokok dan minuman keras telah dinaikkan. Walaupun pada satu ketika dahulu saya pernah bertanya kepada YB Menteri Kewangan pada ketika itu sama ada kerajaan bercadang menaikkan cukai rokok memandangkan bilangan perokok terutama sekali di kalangan remaja semakin meningkat, dan saya dimaklumkan bahawa kerajaan tiada cadangan untuk berbuat demikian pada ketika itu.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri kerana mengumumkan peningkatan cukai terhadap rokok dan minuman keras. Langkah ini memang kena pada tempatnya walaupun ada pihak yang menganggap ini sebagai satu tindakan yang membebankan golongan yang berpendapatan rendah. Peningkatan harga rokok sebanar bukan bertujuan menindas golongan yang berpendapatan rendah. Ia sebenarnya satu langkah yang baik dan berkesan untuk mengelakkan orang ramai daripada terus ketagih dengan rokok. Peningkatan harga sebanarnya memberikan peluang dan alasan yang amat baik kepada mereka untuk berhenti daripada merokok.

Walaupun hampir semua perokok bersetuju bahawa merokok tidak membawa kebaikan kepada kesihatan tetapi ramai di antara para perokok merasa berat untuk berhenti merokok apatah lagi harga rokok masih dianggap murah. Dengan peningkatan harga rokok, saya berharap lebih ramai perokok akan berhenti merokok, terutama sekali golongan remaja dan pelajar. Ini bukan sahaja dapat menghindarkan diri daripada tabiat yang kurang baik malahan juga dapat menjimatkan wang ringgit mereka.

Di samping itu saya juga ingin mengulangi cadangan saya yang lalu supaya kerajaan meningkatkan usaha untuk membanteras rokok yang diseludup dari negara jiran. Kenaikan harga tentu sekali akan menambahkan lagi penyeludupan rokok haram kerana permintaannya dijangka bertambah. Oleh yang demikian untuk benar-benar mencapai matlamat menaikkan harga rokok, pihak berkuasa mestilah melipat gandakan usaha untuk membanteras kegiatan penyeludupan.

Selama ini bukan tidak ada penguatkuasaan dibuat terhadap penyeludupan rokok haram tetapi kegiatan ini masih berleluasa. Malahan penjualan rokok tanpa duti dilakukan secara terbuka di kebanyakan bandar utama di negeri Sabah seperti Kota Kinabalu, Tawau dan Sandakan. Saya percaya ada sesuatu yang tidak kena atau ada sesuatu yang terabai dalam perlaksanaan penguatkuasaan ini. Oleh itu, saya berharap pihak berkuasa berkenaan dapat mengkaji semula langkah dan strategi yang telah diambil untuk benar-benar membanteras penyeludupan dan penjualan rokok secara haram.

3. Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA)

Tuan Yang di-Pertua, dengan perkembangan politik terbaru pada masa sekarang, Akta Keselamtan Dalam Negeri sekali lagi hangat diperbahaskan. Akan tetapi saya dapati ramai individu atau pertubuhan yang menyuarakan tentangan terhadap ISA adalah mereka yang berkepentingan diri dan tidak melihat ISA daripada perspektif yang betul. Mereka tidak melihatnya dari sudut pandangan seorang rakyat Malaysia yang cintakan negara kita. Kebanyakan mereka menggunakan pandangan barat yang tidak sesuai langsung dengan budaya, politik, agama dan aspirasi negara ini.

Apa juga pandangan dan pendapat mereka, pada kita, ISA adalah undang-undang negara kita yang terbaik setakat ini dan ia telah jelas membantu mengekalkan keselamatan, keamaan dan keharmonian rakyat berbilangan kaum, agama dan keturunan. ISA telah berjaya menghalang isu-isu sensitif seperti perkauaman dan agama daripada dieksploitasikan oleh golongan yang tidak bertanggungjawab.

Penentangan terhadap ISA juga juga jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghayati dan menghargai erti kemerdekaan negara kita. Mereka hanya mempertikai hak asasi seseorang individu atau segolongan kecil rakyat Malaysia yang ditahan di bawah akta ISA. Mereka menganggap bahawa hak asasi individu atau golongan tersebut telah diancam dan ditindas.

Mereka langsung tidak mengambil kira bencana besar yang mungkin melanda negara kita jika kita membiarkan golongan kecil ini terus membakar semangat rakyat untuk menentang kerajaan, untuk menimbulkan kekacauan dan menimbulkan rusuhan kaum. Apakah nanti tindakan golongan ini tidak menindas dan mengancam hak asasi rakyat Malaysia lain yang jauh lebih penting dan lebih ramai? Jika kita sering kali melaung-laungkan tentang demokrasi dan kebebasan, kenapa tidak mengambil kira majoriti rakyat Malaysia yang inginkan keamanan, kestabilan dan kesejahteraan hidup?

Tuan Yang di-Pertua, jika kita ikhlas dan jujur untuk memperjuangkan hak asasi manusia, maka kita juga perlu mengambil kira kepentingan orang ramai. Kita perlu mengambil kira kepentingan golongan yang tidak menyuarakan sebarang bantahan. Kita harus memikirkan kepentingan rakyat Malaysia berjumlah 22 juta orang yang turut mempunyai hak mereka sendiri.

Apa yang jelas kepada kita sekarang ialah golongan yang menyuarakan penentangan terhadap ISA, sama ada dari dalam mahupun luar negeri langsung tidak menyentuh tentang rusuhan yang telah ditimbulkan. Mereka langsung tidak mengambil kira sejarah hitam yang melanda negara kita apabila rusuhan seperti ini dibiarkan berlanjutan. Mereka hanya mempertikaikan penahanan beberapa individu dan memberi gambaran seolah-olah seluruh negara berada dalam satu keadaan huru-hara. Tindakan mereka ini dengan jelas menunjukan mereka tidak jujur dalam memperjuangkan keadilan tetapi sekadar memperjuangkan kepentingan individu yang sempit dan mengabai kepentingan orang ramai yang membentuk majoriti rakyat negara ini. Ini merupakan satu pembohongan besar terhadap kebenaran dan keadilan yang mereka laung-laungkan.

Tuan Yang di-Petua, kita harus sedar bahawa negara kita adalah berbeza daripada negara-negara lain di dunia. Kita mencapai kejayaan yang ada pada hari ini adalah hasil daripada pelbagai pengajaran dan sejarah pahit yang pernah kita lalui. Oleh yang demikian mereka yang tidak memahami sejarah negara ini tidak harus dan tidak layak langsung untuk mempertikaikan penguatkuasaan ISA di negara kita.

Ada pihak yang mendakwa bahawa ISA akan disalahgunakan, tetapi sejarah teleh membuktikan bahawa ISA bukan sahaja digunakan terhadap pemimpin parti pembangkang, ia juga digunakan terhadap penyokong dan pemimping Barisan Nasional malahan menteri sekalipun. Ini jelas menunjukkan kuasa yang telah diperuntukkan tidak disalahgunakan. ISA hanaya digunakan terhadap mereka yang mengugat ketenteraman dan keselamatan negara.

Kepada media asing dan pemimpin negara asing, saya berharap mereka mengkaji dengan lebih mendalam tentang Akta Keselamatan Dalam Negeri di negara ini. Jika mereka jujur dan ikhlas dalam mencari kebenaran tentang ISA, mereka akan dapati bahawa ISA mungkin dapat dipraktikkan di negara mereka sendiri dan menyelesaikan banyak masalah, rusuhan dan ketidakstbilan politik. Adalah amat memalukan jika mereka sendiri tidak dapat menentukan keamaan dan kestabilan di dalam negara mereka sendiri tetapi berlagak sombong dan berlagak pandai untuk mempertikaikan hal ehwal negara kita seolah-olah mengajar itik berenang. Sudah sampai masanya mereka melihat masalah negara dan undang-undang mereka sendiri. Sudah sampai masanya mereka bertanya sama ada undang-undang mereka memadai untuk menjamin keamanan dan keselamatan. Sudah sampai masanya mereka bertanya sama ada mereka telah memastikan nasib majoriti rakyat mereka terbela dan nasib golongan minoriti tidak diabaikan. Sudah sampai masanya mereka belajar daripada pencapaian Malaysia dalam menangani masalah perkauman dan rusuhan kaum. Dan sudah sampai masanya mereka menimbangkan kemungkinan memperkenalkan ISA di negara mereka sendiri.

Kepada golongan yang menghabiskan masa dan wang ringgit untuk menentang ISA saya mencadangkan supaya mereka menumpukan usaha dan masa mereka untuk membantu negara memulihkan ekonomi dan bukannya memburuk-burukkan negara dan memudaratkan ekonomi. Jika mereka benar-benarkan cintakan negara mereka harus mengutamakan agenda yang lebih penting iaitu pemulihan negara dan bukannya memperjuangkan kepentingan individu tertentu. Mereka harus menunjukan kepada masyarakat umum bahawa mereka benar-benar prihatin terhadap kepentingan orang ramai.

Tuan Yang di-Pertua, kita harus juga ingat bahawa tidak ada kebebasan mutlak di mana-mana. Malahan di negara yang mendakwa mempunyai kebebasan yang amat luas masih berlaku penindasan terhadap golongan kulit hitam dan penduduk asli. Kebebasan akhbar atau kebebasan media yang dikatakan hanya digunakan untuk memburuk-burukkan orang-orang tertentu yang mereka tidak suka dan jelas menunjukan sikap berat sebelah dan pilih kasih dalam laporan mereka. Kebebasan bagi mereka sebanarnya merupakan alasan dan senjata untuk mereka melakukan pembohongan, menganiayai golongan yang kurang mampu dan mengekalkan kepentingan diri mereka.

Sebaliknya kebebasan yang kita amalkan di negara kita adalah kebebasan yang matang dan kebebasan yang bertanggungjawab. Kita bebas bersuara tetapi pandangan, pendapat dan kritikan kita janganlah berniat jahat, Ia hendaklah membina dan bertujuan untuk membaik kelemahan. Kebebasan yang ada bukanlah untuk digunakan bagi tujuan menimbulkan huru-hara dan rusuhan. Pendek kata jika kebebasan tidak disertakan dengan kematangan berfikir dan rasa tanggungjawab ia hanyalah kebebasan untuk satu pihak sementara kebebasan dan hak pihak lain akan terancam dan dinodai.

Tuan Yang di-Pertua, saya berharap kerajaan tidak akan tunduk kepada tuntutan golongan ini yang sengaja mecari publisiti dengan mengungkitkan isu ISA. Mereka ini langsung tidak faham tentang sejarah pembentukan negara dan tidak faham langsung tentang erti kemerdekaan yang kita nikmati selama ini.

4. Cuti Pada Satu Hari Sabtu Setiap Bulan

Tuan Yang di-Pertua, saya mengalukan-alukan cadangkan kerajaan untuk menjadikan satu hari Sabtu dalam setiap bulan sebagai hari cuti umum. Walaupun ketika membuat cadangan tersebut YAB Perdana Menteri memberitahu bahawa tujuannya adalah untuk menggalakkan pelancongan dalam negeri, saya berpendapat implikasinya adalah jauh lebih daripada sekadar meningkatkan industri pelancongan.

Dengan adanya cuti tambahan sebanyak sehari dalam sebulan ini akan menggalakkan rakyat negara ini menggunakan masa ini untuk mejelajahi tempat-tempat menarik dan bersejarah. Ini bukan sahaja dapat merehatkan kepenatan kerja malahan juga dapat menambahkan pengetahuan untuk diri dan juga anggota keluarga yang lain. Lawatan ini juga akan memberi peluang kepada rakyat jelata untuk lebih mengenali negara sendiri di samping menghayati keindahan alam semulajadi, tempat bersejarah dan tempat-tempat yang menjadi kemegahan negara. Ini dengan sendirinya menambahkan rasa cinta kepada negara kita.

Di samping itu juga cuti tambahan ini juga membolehkan kita mempunyai lebih masa untuk bersama keluarga dan sudah tentu akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan. Kasih sayang dan perhatian yang lebih akan dapat ditumpukan kepada anak-anak. Ini dengan sendirinya akan membina sebuah institusi keluarga yang lebih penyayang dan kukuh. Insitusi keluarga yang kukuh akan mengurangkan masalah sosial di kalangan remaja di samping mengurangkan masalah keruntuhan rumahtangga.

Bagi mereka yang suka melibatkan diri dalam kegiatan sukan dan aktiviti amal, cuti tambahan ini juga merupakan satu peluang tamabahan kepada mereka. Ini akan membantu melahirkan sebuah mayarakat yang sihat dan penyayang.

Bagi kebanyakan orang pengumuman kerajaan bahawa tiada bonus akan dibayar pada penghujung tahun ini merupakan satu berita yang kurang menyenangkan. Namun begitu sebagai rakyat yang memahami masalah yang sedang dihadapi oleh negara masa kita, kita mestilah bersikap lebih rasional, prihatin dan bertanggungjawab. Kita harus mengambil kira pemberian cuti tambahan pada setiap bulan dan pengecualian cukai pendapatan juga merupakan satu bentuk bonus yang perlu dihargai.

Akan tetapi, kita janganlah mengambil kesempatan dengan pemberian cuti tambahan ini sehingga ianya disalahgunakan. Dengan cuti tambahan yang telah diberikan pada setiap bulan adalah diharapkan agar semua kakitangan awam akan dapat memberikan perkhidmatan yang lebih cemerlang. Tabiat suka melengah-lengahkan kerja, kelewatan tiba ke tempat bekerja, mengambil masa yang panjang untuk rehat dan makan tengah hari, awal meninggalkan tempat kerja dan sebagainya harus dikikis. Tabiat yang kurang sihat ini bukan sahaja menyusahkan orang ramai yang berurusan dengan jabatan dan agensi kerajaan malahan juga menjejaskan imej pentadbiran awam. Oleh yang demikian saya berharap dengan cuti tambahan ini akan dapat mengajak semua kakitangan awam untuk memulakan era perkhidmatan yang lebih cekap, bersih dan amanah.

Untuk memastikan cuti tambahan ini dilaksanakan dengan baik dan tidak disalahgunakan, satu garis panduan yang jelas perlu disediakan. Hari Sabtu yang hendak dijadikan cuti hendaklah dimaklumakan terlebih dahulu dan tidak ditetapkan sesuka hati. Ini akan mengelakkan timbulnya kesulitan kepada orang ramai yang ingin berurusan dengan jabatan atau agensi tersebut. Cuti juga haruslah diselaraskan bagi semua agensi dan jabatan untuk mengelakkan tergendalanya hubungan antara satu agensi dengan satu agensi yang lain.

5. Tindakan Membabitkan Orang Asing Dalam Urusan Rumahtangga Negara

Tuan Yang di-Pertua, perkembangan ekonomi dan politik tanahair masa kini telah memperlihatkan adanya tanda-tanda ketidaksetiaan sebilangan kecial rakyat Malaysia terhadap negara ini. Keadaan ini jika tidak dibendung akan lama kelamaan menjadi satu penyakit yang amat merbahaya kepada keselamatan dan kedaulatan negara ini.

Tindakan golongan tertentu yang menyimpan wang mereka di luar negara apabila negara mengalami kegawatan ekonomi menunjukkan golongan ini yang menjadi kaya raya hasil daripada pelbagai langkah bijak kerajaan menarik pelabur asing dan membina satu suasana ekonomi yang memberangsangkan, sebenarnya merupakan golongan yang pandai mengambil kesempatan tanpa mengambil kira kepentingan negara.

Apabila kerajaan mengumumkan langkah-langkah untuk menyekat pengaliran keluar ringgit dan menambahkan tabungan negara maka golongan ini jugalah yang mula-mula menyuarakan tentangan dan bantahan.

Ada juga golongan tertentu di negara ini yang sentiasa menjadi tali balut media asing yang memberikan maklumat yang tidak betul serta memburukkan negara. Laporan akhbar dan media elektronik asing jelas menunjukkan ada golongan tertentu yang terlibat dalam usaha memburuk-burukkan nama negara kita. Laporan yang diberikan jelas berat sebelah dan memihak kepada pihak tertentu. Laporan tersebut juga jelas menunjukkan ketidak matangan dalam profesyen kewartawanan.

Dengan sengaja membesar-besar rusuhan di ibu kota seolah-olah seluruh negara berada dalam keadaan darurat adalah satu tindakan yang amat jahat dan tidak bertanggungjawab. Ini jelas telah menjejaskan kunjungan pelancong asing ke negara ini. Dan ini sekaligus menjejaskan industri pelancongan yang merupakan penyumbang ketiga terbesar terhadap pendapatan negara.

Penglibatan orang asing terutama sekali beberapa pemimpin negara luar terhadap hal ehwal negara kita juga amat dikesali. Kenyataan yang dibuat oleh mereka jelas menunjukkan bahawa mereka tidak menghormati perjanjian tidak mencampuri urusan rumahtangga negara jiran, Tindakan mereka juga sengaja dilakukan untuk merendah-rendahkan mahkamah negara ini.

Penyebaran berita-berita palsu melalui internet juga merupakan satu gejala baru dalam penyebaran propaganda di negara ini. Walaupun setakat ini belum ada tindakan untuk menyekat penyebaran berita berkenaan di internet saya berharap kerajaan dan rakyat negara ini yang cintakan negara ini dapat turut menyumbangkan laporan yang betul untuk tatapan dunia melalui internet. Dengan tidak mengendahkan dakwaan palsu dalam internet bukanlan langkah yang bijak kerana ia akan menimbulkan syak dan wasangka. Akan tetapi kita tidak perlu mengikut jejak langkah mereka untuk menjadikan internet sebagai medan propaganda atau medan untuk mencaci hamun pihak tertentu. Apa yang kita perlu lakukan ialah memberikan gambaran dan penjelasan yang sebenar. Saya pasti rakyat Malaysia serta dunia luar yang sudah bosan dengan propaganda palsu akan berpeluang menerima maklumat yang tepat.

Saya juga berharap pihak Kementerian Penerangan dapat mempertingkatkan kempen cintakan Malaysia. Kempen ini perlu dipergiatkan untuk menaikkan semangat cintakan negara di kalangan rakyat berbilang kaum. Kempen ini juga perlu untuk memberi kesedaran kepada rakyat jelata betapa pentingnya kita mengekalkan keamanan dan kestabilan terutamanya pada masa sekarang.

Filem, drama dan rencana tentang perjuangan kemerdekaan dan sejarah hitam yang pernah melanda negara kita harus ditayangkan semula untuk mengajak rakyat merenung kembali tentang kepahitan dan kepayahan pemimpin kita yang lalu memperjuangkan kemerdekaan. Kita sebagai golongan yang menikmati kesenangan hasil daripada perjuangan pemimpin yang lampau harus menghargai pengorbanan mereka. Kita juga harus mengekalkan kemerdekaan dan keamanan yang telah kita nikmati selama ini dan tidak sewenang-wenangnya dipengaruhi dengan usaha golongan tertentu yang bertujuan memporak perandakan negara.

Saya juga berharap Kementerian Pendidikan dapat meningkatkan usaha untuk menjadikan mata pelajaran sejarah lebih menarik untuk dipelari dan seterusnya memastikan setiap pelajar benar-benar faham akan sejarah negara kita dan bukan sekadar menjadikannya sebagai satu mata pelajaran untuk diduduki semasa peperiksaan.

Di samping itu juga, saya berharap setiap guru besar dan pengetua sekolah akan dapat memberikan nasihat kepada semua pelajar agar menggunakan masa cuti dengan cara yang berfaedah dan bukannya terlibat dengan kegiatan yang kurang sihat serta tidak terlibat dengan sebarang demonstrasi dan tunjuk perasaan. Institusi pengajian tinggi juga diharap dapat mengambil tindakan yang tegas terhadap pelajar-pelajar mereka yang terlibat dengan tunjukan perasaan haram. Ramai di anatara mereka ini yang mendapat biasiswa awam yang datangnya daripada para penyumbang cukai pendapatan. Oleh itu mereka harus menumpukan perhatian mereka terhadap pelajaran dan bukannya terlibat dalam kegiatan haram yang langsung tiada kaitan dengan pelajaran mereka. Jika tidak biasiswa mereka harus ditarik balik dan diberikan kepada pelajar lain yang lebih layak dan berminat dalam pelajaran.

Dengan usaha ini, saya berharap rakyat dari semua lapisan akan mempunyai lebih keyakinan terhadap arah tuju negara dan tidak mudah terpengaruh oleh dakyah palsu dan jahat daripada golongan yang ingin menjatuhkan kerajaan yang sedia ada. Masa depan negara kita terletak di tangan setiap rakyat negara ini. Oleh yang demikian setiap rakyat harus bertanggungjawab untuk memastikan kita terus hidup dengan aman, makmur dan terhormat di mata dunia.

6. Levi terhadap Penjualan Minyak Kelapa Sawit Mentah apabila harga melebihi RM2,000 setan

Tuan Yang di-Pertua, YAB Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan 1 telah menyatakan bahawa industri minyak kelapa sawit mentah didapati meraih keuntungan yang lebih kerana harga jualan yang tinggi berikutan kejatuhan nilai Ringgit. Oleh itu, industri ini perlu memberi sumbangan yang berpatutan bagi membantu Kerajaan mendapat hasil tambahan.

Beliau telah mencadangkan supaya levi keuntungan dikenakan ke atas minyak sawit mentah apabila harganya melebihi 2,000 Ringgit setan. Pada harga dalam lingkungan 2,000 Ringgit sehingga 2,050 Ringgit, levi ditetapkan pada kadar bersamaan nilai harga yang melebihi 2,000 Ringgit. Walau bagaimanapun, apabila harga melebihi 2,050 Ringgit kadarnya adalah 50 Ringgit setan.

Tuan Yang di-Pertua, pada tahun 1999 negara kita dijangka akan dapat menghasilkan satu juta tan minyak mentah sebulan. Ini bermakna kita akan menerima pendapatan tambahan sebanyak RM 50 juta sebulan atau RM 600 juta setahun.

Saya mencadangkan supaya sebahagian daripada keuntungan yang diterima daripada kutipan tamabahan ini digunakan semula untuk kemudahan dan pembanguan pekebun kelapa sawit.

Ini memandangkan pada masa sekarang terdapat banyak pekebun kecil kelapa sawit yang wujud di celah-celah ladang kelapa sawit yang besar. Kebanyakan daripada kebun ini adalah jauh daripada jalanraya utama. Ini menyulitkan perhubungan mereka kerana mereka terpaksa menggunakan jalan ladang yang lebih besar. Oleh kerana jalan tersebut merupakan jalan milik persendirian pekebun kecil ini biasanya dikenakan tol. Bayaran tol ini bukan sahaja menyusahkan tetapi juga membebankan.

Oleh yang demikian saya berharap agar jalanraya ini diambil alih oleh kerajaan persekutuan bagi kemudahan semua pengguna. Ini bukan sahaja akan mengurangkan bebanan para pekebun kecil tetapi juga boleh membantu memajukan sektor perladangan kelapa sawit. Kemudahan perhubungan yang lebih baik dan teratur juga dapat disediakan kepada pekerja serta penduduk di sekitar kawasan pertanian ini.

Sekian dan terima kasih.

Thursday, September 30, 1999

Ucapan Dewan Negara: Rang Undang-undang Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) (Pindaan) 1998

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Dewan Negara

30hb September 1998

Tuan Yang di-Pertua, kegawatan ekonomi yang telah berlanjutan lebih setahun perlu ditangani dengan segera, berhati-hati, tegas dan berterusan. Langkah-langkah drastik tetapi praktikal yang diperkenal oleh kerajaan melalui Pelan Pemulihan Ekonomi negara sudah mula memperlihatkan hasil petanda yang baik telah dapat kita saksikan dalam pasaran saham. Malahan langkah yang diambil oleh Malaysia mulai mendapat perhatian negara lain.

Kegawatan ekonomi yang berlaku di negara ini juga membolehkan kita melihat dengan lebih jelas tentang kelemahan yang terdapat dalam perindustrian sekuriti. Oleh yang demikian langkah yang segera harus diambil untuk mengatasi dan memperbaiki kelemahan ini. Saya percaya pindaan ini perlu disegerakan untuk kepentingan negara.

Dengan pindaan ini, kita akan dapat mengembalikan keyakinan pelabur terhadap pasaran saham tempatan dan sekaligus membantu memperkukuhan pasaran. Di samping itu juga kita juga dapat memberikan lebih ketelusan sekuriti serta membanteras urus niaga saham di bursa saham yang tidak diiktiraf.

Tuan Yang di-Pertua, perkembangan politik semasa sedikit sebanyak telah mengalihkan pandangan kita daripada masalah ekonomi negara dan melambatkan usaha kita dalam menangani masalah kegawatan ekonomi. Saya rasa sudah cukup yang telah diperkatakan dan dibahaskan. Kita janganlah sampai terbawa-bawa dengan masalah ini sehingga kita lupa dan lalai akan tugas dan tanggungjawab kita yang lebih besar. Pemulihan ekonomi adalah agenda yang jauh lebih penting kepada negara dan rakyat Malaysia keseluruhannya. Saya berharap kita semua akan kembali ke pangkuan jalan dan mengutamakan tanggungjawab yang lebih penting dan utama yakni memberikan tumpuan yang sepenuhnya terhadap pemulihan ekonomi.

Kita tidak seharusnya diganggu gugat atau terpengaruh dengan pelbagai dakwaan dan tohmahan palsu. Kita juga janganlah lari daripada tanggungjawab kita yang lebih penting untuk melayan perkara yang bersifat individu, persendirian serta membawa keburukan kepada negara.

Tuan Yang di-Pertua, laporan media asing yang berat sebelah serta sengaja digembar gemburkan sedikit sebanyak memberikan gambaran yang negatif kepada rakyat tempatan dan juga pelabur asing. Akan tetapi rakyak tidak seharusnya meragui keikhlasan dan keupayaan pihak kerajaan. Kejayaan kita menganjurkan Sukan Komanwel Kuala Lumpur 98 dengan jelas membuktikan pelbagai kritikan pihak media asing terhadap kebolehan kita adalah tidak berasas dan tidak benar. Kita telah dikritik selama kira-kira 4 tahun tetapi akhirnya kita telah membuktikan kepada dunia bahawa kita boleh, Malaysia boleh dan kita telah berjaya menganjurkan satu sukan yang kedua terbesar di dunia. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah atas kejayaan ini.

Oleh yang demikian kita harus terus menaruh harapan tinggi kepada kepimpinan negara dan memberikan sokongan yang lebih padu dan lebih kuat kepada pihak kerajaan. Semangat 'Malaysia Boleh' yang ditunjukkan oleh semua yang terlibat dalam Sukan Komanwel baru-baru ini harus dijadikan contoh dan teladan kita dalam menghadapi ancaman dan cabaran semasa.

Tuan Yang di-Pertua, Pindaan rang undang-undang ini memang tepat pada masanya untuk mengembalikan keyakinan para pelabur. Saya dengan ini menyokong pindaan rang undang-undang ini diluluskan.

Sekian dan terima kasih.

Monday, September 27, 1999

Pesta Tanglung SAPP 1998

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

27hb September 1998

Tempat Letak Kereta, Fujimart

Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat datang dan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan kerana sudi menghadiri Pesta Tanglung Anjuran SAPP pada malam ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan terima kasih saya kepada saudara Kenneth Goh serta ahli jawatankuasa pengelola beliau yang telah bertungkus lumus untuk menjayakan majlis pada malam ini.

Pesta Tanglung merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh SAPP di seluruh negeri Sabah. Ia bertujuan menghargai, memelihara dan memperkayakan budaya Cina yang telah sekian lama kita warisi. SAPP bukan sahaja menganjurkan majlis kebudayaan Cina seperti ini sahaja malah kita juga turut menganjurkan majlis kebudayaan lain seperti Hari Raya, Pesta Kaamatan, Krismas dan Deepavali pada setiap tahun. Ini menunjukkan SAPP benar-benar komited terhadap perkembangan kebudayaan semua kaum di negeri ini.

Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan biar kaum Cina mahupun bukan Cina menjunkkan tuan-tuan dan puan-puan benar-benar menghayati erti sebenar perpaduan di kalangan rakyat Malaysia. Dengan menghadiri perayaan seperti ini kita bukan sahaja akan lebih memahami kebudayaan kita sendiri malahan kita juga akan lebih memahami kebudayaan rakan kita yang lain. Ini akan mengurangkan salah sangka dan sekaligus menjalinkan hubungan muhibah yang lebih erat dan berkekalan. Menghayati dan memelihara budaya kita sendiri juga akan menghindarkan kita daripada terpengaruh dengan budaya asing terutama sekali dari barat.

Perpaduan bagi rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum, kebudayaan, agama dan latar belakang amatlah penting dan utama. Perpaduan menjadi lebih penting lagi ketika negara sedang menghadapi kegawatan ekonomi dan ujian politik. Kita mestilah sentiasa mengutamakan perpaduan untuk kita sama-sama menjadikan negara kita terus aman, makmur dan sentosa. Kita mesti menjauhi sebarang perbuatan yang menimbulkan huru hara seperti yang terjadi di negara jiran.

Oleh yang demikian saya berharap tuan-tuan dan puan-puan bukan sahaja akan bergembira dan terhibur dengan acara-acara yang disediakan pada malam ini, tetapi juga turut meluangkan sedikit masa untuk memikirkan tanggungjawab kita terhadap negara kita yang tercinta.

Sekali lagi saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan di atas sambutan dan sokongan yang telah diberikan.

Saya dengan sukacitanya mengistiharkan Pesta Tanglung SAPP 1998 dimulakan dengan rasminya.

Sekian.

Saturday, September 25, 1999

Cintai Malaysia

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

September 1998

Tuan-tuan dan puan yang dihormati. Saya merasa amat bangga melihat kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pada malam ini. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan adalah satu tanda kesedaran dan tanda tanggungjawab. Ini juga menunjukkan tuan-tuan dan puan-puan mencintai Malaysia.

Dengan perkembangan ekonomi dan politik semasa, kesetian dan ketaatan kita kepada negara yang tercinta amatlah penting. Ketika negara kita sedang menghadapi kegawatan ekonomi adalah menjadi tanggungjawab kita untuk berdiri teguh di belakang kerajaan di samping memberikan sokongan penuh kepada langkah-langkah yang diambil oleh kerajaan dalam mengatasi masalah kegawatan ekonomi.

Memulihkan ekonomi negara amatlah penting untuk kita semua kerana kegawatan ekonomi turut menjejaskan kehidupan kita seharian. Kenaikan harga yang mendadak menambahkan perbelanjaan harian kita. Oleh yang demikian kita perlulah menunjukan rasa cinta kita kepada negara dengan berjimat-cermat ketika berbelanja. Perbelanjaan berhemat bukan sahaja disarankan oleh kerajaan malahan juga merupakan tuntutan agama kita. Kita juga harus utamakan penggunaan barangan buatan Malaysia dan mengurangkan penggunaan barangan import. Dengan ini sudah tentunya kita akan sama-sama membantu memulihkan ekonomi negara dengan secepat mungkin.

Perkembangan politik semasa sama ada pada peringkat nasional ataupun pada peringkat negeri memerlukan semua rakyat bersatupadu, berdisiplin dan berdiri teguh di belakang kepimpinan negara. Kita semua tahu bahawa negeri Sabah akan menghadapi pilihanraya negeri pada bila-bila masa sahaja. Oleh yang demikian banyaklah kempen dan lobi di sana sini yang mengelirukan kita semua. Berbagai-bagai janji yang indah diberikan dalam usaha mendapatkan sokongan dan kemengan. Tidak kurang juga ada pihak yang memburuk-buruk nama negara.

Sebagai rakyat yang cintakan negara ini, kita haruslah turut mempertahankan nama baik negara kita dan jangan membiarkan anasir-anasir yang tidak bertanggungjawab terus menghina negara dan pemimpin kita . Tuan-tuan dan puan-puan janganlah mudah tertipu dan terpedaya dengan janji-janji kosong seperti ini yang hanya indah didengar tetapi sukar dijadikan kenyataan.

Apa yang berlaku di negara jiran yang menimbulkan rusuhan sehingga banyak harta benda dan nyawa terkorban harus menjadi ikhtibar dan pengajaran kepada kita semua. Janganlah kerana rasa tidak puas hati atau sekadar tertipu dengan janji-janji manis pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, maka kita juga turut terlibat dalam mogok, demonstrasi dan sebagainya yang akhirnya hanya membawa padah dan keburukan kepada kita sendiri. Penderitaan rakyat di negara jiran selepas rusuhan haruslah menyedarkan kita bahawa pembangunan dan kebahagian rakyat tidak akan tercapai melalui rusuhan dan demonstrasi. Kita harus mencontohi perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman secara rundingan dan perbincangan yang membina serta berfaedah.

Oleh yang demikian saya ingin menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan terus memberikan sokongan, kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan Barisan Nasional agar terus memerintah negeri ini supaya kemakmuran dan kebahagian yang dinikmati selama ini akan terus berpanjangan dan dilipat gandakan. Marilah kita sama-sama menghadapi cabaran ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Marilah kita sama-sama bekerja keras untuk memastikan kemenganan besar Barisan Nasional.

Cintai Malaysia bukan sekadar melaung-laungkan slogan atau melalui kempen di sana sini. Cintai Malaysia bukan sekadar membeli barangan buatan Malaysia, mengibarkan bendera Malaysia atau menyanyikan lagu Negaraku. Ia merangkumi banyak segi dan kehidupan kita. Kita haruslah mempunyai semangat perjuangan anggota pasukan keselamatan yang sentiasa menjaga keamanan dan keselamatan negara kita. Kita juga harus mempunyai semangat cintakan negara dan menaikkan nama baik negara seperti yang ditunjukkan oleh para atlit kita dalam pertandingan sukan seperti Sukan Komanwel atau Kuala Lumpur 98. Dengan mengutamakan kepentingan negara lebih daripada kepentingan kita sendiri, kita akan dapat menunjukkan rasa cinta kita yang sejati kepada negara kita, Malaysia.

Akhir kata saya sekali lagi saya mengucapkan terima kasih kepada semua hadirin atas sokongan yang diberikan. Semoga negara kita akan terus aman, sentosa dan makmur.

Sekian dan terima kasih.

Friday, September 17, 1999

Ketua 10

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

17 hb September 1998

Tuan-tuan dan puan yang dihormati. Saya mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan tahniah dan syabas kepada anda yang terpilih sebagai Ketua 10 (K-10). Saya juga merakamkan terima kasih kepada semua hadirin sekalian.

Dengan perkembangan ekonomi dan politik semasa, tanggungjawab tuan-tuan dan puan-puan menjadi lebih penting dan utama. Ketika negara kita sedang menghadapi kegawatan ekonomi adalah menjadi tanggungjawab dan peranan semua pemimpin untuk menyalurkan maklumat yang betul kepada semua rakyat agar berjimat-cermat ketika berbelanja. Perbelanjaan berhemat bukan sahaja disarankan oleh kerajaan malahan juga merupakan tuntutan agama kita. Oleh itu, utamakan penggunaan barangan buatan Malaysia dan mengurangkan penggunaan barangan import. Dengan ini sudah tentunya kita akan sama-sama membantu memulihkan ekonomi negara dengan secepat mungkin.

Perkembangan politik semasa sama ada pada peringkat nasional ataupun pada peringkat negeri memerlukan semua rakyat bersatupadu, berdisiplin dan berdiri teguh di belakang kerajaan Barisan Nasional. Kita semua tahu bahawa negeri Sabah akan menghadapi pilihanraya negeri pada bila-bila masa sahaja. Oleh yang demikian banyaklah kempen dan lobi di sana sini yang mengelirukan kita semua. Berbagai-bagai janji yang indah diberikan dalam usaha mendapatkan sokongan dan kemengan. Tuan-tuan dan puan-puan janganlah mudah tertipu dan terpedaya dengan janji-janji kosong seperti ini yang hanya indah didengar tetapi sukar dijadikan kenyataan.

Apa yang berlaku di negara jiran yang menimbulkan rusuhan sehingga banyak harta benda dan nyawa terkorban harus menjadi ikhtibar dan pengajaran kepada kita semua. Janganlah kerana rasa tidak puas hati atau sekadar tertipu dengan janji-janji manis pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab, maka kita juga turut terlibat dalam mogok, demonstrasi dan sebagainya yang akhirnya hanya membawa padah dan keburukan kepada kita sendiri. Penderitaan rakyat di negara jiran selepas rusuhan haruslah menyedarkan kita bahawa pembangunan dan kebahagian rakyat tidak akan tercapai melalui rusuhan dan demonstrasi. Kita harus mencontohi perjuangan kemerdekaan yang dipelopori oleh Tunku Abdul Rahman secara rundingan dan perbincangan yang membina serta berfaedah.

Oleh yang demikian saya ingin menyeru kepada tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan terus memberikan sokongan, kepercayaan dan keyakinan kepada kerajaan Barisan Nasional agar terus memerintah negeri ini supaya kemakmuran dan kebahagian yang dinikmati selama ini akan terus berpanjangan dan dilipat gandakan. Marilah kita sama-sama menghadapi cabaran ini dengan penuh kesabaran dan ketabahan. Marilah kita sama-sama bekerja keras untuk memastikan kemenganan besar Barisan Nasional.

Sekali lagi saya mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada semua Ketua 10 dan berharap di bawah pimpinan anda sekalian, kita akan lebih bersatupadu dan memperolehi kemenangan yang lebih besar dalam pilihanraya yang akan datang.

Sekian dan terima kasih.

Wednesday, September 01, 1999

Perjumpaan Dengan Para Wartawan

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook,

1hb September 1998



Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada tuan-tuan dan puan-puan, para wartawan yang dihormati kerana sudi menghadiri majlis makan malam ini.



Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan syabas dan tahniah kepada para wartawan kerana telah menjalankan tugas anda dengan berkesan, berprinsip, komited dan bertanggujawab. Liputan berita dan aktiviti di sekitar Tawau telah menjadikan daerah kita lebih dikenali dan diberikan perhatian yang sepatutnya oleh pihak berkuasa. Ini telah memudahkan pelbagai projek kerajaan dilaksanakan dengan baik dan lancar. Selain daripada itu pihak berkuasa juga mendapat maklum balas yang betul bernaan dengan projek-projek yang dilaksanakan.



Di samping itu juga aspirasi dan harapan, teguran dan rungutan rakyat tempatan juga dapat disuarakan melalui pelbagai rencana dan berita. Hubungan dua hala di antara pemimpin dengan rakyat melaui para wartawan ini membolehkan pihak berkuasa lebih peka terhadap masalah rakyat dan mengambil tindakan yang segera untuk mengatasinya. Para pemimpin dan wakil masyarakat juga akan lebih memahami keperluan rakyat. Ini akan membantu mereka melaksanakan tugas dan tanggungjawab mereka dengan lebih baik dan berkesan.



Dengan menambahkan kandungan liputan berita dan rencana tempatan khasnya mengenai Tawau juga turut membantu mempopularkan Tawau sebagai destinasi pelaburan dan menjadikan ia sebagai tempat persinggahan kepada beberapa destinasi pelancongan yang terkenal seperti pulau Mabul dan Pulan Sipadan.



Pendek kata, peranan para wartawan dalam usaha membantu menjayakan pembangunan negara adalah amat penting. Laporan yang tepat dan padat membolehkan dasar kerajaan disalurkan kepada rakyat jelata dengan betul. Maklum balas dan reaksi rakyat terhadap isu-isu tertentu membolehkan pihak berkuasa mengkaji semula dan menghalusi kaedah pelaksanaan agar lebih sesuai dan lebih menguntungkan semua pihak. Oleh yang demikian, tugas dan tanggungjawab yang dipikul oleh para wartawan seperti tuan-tuan dan puan-puan sekalian adalah amat mulia dan terpuji. Kita bukan sekadar tetapi bertanggungjawab terhadap apa yang ditulis dan dilaporkan.



Sehubungan dengan itu, haruslah juga kita memberikan perhatian yang serius terhadap laporan yang kita buat terutama sekali pada ketika negara kita sedang menghadapi kegawatan ekonomi. Laporan haruslah lebih bertumpu kepada pemulihan keyakinan rakyat dan pelabur asing. Berita yang lebih mengutamakan kegagalan dan kemusnahan akibat kejatuhan pasaran saham dan matawang akan melemahkan semangat rakyat kita. Kita juga dengan sendirinya memberikan gambaran yang negatif kepada pelabur asing. Ini akan membantutkan usaha kerajaan untuk memulihkan ekonomi dengan secepat mungkin.



Sebaliknya berita, rencana dan laporan yang lebih menumpukan kepada ketabahan dan kegigihan penduduk tempatan kita untuk mencari rezeki dan kejayaan pengusaha dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, harus diberikan perhatian yang lebih serius. Ini bukan sahaja dapat merangsang semangat penduduk lain agar tidak mudah berputus asa malahan juga dapat memberikan idea dan alternatif baru kepada mereka untuk mempelbagaikan perniagaan mereka untuk terus kekal dan bertahan dalam bidang mereka masing-masing. Laporan seperti ini adalah lebih positif, bertanggungjawab dan berfaedah kepada para pembaca. Dengan ini para pembaca tidak akan menganggap membaca akhbar sebagai satu hiburan atau mengising masa lapang semata-mata tetapi sebagai satu sumber mendapatkan idea baru dan mengukuhkan semangat dan ketabahan.



Di samping itu kita juga haruslah tidak terikut-ikut dengan cara kewartawanan yang berorientasikan budaya barat yang lebih mengutamakan skandal dan sensasi. Memang benar berita-berita mengenai skandal orang-orang kenamaan seperti pemimpin negara dan bintang filem amat diminati oleh para pembaca dan dapat membantu melariskan akhbar. Pihak media barat sanggup membelanjakan wang ringgit yang banyak untuk mendapatkan berita terkini tentang Puteri Diana dengan mengupah pasukan paparazi contohnya. Ini tidak seharusnya menjadi ikutan atau teladan wartawan kita. Berita-berita berbentuk gossip dan memburuk-burukkan orang-orang tertentu bukan sahaja tidak bertanggungjawab tetepi sedidikit sebanyak membayangkan peribadi kita sendiri. Ia juga secara langsung mengikis nilai-nilai murni yang dimiliki kita selama ini.



Oleh yang demikian, besarlah harapan saya agar para wartawan kita dapat membuat laporan yang tepat, cepat, bertanggungjawab, membina, positif dan membantu ke arah pembangunan negara dan insan.



Saya juga berharap tuan-tuan dan puan-puan akan dapat bergaul rapat dengan semua lapisan masyarakat untuk memahami masalah dan harapan mereka. Saya yakin dengan ini semua lapisan masyarakat, tua dan muda, kaya dan miskin akan turut mendapat tempat di dalam laporan tuan-tuan dan puan-puan dan menjadikan akhbar dan laporan anda benar-benar berjiwa rakyat.



Akhir kata saya sekali lagi mengucapkan syabas kepada tuan-tuan dan puan-puan atas tugas dan tanggungjawab yang telah dilaksanakan. Teruskanlah perjuangan tuan-tuan dan puan-puan dengan penuh keyakinan, positif dan komited. Marilah kita sama-sama membina sebuah negara yang bermartabat tinggi dan disegani dunia.



Sekian dan terima kasih.

Thursday, August 19, 1999

Perjumpaan dengan Persatuan Pemandu Teksi Tawau

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

19hb Ogos 1998





Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli Persatuan Pemandu Teksi Tawau kerana sudi menghadiri perjumpaan ini.



Tuan-tuan yang dihormati sekalian, kegawatan ekonomi yang melanda negara kita telah menimbulkan pelbagai masalah sampingan seperti rompakan, kecurian, serta kes-kes jenayah yang lain. Ini menambahkan bebanan yang dihadapi oleh rakyat.



Pembunuhan serta rompakan terhadap pemandu teksi yang berlaku di Kota Kinabalu baru-baru amatlah menyedihkan kita. Insiden seperti ini bukanlah kali pertama kali berlaku dan ia pernah berlaku di daerah Tawau sendiri. Kita mestilah melakukan sesuatu untuk mengelakkan kejadian seperti ini daripada berlaku.



Oleh yang demikian, adalah menjadi tanggungjawab setiap pemandu teksi agar lebih berhati-hati dan berwaspada apabila mengambil penumpang. Saya tidak bermaksud untuk meminta para pemandu teksi supaya bersikap memilih penumpang, tetapi adalah lebih baik dan bijak supaya kita lebih berwaspada terhadap penumpang-penumpang yang dicurigai. Demi keselematan para penumpang teksi kita haruslah mengelakkan daripada mengambil penumpang yang disyaki atau yang meminta untuk dihantar ke tempat-tempat yang sunyi dan terpencil. Para pemandu teksi juga haruslah mengelakkan daripada beroperasi terlampau lewat pada waktu malam.



Saya juga ingin mencadangkan supaya para pemandu teksi melengkapkan teksi mereka dengan alat siren untuk membolehkan mereka membunyikan siren ketika kecemasan. Penggunaan siren akan dapat membantu para pemandu teksi meminta pertolongan pada ketika kecemasan seperti rompakan, ugutan, kemalangan jalanraya atau apabila berlakunya perkara-perkara yang tidak diingini. Langkah berjaga-jaga ini akan dapat mengurangkan kes rompakan dan pembunuhan pemandu teksi. Siren akan membolehkan teksi berkenaan lebih mudah dilihat dari jauh dan juga lebih mudah didengar.



Di samping itu saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk menyeru kepada para pemandu teksi khasnya di daerah Tawau ini supaya dapat sentiasa menjaga kenderaan mereka agar selamat dan selasa digunakan dan tidak melanggar peraturan jalanraya. Dengan memastikan kenderaan kita sentiasa berada dalam keadaan yang baik akan mengelakkan kita daripada terlibat dalam kemalangan jalanraya kerana kegagalan kenderaan. Perhatian serius terhadap lesen memandu, cukai jalan dan permit juga harus diberikan supaya tidak mengalami kesukaran semasa diperiksa oleh pihak polis mahupun Jabatan Pengangkutan Jalanraya (JPJ).



Saya juga ingin menyeru kepada semua pemandu teksi supaya meningkatkan mutu perkhidmatan mereka dari segi layanan terhadap para penumpang. Layanan baik yang diberikan akan memastikan perkhidmatan teksi terus diminati. Ia juga mengurangkan salah faham di antara penumpang dengan pemandu dan dengan ini mengurangkan kemarahan penumpang.



Akhir kata saya berharap Persatuan Pemandu Teksi Tawau akan meningkatkan program kebajikan mereka untuk menjaga kebajikan para ahli di samping mengeratkan kerjasama dan persahabatan di kalangan ahli supaya persatuan ini akan dapat memainkan peranan yang lebih besar dalam menjaga hak dan kepentingan para pemandu teksi. Dengan ini juga saya berharap bilangan ahli akan bertambah banyak.



Sekian dan terima kasih.

Tuesday, August 17, 1999

Surat Kepada Ketua Menteri Sabah: Penguatkuasa Tanah Simpanan Sungai di Negeri Sabah

17 hb. Ogos 1998





1. Terlebih dahulu saya ingin mengucapkan syabas kepada YAB Tan Sri kerana mengambil berat terhadap ordinan tanah di negeri ini.



2. Sehubungan dengan itu saya ingin meminta agar Tanah Simpanan Sungai dikuatkuasakan untuk menjadi kebersihan sungai terutama sekalinya yang menjadi sumber air minuman.



3. Ini melibatkan tanah simpanan sungai di kedua-dua tebing sungai terutama sekali daripada tempat pengepaman air hingga ke hulu sungai. Mengikut ordinan tanah yang sedia ada setiap sungai mempunyai tanah simpanan sungai sepanjang satu chain, dengan izin, atau 66 kaki, atau dua kali ganda lebar sungai. Tanah Simpanan Sungai ini tidak boleh diusik sama ada dengan mendirikan rumah atau dijadikan tempat pertanian. Ia mestilah dipelihara dalam keadaan semula jadinya. Ini akan memastikan air sungai ini sentiasa bersih sehingga ke tempat pengepaman. Dengan ini air yang dipam untuk dihantar ke loji pembersihan air adalah benar-benar bersih.



4. Dengan penguatkuasaan tanah simpanan sungai ini kebersihan punca air akan lebih terjamin. Walaupun penguatkuasaan undang-undang ini akan menimbulkan berbagai-bagai kerumitan kepada setengah-setengah pihak tetapi demi menjaga punca air yang lebih bersih, demi mengelakkan punca air daripada tercemar dan yang paling penting demi menjadi kesihatan setiap rakyat kita harus berkorban. Mereka yang bercucuk tanam di tepi sungai dan mendirikan rumah berdekatan dengan sungai seharusnya tidak berbuat demikian bermula dari awal lagi kerana mereka memang tahu akan kewujudan tanah simpanan sungai ini.



5. Akan tetapi apa yang menyedihkan ialah kebanyakan tebing sungai didiami atau ditanam dengan pelbagai tanaman. Pembuangan najis, sampah sarap, baja kimia dan racun serangga telah menyumbang kepada pencemaran sungai. Pembersihan tanah berdekatan dengan sungai juga menyebabkan hakisan tanah yang turut mencemarkan sungai. Ini menjadikan air sungai kita kurang selamat untuk diminum.



6. Oleh yang demikian saya ingin mencadangkan supaya pihak berkuasa tempatan, Jabatan Tanah dan Ukur, Jabatan Parit dan Taliair serta Kementerian Sains, Teknologi dan Alam Sekitar mengambil langkah segera untuk memastikan pemuliharaan tanah simpanan sungai ini dikuatkuasakan demi menjaga kebersihan air sungai yang menjadi sumber air makan dan minum kita seharian.



7. Dengan memastikan tanah simpanan sungai ini benar-benar dipelihara kita akan mengelakkan buangan baja kimia, racun serangga, najis serta sampah sarap yang lain daripada mencemari sungai terutama sekali di kawasan punca air. Untuk mempercepatkan proses ini penduduk atau tuan punya ladang atau kebun yang terlibat haruslah menanam pokok-pokok di tebing sungai. Pihak Jabatan Perhutanan, pertubuhan sukarela juga boleh turut membantu dalam usaha memelihara tanah simpanan sungai ini.



8. Saya berharap cadangan saya akan mendapat perhatian dan pertimbangan daripada YAB Tan Sri. Saya dahului dengan ribuan ucapan terima kasih.

Surat Kepada Menteri Kewangan: Tambahan Cukai Rokok

17 hb. Ogos 1998





1. Saya telah membangkitkan perkaran peningkatan bilangan perokok terutama sekali di kalangan remaja dan pelajar sekolah di Dewan Negara baru-baru ini. Ini disebabkan harga rokok sekarang masih lagi rendah dan dapat dibeli oleh kebanyakan orang. Soalan asal saya ditujukan kepada YB Menteri Kesihatan kerana pelbagai usaha dan kempen anti merokok kementerian tersebut belum lagi dapat mengurangkan bilangan perokok.



2. Oleh yang demikian saya telah mencadangkan supaya cukai terhadap rokok dinaikkan dalam belanjawan akan datang. YB Menteri Kesihatan dalam jawapan beliau telah bersetuju supaya cadangan tersebut dirujuk kepada Kementerian Kewangan untuk tindakan selanjutnya.



3. Cadangan menaikkan cukai rokok supaya rokok dijadikan barangan mewah adalah untuk mengelakkan orang ramai daripada terus tertagih terhadap rokok. Dengan cara ini bilangan perokok terutama sekali daripada golongan yang berpendapatan rendah dan golongan pelajar dan remaja akan dapat dikurangkan. Ini akan membolehkan mereka membelanjakan wang rokok mereka terhadap barang-barang yang lebih penting dan lebih diperlukan.



4. Di samping itu, dengan penambahan cukai rokok kerajaan juga akan dapat meningkatkan pendapatan negara. Dalam keadaan kegawatan ekonomi yang sedang dihadapi oleh negara kita, pelbagai langkah dan usaha harus digembeling untuk meningkatkan tabung negara. Pada pendapat saya langkah menaikkan cukai rokok akan turut menyumbang ke arah tersebut.



5. Saya juga tidak lupa bahawa dengan peningkatan cukai rokok akan menambahkan kes-kes penyelupan rokok haram daripada negara jiran. Oleh yang demikian saya berharap agar langkah yang lebih tegas dan berterusan harus dilaksanakan untuk membanteras penyelupan.



6. Selain daripada itu, saya juga mencadangkan supaya kerajaan membernarkan penubuhan kedai rokok bercukai untuk membolehkan perokok membeli rokok import atau daripada negara jiran dengan tidak membeli rokok yang diseludup. Ini adalah satu cara untuk mengurangkan penyeludupan rokok, dan bukannya satu cadangan untuk menggalakkan orang ramai merokok.



7. Saya berharap cadangan saya akan mendapat perhatian dan pertimbangan daripada YAB Dato'. Saya dahului dengan ribuan ucapan terima kasih.











Saturday, July 24, 1999

Crime Among Illegal Immigrants

Press Release

YB Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

July 1998



Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook today welcomes the verdict of the Lahad Datu Magistrate Court for passing a 13 month sentence on two foreigners for fish bombing. He also congratulates the police and the prosecution officer for pressing for the maximum sentence.



Datuk Yee then urged the police and prosecution official to double their efforts in gather more solid evidence in criminal cases involving foreigners. This, according to him, will enable the prosecution in pressing for a more deterrent penalty. Criminal cases involving foreigners like house breaking, robbery, rape, murder etc is on the rise.



The police and prosecution should not be contented when the accused is being charged in court. They should appeal if the sentence passed is not deterrent enough or not able to stop others from committing the same offence. The interests of the general public must be taken into consideration.



Senator Datuk Geoffrey Yee also sited an example of the a recent case where a plantation manager was killed by foreigners in Kunak. He feels that the sentence was too lenient. Despite all the suspects were arrested and have admitted to killing the deceased heavier penalty was not passed. This was due to insufficient prove. He therefore hope the authorities will give special attention to cases similar to this.



Datuk Yee worries that the increase in criminal cases among the foreigners will affect the plantation and agriculture sectors. It will also scare away potential investors to this state. He hopes that the authorities will take appropriate actions in this matter.



Penalty should serve to punish the accused for what he has done and at the same time stops other potential crimes from happening. Thus heavier penalties will help to reduce the number of criminal cases in the state especially those committed by foreigners, added Datuk Yee.



Senator Datuk Geoffrey Yee also urged the public to give their full support to the police in the effort to reduce the criminal case in the state. He also urged the public to do away with their “tidak apa” and “tidak peduli” attitude. This attitude will one day turn against them as the refusal of the public to make report for fear of trouble will only give rise to more crime and we might be the victims one day. Therefore, we need to be more sensitive, concern and responsible to what is happening around us. With greater cooperation between the people and the police will ensure peace in the state to continue.

Kes Jenayah Di Kalangan Pendatang Tanpa Izin

Kenyataan Akhbar

YB Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Julai 1998



Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook mengalukan-alukan keputusan Mahkamah Majistret Lahad Datu yang menjatuhkan hukuman penjara 13 bulan terhadap dua orang pendatang asing yang menjual ikan bom. Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pihak Pengawai Pendakwa yang telah meminta mahkamah untuk menjatuhkan hukuman yang berat terhadap perbuatan mengebom ikan.



Datuk Yee seterusnya menggesa pihak polis serta pendakwaraya agar dapat melipatgandakan usaha mereka dalam mendapatkan bukti yang lebih konkrit dalam kes-kes yang melibatkan pendatang asing. Ini menurut beliau akan membolehkan pihak pendakwaraya meminta mahkamah mengenakan hukuman yang setimpal terhadap pendatang asing yang melakukan kesalahan di negara ini yang semakin berleluasa seperti pecah rumah, rompakan, rogol, bunuh dan sebagainya.



Pihak polis serta pendakwaraya sepatutnya tidak mudah berpuas hati apabila seseorang pesalah itu dijatuhkan hukuman. Rayuan seharusnya dilakukan bagi kes-kes yang hukumannya dianggap tidak setimpal dan tidak memadai untuk dijadikan peringatan kepada orang lain. Kepentingan orang ramai harus juga dipertimbangkan.



Senator Datuk Geoffrey Yee juga mengambil contoh satu kes pembunuhan seorang pengurus ladang di Kunak baru-baru ini yang beliau rasa hukuman yang dijatuhkan kurang setimpal. Walaupun kesemua penjenayah tersebut telah ditangkap dan mengaku salah tetapi hukuman yang dikenankan agak ringan disebabkan kekurangan bukti yang kukuh. Oleh yang demikian beliau berharap pihak yang berkenaan dapat memberikan perhatian yang sepenuhnya supaya penjenayah berkenaan menapat hukuman yang lebih berat.



Datuk Yee juga melahirkan perasaan bimbang beliau bahawa kadar jenayah di kalangan pendatang asing yang semakin bertambah akan menjejaskan sektor perladangan dan pertanian di negeri ini. Ia juga menakutkan pelabur asing yang hendak berlabur di negeri ini. Justeru itu beliau berharap pihak yang berwajib dapat mengambil perhatian yang serius terhadap perkara ini.



Hukuman yang dikenakan seharusnya bukan sahaja membolehkan pesalah menerima denda yang setimpal atas kesalahan yang dilakukan tetapi juga harus menghalang penjenayah lain untuk tidak melakukan kesalahan tersebut. Hukuman yang berat akan membantu mengurangkan kadar jenayah di negeri ini terutama sekali yang dilakukan oleh pendatang asing, tambah Datuk Yee.



Senator Datuk Geoffrey Yee juga menyeru orang ramai agar memberikan kerjasama yang sepenuhnya kepada pihak polis dan pihak berkuasa untuk sama-sama mengurangkan kadar jenayah di negeri ini. Beliau juga menyeru orang ramai supaya mengikis sikap tidak apa dan sikap tidak pedudli. Sikap demikian akan membawa padah kepada diri kita sendiri kerana keengganan orang ramai membuat aduan akan menambakan lagi kadar jenayah dan kita mungkin menjadi mangsanya pada suatu hari akan datang. Oleh itu, kita haruslah lebih peka, prihatin dan bertanggungjawab terhadap apa yang berlaku di sekeliling kita. Dengan kerjasama yang erat di antara orang ramai dengan pihak polis akan memastikan rakyat di negeri ini terus hidup dalam keadaan yang aman dan selamat.



Tuesday, July 20, 1999

Surat Kepada PM: Isu Pencaruman KWSP Pekerja Asing - Cadangan Pekerja membawa balik 11% dan Majikan Menerima Balik 12%

20 hb. Julai 1998



1. Cadangan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan tentang pencaruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di kalangan pekerja asing baru-baru ini supaya semua pekerja asing menikmati kemudahan sama seperti pekerja tempatan iaitu dengan mencarumkan 11% gaji mereka di samping pihak majikan mengeluarkan 12% untuk mereka telah menerima pelbagai reaksi yang kurang menyenangkan.



2. Cadangan ini jika diteruskan akan memperlihatkan ketidak prihatinan pihak kerajaan terhadap masalah yang dihadapi oleh para majikan. Sepatutnya sebarang langkah atau keputusan yang diambil haruslah mengutamakan kepentingan rakyat tempatan dan pihak majikan yang memainkan peranan dalam menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi. Kita juga harus peka terhadap perkembangan semasa agar tindakan yang diambil benar-banar membawa faedah dan kebaikan kepada semua pihak yang terlibat dan bukannya terhad kepada stau-satu pihak tertentu sahaja.



3. Sekalipun pihak majikan diwajibkan untuk mencarumkan 12% daripada gaji pekerja asing mereka ke dalam KWSP ini belum tentu dapat menjamin mengukuhkan kedudukan kewangan negara. Faktor yang paling penting yang perlu kita pertimbangkan ialah mobiliti pekerja. Pekerja asing di negara ini pada ketika ini tidaklah dapat bekerja dengan tetap untuk satu tempoh masa yang panjang. Jika pekerja asing ini kembali ke negara mereka, mereka akan membawa balik 11% daripada gaji mereka dan ditambah pula dengan 12% caruman pihak majikan. Negara kita akan kerugian 12% daripada jumlah gaji pekerja asing ini. Ini merupakan satu jumlah yang amat besar memandang begitu ramai pekerja asing yang terdapat di negara ini.



4. Ini merupakan pengaliran keluar wang negara yang bukan sahaja ingin kita elakkan selama ini malahan dengan sendirinya menggagalkan tujuan asal pelaksanaan pencaruman KWSP pekerja asing. Ini jelas membuktikan bahawa negara bukan sahaja tidak mendapat sebarang faedah daripada dasar ini malah menerima kerugian yang lebih besar. Jika keadaan ini berlaku maka isu ini akan menjadi satu bahan ketawa kepada pihak pembangkang serta musuh negara. Ini dengan sendirinya akan mengurangkan keyakinan rakyat terhadap kebolehan dan kewibaan pihak berkuasa berkenaan.



5. Kita juga sedar bahawa kita tidak boleh mengabaikan sumbangan para pekerja asing terhadap perkembangan ekonomi di negara ini. Kebajikan para pekerja asing tidak seharusnya dilupakan. Akan tetapi masanya tidaklah sesuai dan belum tiba lagi untuk kita mewajibkan pencaruman KWSP terutama sekali pada pihak majikan. Saya berharap pihak kerajaan akan mempertimbangkan semula perlaksanaannya.



6. Oleh yang demikian, jika pihak kerajaan benar-benar yakin bahawa cara ini akan membantu mengukuhkan kedudukan kewangan negara dan pekerja asing yang tidak pernah meminta pencaruman KWSP, saya ingin mencadangkan supaya dasar ini dilaksanakan dengan sedikit pindaan supaya ia lebih menguntungkan semua pihak. Saya mencadangkan supaya pihak pekerja asing tetap mencarumkan 11% daripada gaji mereka dan pihak majikan tetap mencarumkan 12%. Tetapi apabila pekerja tersebut meninggalkan negara ini mereka hanya boleh membawa balik 11% dan faedah yang mereka carumkan selama ini. Manakala 12% dan faedah yang dicarumkan oleh pihak majikan akan dikembalikan kepada pihak majikan.



7. Cadangan ini pada pendapat saya, bukan sahaja dapat menjaga kebajikan pekerja asing tetapi juga dapat mengelakkan pihak majikan daripada terus menanggung bebanan yang berat. Langkah ini juga akan mengurangkan pengaliran wang keluar ke negara asing berbanding dengan cadangan Menteri Kewangan yang asal. Pihak kerajaan masih dapat menggunakan wang tersebut untuk mengukuhkan kedudukan kewangan, menjaga kebajikan pekerja asing, pihak majikan tidak kerugian dan turut membantu untuk memulihkan ekonomi negara. Dengan ini kita telah mewujudkan satu keadaan “Win-Win” atau "Menang-Menang" yang pastinya akan menguntungkan ketiga-tiga pihak kerajaan, majikan dan pekerja asing.



8. Saya berharap cadangan saya akan mendapat perhatian dan pertimbangan daripada YAB Dato'. Saya dahului dengan ribuan ucapan terima kasih.



Friday, July 02, 1999

Lawatan YB Datuk Yong Teck Lee, Presiden SAPP ke Tawau

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

2/7/1998





YB Datuk Yong Teck Lee, President Parti Maju Sabah (SAPP) merangkap Menteri Di Jabatan Ketua Menteri, Para Ahli Majlis Tertinggi, ahli-ahli SAPP, tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian.



Saya terlebih dahulu mengalu-alukan kedatangan YB Datuk Yong Teck Lee untuk beramah mesra dengan semua ahli dan penyokong SAPP di Tawau. Saya juga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua ahli serta penyokong SAPP yang sudi hadir pada hari ini. Kehadiran YB Datuk Yong dengan sendirinya memberikan semangat dan rangsangan kepada kita semua untuk terus berjuang dengan lebih gigih untuk parti, rakyat dan negeri Sabah. Kehadiran tuan-tuan dan puan-puan pula memberikan sokongan yang padu terhadap perjuangan parti dan merupakan satu petanda baik kepada kemenangan kita dalam pilihanraya akan datang.



Tuan-tuan dan puan-puan yang dihormati sekalian, ini merupaka kali pertama YB Datuk Presiden kita melawat Tawau selepas menyempurnakan tugas beliau sebagai Ketua Menteri Sabah. Dengan ini juga beliau mempunyai lebih banyak masa untuk bersama-sama dengan semua ahli parti untuk membincangkan misi dan visi parti di samping berkongsi dengan kita tentang perkembangan politik terkini di negeri ini. Oleh yang demikian saya berharap agar tuan-tuan dan puan-puan akan menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin.



Untuk maklumat semua, semua ahli parti SAPP di Tawau telah bekerja bertungkus lumus untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat dan sentiasa menjaga nama baik parti. Di samping itu juga kita sentiasa mengekalkan malah mengeratkan hubungan baik kita dengan semua parti komponen Barisan Nasional khasnya di Tawau ini. Kerjasama dan persefahaman ini amatlah penting terutama sekali pada ketika kita akan menghadapi pilihanraya negeri.



Akhir kata, saya sekali lagi mengucapkan ribuan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan kepada YB Datuk Yong Teck Lee di atas kesudian beliau untuk datang ke Tawau bagi beramah mesra dengan semua ahli. Semoga parti kita akan terus maju dan memperjuangkan kepentingan rakyat dan mencapai kemenangan besar dalam pilihanraya yang akan datang.



Sekian dan terima kasih.

Thursday, July 01, 1999

Surat Kepada PM: Kadar Bayaran Perkhidmatan FOMEMA

1 hb. Julai 1998



Dukacita dimaklumkan bahawa penglibatan FOMEMA dalam urusan pemeriksaan kesihatan pekerja asing telah menimbulkan banyak kritikan, kemarahan dan ketidakpuas hati pelbagai pibak di negara ini terutama sekali negeri Sabah. Laporan akhbar berkenaan dengan perkara ini yang yang bertambah setiap hari amat membimbangkan serta memalukan.



Bantahan utama ialah kadar perkhidmatan yang dikenakan dianggap terlalu tinggi dan tidak berpatutan terutama sekali ketika negara kita sedang menghadapi kegawatan ekonomi. Banyak pihak sama ada persatuan ataupun individu telah menyuarakan ketidakpuasan kewujudan FOMEMA. Mereka menganggap kewujudan FOMEMA adalah tidak kena pada tempatnya. Keengganan pihak FOMEMA untuk menerima cadangan dan teguran supaya kadar bayaran diturunkan juga dilihat sebagai satu paksaan dan penekanan terhadap para majikan yang bergantung kepada tenaga buruh asing.



Sebagai seorang senator, saya telah banyak kali dikunjungi persatuan-persatuan peniaga dan peladang serta individu mengenai perkara ini. Mereka berharap agar kadar pemeriksaan kesihatan boleh dilakukan secara terus dengan klinik-klinik yang diiktiraf tanpa melalui orang tengah seperti FOMEMA, dengan ini ia akan menjimatkan kos dan juga mengurangkan kerenah pentadbiran yang merumitkan. Jika pengawasan dan penyelarasan FOMEMA benar-benar perlu, adalah diharapkan kadar bayaran dapat dikurangkan ke tahap yang paling minima yang tidak membebankan, serta sesuai serta realistik dengan keadaan ekonomi masa kini.



Kengganan pihak FOMEMA untuk mengkaji semula kadar bayaran telah menyebabkan orang ramai hilang kepercayaan serta meragui keikhlasan pihak FOMEMA. Ini menunjukkan FOMEMA hanya berminat untuk mengaut keuntungan dan mencari kekayaan daripada rakyat jelata yang tersepit dengan kewujudan mereka. FOMEMA juga tidak prihatin terhadap pelbagai sungutan dan bantahan rakyat jelata.



Lantaran daripada itu, isu FOMEMA ini telah dipolitikkan dan menjadi satu isu yang merugikan serta memburukkan imej baik Barisan Nasional jika tidak ditangani dengan segera. Dengan pilihanraya negeri Sabah yang semakin hampir, dan tempoh untuk memperbaharui permit kerja pekerja asing (bulan Ogos 1998) semakin dekat, isu ini perlu diberikan perhatian yang serius dan segera.



Oleh yang demikian, amatlah besar harapan saya agar YAB Dato' Seri dapat mengambil langkah segera untuk mengatasi masalah ini dengan seberapa cepat yang mungkin, seboleh-bolehnya sebelum bulan Ogos 1998. Isu ini jika dapat ditangani dengan baik bukan sahaja akan membawa berita baik kepada banyak majikan di Sabah malah juga menjanjikan harapan yang lebih cerah dalam pilihanraya negeri yang akan datang.



Wednesday, May 12, 1999

Dewan Negara - Soalan-Soalan Bertulis

Senator Datuk Geoffrey Yee minta Menteri Pendidikan menjelaskan

a. Memandangkan semakin ramain pendatang asing yang memasuki negara kita telah menyebabkan kekurangan tempat di sekolah-sekolah di negeri Sabah terutama sekali di Tawau. Kemeneterian Pendidikan juga telah membuat satu kaji selidik tentang hal ini dan mengenakan yuran kepada mereka. Oleh itu berapakah bilangan pendatang asing yang sedang menuntut di negeri Sabah dan berapakah jumlah bayaran yang telah berjaya dikutip daripada pelajar-pelajar ini?



b. Masalah kekurangan guru di negeri Sabah belum dapat diselesaikan dengan memuaskan. Kebanyakan sekolah mempunyai guru sementara atau guru sandaran tidak terlatih. Ada juga sekolah yang mempunyai guru yang cukup tetapi tidak mengikut bidang pengkhususan dan menyebabkan berlebihan guru untuk mata pelajaran tertentu dan menimbulkan masalah kekurangan guru bagi mata pelajaran yang lain. Oleh itu apakah tindakan yang telah dan akan diambil untuk mengatasi kekurangan guru berpengalaman serta mengikut pengkhususan di sekolah-sekolah di Tawau dan adakah pihak kementerian bercadang untuk memberikan latihan perguruan kepada guru sandaran tidak terlatih yang sedia ada.



Senator Datuk Geoffrey Yee minta Menteri Pendidikan menjelaskan

Kegawatan ekonomi telah menyebabkan banyak perbelanjaan dan peruntukan dikurangkan.

a. Adakah pengurangan peruntukan kepada sekolah-sekolah lantaran daripada kegawatan ekonomi akan menjejaskan pentadbiran sekolah, proses pengajaran dan pembelajaran, prestasi guru serta pelajar?



b. Adakah kerajaan akan meneruskan rancangan untuk membina sebuah maktab perguruan di Tawau, dan bilakah ia akan dilaksanakan?



Senator Datuk Geoffrey Yee minta Menteri Pengangkutan menjelaskan

a. Saya difahamkan banyak syarikat penerbangan menawarkan perkhidmatan telefon di dalam penerbangan mereka. Kenapakah perkhidmatan MASFONE tidak diperkenalkan kepada penerbangan dalam negeri dan adakah pihak MAS mempunyai rancangan untuk berbuat demikian pada masa hadapan?



b. Pada masa kerajaan sedang giat menggalakkan rakyat Malaysia membeli barangan buatan Malaysia, pihak MAS masih manawarkan buah-buahan import seperti buah kiwi dan orange dalam penerbangannya dan tidak menggunakan buah-buahan tempatan? Adakah buah-buahan tempat tidak setanding dengan buah-buahan luar negeri?



Senator Datuk Geoffrey Yee minta Menteri Kerjaraya menjelaskan

a. Laporan akhbar menyebut bahawa Kementerian Kerjaraya bercadang untuk menyediakan empangan air pada setiap 50km di negeri-negeri di Semenanjung sebagai salah satu langkah untuk mengatasi masalah kekurangan air. Adakah pihak kementerian ada menyediakan peruntukan khas untuk rancangan yang sama di negeri Sabah, kerana negeri Sabah juga tidak terkecuali daripada masalah ini?



Senator Datuk Geoffrey Yee minta Menteri Dalam Negeri menjelaskan

a. Banyak usaha telah dilakukan untuk mengurangkan kemasukan pendatang tanpa izin tetapi masih kurang berjaya. Adakah kerajaan bercadang untuk mengenakan hukuman sebat mandatory terhadap pendatang tanpa izin?



b. Jumlah banduan di penjara Tawau telah bertambah dengan begitu banyak dan melebihi had penampungan sebenar. Adakah kerajaan bercadang untuk membesarkan penjara Tawau, dan adakah kerajaan bercadang untuk mengenakan hukuman bentuk lain selain daripada penjara terhadap pendatang tanpa izin untuk mengatasi masalah kesesakan penjara di samping mengurangkan perbelanjaan kerajaan?



Senator Datuk Geoffrey Yee minta Menteri Perusahaan Utama menjelaskan

a. Baru-baru ini Menteri Perusahaan Utama telah mengetuai satu rombongan ke negeri China dan negara lain untuk menjalankan promosi hasil buatan daripada koko. Apakah hasil daripada promosi jualan koko di negeri China?






Soalan-Soalan Tambahan

Selasa, 12 Mei 1998 2.30 petang

Dewan Negara Yang Kesembilan

Mesyuarat Pertama

Penggal Yang Keempat



Soalan 6

Adakah benar guru-guru yang ditempatkan di sekolah-sekolah pedalaman kurang komited terhadap tugas mereka kerana tidak suka dengan penempatan mereka, permohonan pertukaran mereka ditolak, kekurangan kemudahan asas seperti flat guru dan ketiadaan peluang melanjutkan pelajaran? Ini secara tidak langsung telah menyumbangkan kepada kelemahan pencapaian pelajar bumiputera yang kebanyakannya tinggal di kawasan luar bandar.



Soalan 11

Akibat daripada kegawatan ekonomi, adakah kerajaan akan melakukan apa saja semata-mata untuk memastikan Wawasan 2020 tercapai tepat pada masanya atau akan membiarkan ia mengambil masa yang lebih panjang?



Soalan 12, 15

Adakah pengambilan guru sementara untuk mengisi kekurangan guru-guru mata pelajaran bahasa Cina dan Tamil telah menjejaskan mutu pengajaran dan pembelajaran di sekolah-sekolah berkenaan?



Soalan 16

Kerajaan pernah mengakui bahawa rancangan pemulihan penagih dadah di pusat Serenti di negara ini telah gagal. Adalah pusat-pusat serenti di negara ini masih mengamalkan cara dan konsep yang sama atau adakah langkah dan pendekatan yang baru diperkenalkan?



Soalan 16

Apakah punca utama berlakunya kekecohan di pusat-pusat serenti dan kenapakah semakin ramai penghuninya yang berjaya melepaskan diri daripada pusat pemulihan ini?



Soalan 18, 31, 33

Sebagai langkah mengurangkan kemasukan pendatang tanpa izin, adakah cadangan Perdana Menteri dalam satu sidang akhbar baru-baru ini bahawa pendatang tanpa izin mungkin dirotan terlebih dahulu sebelum dihantar balik ke negara asal mereka akan dilaksanakan oleh kerajaan?



Soalan 22

Adakah peluang golongan berpendapatan rendah untuk mendapatkan rawatan di hospital kerajaan menjadi semakin sukar dengan bertambahnya kemasukan pendatang tanpa izin ke negara ini?



Soalan 10 (m.s. 19)

Apakah langkah Kementerian Kesihatan dalam menggalakkan para doktor untuk berkhidmat lebih lama di kawasan pedalaman terutama sekali di negeri Sabah dan Sarawak supaya tidak menjadikan tempat-tempat ini sebagai tempat latihan tambahan atau tempat menimba pengalaman semata-mata dan menyebabkan pesakit-pesakit di kawasan tersebut sentiasa dirawat oleh doktor-doktor muda yang kurang berpengalaman?



Soalan 16

Salah satu daripada tujuan kerajaan membina litar perlumbaan kereta di negara ini adalah untuk mengurangkan perlumbaan haram. Sejauh manakah gejala lumba haram telah dapat dibendung atau dikurangkan dengan adanya litar perlumbaan ini?



Soalan 20, 21, 22

Adakah kesilapan mengisi borang kemasukan universiti atau UPU seperti yang telah diumumkan oleh YB Menteri Pendidikan pada 7hb Mei 1998 berpunca daripada borang yang terlalu rumit, buku panduan yang kurang jelas atau kelewatan para pelajar mendapatkan borang dan terpaksa mengisinya dengan tergesa-gesa?



Soalan 50

Apakah hasil daripada Kempen Kesedaran 30 Hari tentang penggunaan perisian komputer yang tulen yang berakhir pada 8 Mei 1998 dan apakah langkah kementerian seterusnya selepas kempen ini?






Soalan-soalan Tambahan

Rabu, 13 Mei 1998 2.30 petang

Dewan Negara Yang Kesembilan

Mesyuarat Pertama

Penggal Yang Keempat



Soalan 4

Apakah sebab utama kerajaan tidak menerima cadangan Menteri Sains Teknologi dan Alam Sekitar supaya ISA dikenakan terhadap mereka yang terlibat dalam pembakaran terbuka?



Soalan 18,33

Adakah kerajaan bercadang menurunkan kadar bayaran telefon dan internet apabila lebih banyak ISP atau pembekal perkhidmatan internet mula beroperasi di negara ini, sebagai langkah untuk menggalakkan penambahan langganan internet?



Soalan 20

Apakah kesan sosial terhadap pelajar-pelajar institusi tinggi yang menghabiskan masa mereka di “Cybercafe” dan adakah kerajaan bercadang untuk mengawasi mereka?



Soalan 25

Adakah arahan Kementerian Penerangan supaya semua stesen televisyen menyiarkan rancangan tempatan pada waktu “prime time” telah menjejaskan kutipan iklan TV dan mengurangkan penonton?










Selasa 4hb Ogos 1998



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Pendidikan menyatakan

a. bilangan pendatang tanpa izin/asing yang sedang menuntut di negeri Sabah dan berapakah jumlah bayaran yang telah berjaya dikutip daripada pelajar pendatang tanpa izin/asing ini?



b. Apakah langkah segera yang diambil oleh kementerian untuk mengatasi kekurangan tempat di sekolah rendah dan menengah yang berlaku pada setiap tahun di Tawau?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Pendidikan menyatakan

a. Apakah tindakan yang telah dan akan diambil untuk mengatasi kekurangan guru berpengalaman di sekolah-sekolah di Tawau dan adakah pihak kementerian bercadang untuk memberikan latihan perguruan kepada guru sandaran tidak terlatih yang begitu ramai di sekolah-sekolah rendah dan menengah?



b. Adakah pengurangan peruntukan kepada sekolah-sekolah lantaran daripada kegawatan ekonomi akan menjejaskan pentadbiran sekolah, pengajaran dan pembelajaran serta prestasi pelajar-pelajar?





Rabu 5hb Ogos 1998



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Pengangkutan menyatakan

a. Dengan terbukanya KLIA sebagai salah sebuah Lapangan Terbang termoden di dunia, perkhidmatan di dalam penerbangan MAS juga seharusnya diperkemas dan dipertingkatkan. Kenapakah perkhidmatan MASFONE tidak diperkenalkan kepada penerbangan dalam negeri dan adakah pihak MAS mempunyai rancangan untuk berbuat demikian pada masa hadapan?



b. Kenapakah dalam kehangatan kerajaan menggalakkan pembelian barangan buatan Malaysia, pihak MAS masih manawarkan buah-buahan import seperti buah kiwi dan oren dan tidak menggunakan buah-buahan tempatan?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Pengangkutan menyatakan

a. Pemeriksaan keselamatan di Lapangan Terbang sentiasa menjadi perhatian orang ramai. Adakah kerajaan serta pihak berkuasa sedar bahawa dengan membenarkan alat-alat seperti telefon bimbit, kamera dan alat elektronik yang lain dikecualikan daripada “security screening” merupakan satu kelonggaran atau "loop hole" yang boleh membawa padah kepada keselamatan penerbangan serta memberi peluang kepada penyeludupan melalui peralatan ini? Apakah langkah kerajaan untuk membetulkan perkara ini?





Khamis 6hb Ogos 1998



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Timbalan Menteri Dalam Negeri menyatakan

a. Adakah kerajaan bercadang untuk membesarkan penjara Tawau memandangkan jumlah banduan yang ada sudah melebihi kapasiti yang sebenar?



b. Adakah kerajaan bercadang untuk mengenakan hukuman bentuk lain selain daripada hukuman penjara terhadap pendatang tanpa izin sebagai menyahut seruan perbelanjaan berhemat di samping mengatasi kesesakan penjara?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Kesihatan menyatakan

a. Penswastaan pemeriksaan kesihatan pekerja asing kepada FOMEMA telah menimbulkan bantahan dan sunggutan banyak pihak di negara ini. Ini menjadi lebih teruk ketika hampir semua syarikat swasta mengalami masalah ketika kegawatan ekonomi. Atas alasan apakah FOMEMA diberikan kebenaran untuk menjalankan operasinya secara monopoli sehingga mengenakan kadar bayaran yang amat tinggi dan tidak menasabah.



b. Berapa ramaikah pekerja asing yang dijangka akan diperiksa oleh FOMEMA, berapa banyakkah keuntungan yang dijangka akan diperolehi oleh FOMEMA dan siapakah pengarah FOMEMA?






Isnin 10hb Ogos 1998



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Kesihatan menyatakan

a. Pelbagai kempen anti merokok serta tanda dilarang merokok di tempat-tempat awam dan bangunan berhawa dingin nampaknya tidak mengurangkan bilangan perokok di negara ini. Adakah kerajaan bercadang untuk menambahkan cukai ke atas rokok untuk menjadikan harga rokok lebih tinggi dan menjadikannya sebagai barang mewah, sebagai langkah untuk mengurangkan bilangan perokok terutama sekali perokok remaja?



b. Adakah kerajaan sedar bahawa dengan penjelasan dan laporan media yang menyeluruh tentang dadah seperti pil khayal telah secara tidak langsung menimbulkan rasa ingin cuba di kalangan remaja dan ini merupakan satu pengiklanan yang tidak langsung? Adakah kerajaan bercadang untuk memastikan laporan media tidak memberikan kesan sampingan terhadap pembaca atau penontonnya?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Penerangan menyatakan

a. Pelbagai rancangan dan iklan di televisyen seringkali menonjolkan gaya hidup barat serta cara hidup golongan mewah. Ini telah menggalakkan penduduk negara ini terutama sekali golongan remaja terikut-ikut dengan gaya hidup yang bertentangan dengan nilai moral negara kita. Penonjolan gaya hidup mewah juga tidak langsung membantu untuk menyampaikan mesej kerajaan supaya semua rakyat lebih berhati-hati berbelanja ketika negara kita sedang menghadapi kegawatan ekonomi. Adakah kementerian ini bercadang untuk mengkaji semula rancangan dan iklan yang ditayangkan supaya lebih realistik dan bersesuaian dengan perkembangan semasa?



Selasa 11hb Ogos 1998



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Perdana Menteri menyatakan

a. Dengan perlantikan Tan Sri Bernard Gilok Dompok sebagai Ketua Menteri Sabah yang baru telah melengkapkan satu pusingan penggiliran Ketua Menteri Sabah di antara kaum Bumiputera Islam, Cina dan Bumiputera bukan Islam. Penggiliran Ketua Menteri ini telah dapat diterima dengan baik oleh rakyat negeri Sabah. Adakah sistem ini akan diteruskan selepas pilihanraya negeri Sabah yang akan datang?






Soalan-Soalan Tambahan



4hb Ogos 1998 Selasa 2.30 petang



Soalan Kedua

Memandangkan keadaan kekurangan tempat di sekolah-sekolah di Tawau berlaku pada setiap tahun adakah ini telah menjejaskan pembelajaran pelajar-pelajar?



Apakah punca sebenar berlakunya kekurangan tempat duduk di sekolah-sekolah rendah dan menengah di Tawau? Dan kenapakah keadaan ini dibiarkan berlaku secara berterusan untuk sekian lama?



Apakah langkah yang diambil oleh kerajaan untuk memastikan kekurangan tempat duduk di sekolah-sekolah tidak menjejaskan peluang anak-anak tempatan untuk mendapatkan pelajaran yang sempurna di sekolah?





Soalan Ketiga

Saya difahamkan bahawa Maktab Perguruan Sandakan akan ditutup kerana masalah dan alasan tertentu. Tidakkah dengan menutup maktab perguruan ini akan memburukkan lagi kekurangan guru terlatih di negeri Sabah ini?



Adakah masalah yang dihadapi oleh Maktab Perguruan Sandakan terlalu rumit sehingga terpaksa ditutup? Tidakkah ada cara lain untuk menyelamatkan maktab ini daripada ditutup apatah lagi pada ketika kegawatan ekonomi sekarang ini?



Dengan tertutupnya Maktab Perguruan Sandakan adakah kerajaan akan mempercepatkan pembinaan sebuah maktab perguruan di Tawau seperti yang pernah dijanjikan?







6hb Ogos 1998 Khamis 2.30 petang



Soalan Pertama

Adalah difahamkan bahawa kira-kira 85% daripada banduan-banduan di Penjara Tawau terdiri daripada pendatang asing. Perbelanjaan untuk banduan-banduan ini adalah amat tinggi. Apa yang lebih menyedihkan lagi ialah ramai di antara banduan-banduan ini masih lagi menunggu perbicaraan. Pada masa kita terpaksa berjimat-cermat, keadaan yang berlaku di penjara bukan sahaja merugikan kita malahan menjejaskan kewibawaan dan kecekapan pihak-pihak yang terlibat. Oleh yang demikian,



a. Adakah kerajaan bersetuju bahawa bilangan banduan di penjara mestilah dikurangkan?



b. Adakah kerajaan bersetuju bahawa perbicaraan tahanan ini harus disegerakan supaya mereka ini tidak ditahan terlampau lama sementara menunggu perbicaraan mereka?



c. Adakah kerajaan bersetuju bahawa hukuman alternatif perlu dicari untuk mengelakkan kesesakan penjara, seperti denda, rotan dan sebagainya?







Soalan Kedua

Dalam kegawatan ekonomi sekarang kita haruslah berjimat seberapa banyak yang boleh. Dalam konteks FOMEMA,

a. Adakah di antara butiran pemeriksaan yang tersenarai boleh dikurangkan supaya bayarannya boleh dikurangkan daripada yang telah ditetapkan sekarang ini?



b. Adakah di antara butiran pemeriksaan yang tersenarai boleh diperiksa selama dua tahun sekali dan bukannya secara tahununan supaya bayarannya dapat dikurangkan?



c. Adakah kita lebih memberatkan kesihatan pekerja asing sedangkan penduduk tempatan sendiri tidak diwajibkan untuk berbuat demikian? Saya percaya ramai di antara Yang Berhormat yang berada di dalam dewan yang mulia ini juga tidak menjalankan pemeriksaan kesihatan secara tahunan.



d. Kita percaya bahawa salah satu sebab FOMEMA mengenakan bayaran yang tinggi ialah kerana mereka terpaksa membelanjakan berjuta-juta ringgit untuk menyediakan pejabat, makmal pemeriksaan dan sebagainya pada peringkat permulaan. Adakah FOMEMA masih perlu mengenakan bayaran yang tinggi pada tahun yang kedua dan tahun-tahun berikutnya kerana mereka sudah mendapat keuntungan yang diperlukan pada tahun pertama?








Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Belia dan Sukan menyatakan bahawa kejayaan Malaysia menganjurkan Kuala Lumpur 98 Sukan Komanwel Ke-16 telah menunjukkan Malaysia memang berbolehan dalam apa juga bidang dan lapangan. YAB Perdana Menteri telah menyatakan hasrat untuk menganjurkan Sukan terbesar di dunia iaitu Sukan Olimpik pada tahun 2008.



a. Apakah kekurangan yang ada pada kita yang menyebabkan kita belum lagi cukup syarat untuk menganjurkan sukan tersebut dan apakah langkah-langkah yang telah dan akan diambil untuk melayakkan kita menganjurkan sukan tersebut?



b. Apakah rancangan yang telah disediakan untuk menggunakan kemudahan yang sedia ada, terutama sekali kemudahan yang telah disediakan semasa Sukan Komanwel yang lalu, bagi mempertingkatkan mutu sukan di negara ini?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Perdana Menteri menyatakan bahawa perkembangan politik semasa menunjukkan bahawa ada kalangan pemimpin negara bukan sahaja terlibat dalam kes-kes rasuah malah terjerumus dalam perbuatan seks yang memalukan bangsa, negara dan agama. Setakat ini kerajaan hanya meminta mereka mengistiharkan harta untuk mengelakkan daripada gejala rasuah.



a. Adakah kerajaan bercadang untuk meminta pemimpin negara dan ketua jabatan turut menyampai laporan kesihatan tahunan untuk menunjukkan mereka sihat dan bebas daripada penyakit seperti virus HIV?



b. Adakah kerajaan bercadang untuk meminta semua wakil rakyat untuk menjalani pemeriksaan kesihatan pada setiap tahun seperti mana yang telah disyaratkan terhadap pekerja warganegara asing?





Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Penerangan menyatakan bahawa terlalu banyak laporan negatif yang telah disiarkan dalam media asing terutama sekali berkenaan dengan isu ekonomi dan politik akhir-akhir ini. Kebanyakan berita yang disiarkan bukan sahaja palsu, fitnah dan berat sebelah malah mengancam kestabilan negara. Media asing juga jelas dilihat sebagai diperalatkan oleh golongan atau orang tertentu untuk kepentingan dan niat jahat.



a. Apakah tindakan kerajaan terhadap media asing yang membuat laporan sedemikian, dan apakah tindakan terhadap wakil media asing yang ada juga merupakan rakyat negara ini?



b. Adakah pihak kerajaan bercadang untuk memperbaiki hubungan dengan negara luar dalam usaha memberikan gambaran perkembangan semasa negara yang lebih tepat dan mendapat liputan berita yang lebih bertanggungjawab daripada media asing?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Kerjaraya menyatakan bahawa dalam persidangan Parlimen yang lalu kita telah membahaskan dengan panjang lebar tentang masalah air dan sungai. Pelbagai janji telah dibuat.



a. Apakah tindakan yang telah diambil setakat ini semenjak persidangan yang lalu dalam usaha menyediakan air paip yang mencukupi?



b. Jika ada tindakan yang telah diambil, apakah hasil daripda tindakan yang telah diambil setakat ini?





Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Kerja Raya menyatakan bahawa terdapat peruntukan untuk melapis semula atau "resurface" jalan raya untuk satu tempoh yang tertentu. Kadang-kadang jalan raya yang dilapis semula tidak terdapat sebarang kerosakan dan kerja ini amat membazir terutama sekali semasa kita perlu berjimat cermat dalam perbelanjaan kita.



a. Adakah pihak kementerian mempunyai cadangan untuk mengubah peraturan yang sedia ada bagi membolehkan peruntukan ini disalurkan bagi kerja-kerja pembaikan jalan raya yang lebih diperlukan?



b. Adakah pihak kementerian bercadang untuk menurunkan kuasa kepada ketua pejabat JKR tempatan bagi menentukan sama ada peruntukan untuk melapis semula jalan raya dapat dipindahkan jika jalan tersebut masih lagi sempurna untuk digunakan?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Sains Teknologi dan Alam Sekitar menyatakan bahawa ketika negara kita menghadapi masalah jerebu pembakaran secara terbuka menjadi satu isu yang amat besar dan hukuman yang berat telah dicadangkan.



a. Ketika masalah jerebu tidak lagi mengancam negara kita adakah kerajaan masih meneruskan kegiatan untuk mengesan pembakaran terbuka?



b. Apakah difinisi dan takrif sebenarnya bagi pembakaran terbuka?



Datuk Geoffrey Yee Lung Fook minta Menteri Di Jabatan Perdana Menteri menyatakan berapa ramaikah Ahli Dewan Negara yang belum mencukupi umur 55 tahun apabila bersara?



a. Adakah kerajaan bercadang untuk memberikan pencen kepada Ahli Dewan Negara sebaik sahaja mereka bersara walaupun mereka belum menjakau umur 55 tahun? Ini memandangkan mereka yang telah berkhidmat selama dua penggal tidak mungking dilantik sebagai Ahli Dewan Negara lagi.



b. Adakah tingkah laku, hal ehwal dan kebajikan Ahli Dewan Negara turut dijaga selepas mereka bersara?



Sunday, April 11, 1999

Majlis Kesyukuran dan Suaikenal

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

11hb April 1998

Dewan SRJK( C ) Yuk Chin, Tawau.





Tuan-tuan dan puan-puan yang saya hormati, terlebih dahulu saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan berbanyak-berbanyak terima kasih kerana sudi meluangkan masa untuk menghadiri majlis Kesyukuran dan Suaikenal ini. Lebih membanggakan saya lagi ialah dapat beramah mesra dengan begitu ramai pegawai kerajaan negeri dan persekutuan, pemimpin-pemimpin masyarakat dan ketua-ketua berbagai-bagai pertubuhan swasta dan sosial di Tawau.



Sememangnya itulah tujuan utama majlis kita pada malam ini. Saya berharap melalui majlis kita pada malam ini kita semua dapat mengambil kesempatan ini untuk bersuaikenal dan beramah mesra di antara satu sama lain, bertukar-tukar pendapat dan pandangan serta mengenali dengan lebih mendalam akan tugas dan tanggungjawab semua pihak. Jika wujud perasaan salah sangka selama ini di antara satu agensi dengan agensi yang lain, saya harap perasaan salah sangka ini dapat diselesaikan dan dikikis sama sekali.



Tidak dapat dinafikan setiap orang mempunyai peranan, tugas dan tanggungjawab masing-masing untuk sama-sama memastikan kemajuan daerah Tawau dan taraf hidup penduduk Tawau terus terjamin malah dipertingkatkan. Saya sendiri memikul tanggungjawab yang sama sebagai seorang senator. Akan tetapi tanpa kerjasama yang erat daripada semua pihak adalah mustahil kita dapat berjaya. Tanpa hubungan dan kerjasama yang rapat di antara setiap agensi kerajaan dan swasta termasuk pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan adalah sukar untuk kita membawa kemajuan dan pembangunan terutama sekali kepada daerah Tawau ini.



Maka dengan kesedaran ini saya mengambil inisiatif dan kesempatan ini untuk menganjurkan majlis Kesyukuran dan Suaikenal ini. Adalah menjadi harapan saya agar tuan-tuan dan puan-puan dapat mengambil peluang ini untuk berbincang, berunding dan bertukar-tukar pandangan akan masalah yang dihadapi, memberikan cadangan dan pendapat baru untuk sama ada menyelesaikan masalah yang sedia ada mahupun mengambil langkah dan tindakan yang baru bagi kebaikan daerah Tawau dan penduduknya. Saya bersedia menerima pendapat, cadangan dan pandangan daripada tuan-tuan dan puan-puan sekalian. Saya bersedia membawa masalah dan aspirasi rakyat Tawau ke Parlimen. Saya berharap dengan cara yang lebih berpadu dan kolektif ini kita akan lebih berjaya.



Sebagai seorang senator yang baru sahaja dilantik, saya tidak mahu berucap dan bercakap panjang lebar di sini, kerana saya mempunyai masa tiga tahun untuk bercakap dan berucap. Saya juga tidak mahu membuat janji-janji yang banyak. Tetapi ini tidak bermakna saya cuba lari daripada tugas dan tanggungjawab saya. Saya akan jalankan tugas saya dan memaklumkan kepada semua selepas kerja itu dilaksanakan. Saya tidak mahu janji-janji saya nanti menjadi janji kosong. Saya ingin memulakan tradisi yang baru ini iaitu cakap selepas kerja bukan cakap sebelum kerja. Saya rasa cara ini lebih tepat dan realistik. Saya berharap tuan-tuan dan puan-puan akan menjadi saksi tentang apa yang akan saya lakukan dan menjadi saksi kepada apa yang akan kita sama-sama jayakan untuk kepentingan dan kebaikan penduduk di daerah Tawau ini.



Satu perkara yang harus kita ingat iaitu kita semua ini bukanlah orang yang serba boleh atau “superman”. Sama ada kita seorang senator, wakil rakyat, pemimpin masyarakat, ketua-ketua jabatan atau apa sekalipun pangkat dan jawatan yang kita pegang, kita tidak mungkin dapat melakukan segala-galanya. Kita tidaklah sempurna. Tetapi yang penting bagi kita ialah, kita mestilah mempunyai semangat, mempunyai keazaman, mempunyai kegigihan dan keinginan yang kuat untuk melakukan yang terbaik. Kita mestilah sentiasa mencuba sedaya upaya untuk menghasilkan kualiti kerja yang terbaik. Itulah yang akan saya lakukan dan saya rasa itulah juga yang akan dilakukan oleh semua pemimpin yang ada di sini pada malam ini.



Akhir kata, saya sekali mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua yang hadir. Tidak lupa juga kepada mereka yang memberikan ucapan tahniah sama ada secara telefon, iklan akhbar dan sebagainya, saya turut menyatakan merakamkan setinggi penghargaan dan berbanyak-banyak terima kasih. Saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kepada semua hadirin sekalian yang telah memberikan sokongan, dorongan, teguran dan pandangan kepada saya selama ini. Saya berharap sokongan, dorongan, teguran dan pandangan seperti ini akan terus diberikan untuk membolehkan saya bekerja dengan cekap dan cepat. Saya juga berharap hubungan muhibbah yang terjalin pada malam ini akan membolehkan kita berkerjasama dengan lebih erat dan efisen. Marilah kita sama-sama menjadikan dearah Tawau ini satu daerah yang lebih aman, makmur dan harmoni.



Sekian dan terima kasih.

Thursday, April 01, 1999

Ucapan Dewan Negara: Isu Pencaruman KWSP Pekerja Asing

Ucapan Senator Datuk Geoffrey Yee Lung Fook

Parlimen Kesembilan, Penggal Keempat, Dewan Negara

1998



Tuan Yang di-Pertua, pada ketika negara kita sedang menghadapi kegawatan ekonomi, pihak kerajaan mencuba sedaya upaya untuk memulihkan keadaan ekonomi. Langkah dan tindakan yang diambil oleh kerajaan setakat amatlah kena pada tempatnya dan dialu-alukan. Ini menunjukkan kerajaan benar-benar ikhlas dan komited dalam hal ini.



Akan tetapi cadangan YAB Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan tentang pencaruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di kalangan pekerja asing baru-baru perlu diteliti sehalus-halusnya sebelum dilaksanakan. Cadangan supaya semua pekerja asing menikmati kemudahan sama seperti pekerja tempatan iaitu dengan mencarumkan 11% gaji mereka di samping pihak majikan mengeluarkan 12% untuk mereka telah menerima pelbagai reaksi yang kurang menyenangkan.



Tuan Yang di-Pertua, saya sedar bahawa dengan memestikan setiap pekerja asing mencarum 11% daripada gaji mereka dan mewajibkan pihak majikan memberikan 12% untuk pekerja berkenaan akan dapat membantu mengukuhkan rezeb negara serta membantu mempercepatkan pemulihan ekonomi negara. Timbalan Menteri Kewangan YB Datuk Wong See Wah, ketika melawat Tawau baru-baru ini juga telah menyatakan bahawa tindakan kerajaan ini adalah untuk meminjam wang tersebut bagi kegunaan kerajaan dan tidak memberikan kesan yang buruk terhadap kita. Beliau juga menegaskan bahawa pekerja asing memang berhak untuk menikmati kemudahan yang sama seperti pekerja tempatan.



Pada pendapat saya, pencaruman sebanyak 11% daripada pihak pekerja memanglah patut kerana ia adalah untuk kebaikan dan kebajikan pekerja tersebut di samping dapat membantu negara tempat mereka bekerja. Malahan pencaruman 12% daripada pihak majikan juga dianggap baik jika negara kita tidak menghadapi kegawatan ekonomi dengan banyak syarikat terpaksa ditutup, diambil alih, mengurangkan operasi serta berada dalam keadaan yang tenat.



Tindakan ini bukan sahaja tidak membantu mempercepatkan pertumbuhan ekonomi terutama sekali pada sektor perladangan dan pertanian yang bergantung kepada tenaga buruh asing, malah akan menambahkan kos tanggunggan dan masalah pekerja yang kian meningkat yang belum lagi dapat ditangani dengan baik. Ini lebih-lebih lagi dengan pembayaran levi yang tinggi serta penglibatan FOMEMA dalam pemeriksaan kesihatan pekerja asing. Kedua-dua isu ini belum lagi diselesaikan dengan memuaskan dan kini para majikan dihantui pula dengan isu yang baru.



Tindakan ini jika diteruskan akan memperlihatkan ketidak prihatinan pihak kerajaan terhadap masalah yang dihadapi oleh para majikan. Sepatutnya sebarang langkah atau keputusan yang diambil haruslah mengutamakan kepentingan rakyat tempatan dan pihak majikan yang memainkan peranan dalam menyumbang ke arah pertumbuhan ekonomi. Kita juga harus peka terhadap perkembangan semasa agar tindakan yang diambil benar-banar membawa faedah dan kebaikan kepada semua pihak yang terlibat dan bukannya terhad kepada stau-satu pihak tertentu sahaja.



Jika YAB Perdana Menteri menyeru pihak kakitangan awam agar mengemaskinikan perkhidmatan mereka dengan tidak melengahkan kelulusan sesuatu permohonan di samping mengurangkan kerenah pentadbiran di sektor awam, kita juga seharusnya meringankan bebanan yang sedang ditanggung oleh pihak majikan, sejajar dengan kehendak dan seruanYAB Perdana Menteri Malaysia.Semua pihak harus peka dan perihatin dan janganlah tergesa-gesa untuk melaksanakan sesuatu dasar yang dilihat sebagai bertentangan atau kurang sesuai pada situasi ekonomi masa kini.



Tuan Yang di-Pertua, sekalipun pihak majikan diwajibkan untuk mencarumkan 12% daripada gaji pekerja asing mereka ke dalam KWSP ini belum tentu dapat menjamin mengukuhkan kedudukan kewangan negara. Faktor yang paling penting yang perlu kita pertimbangkan ialah mobiliti pekerja. Pekerja asing di negara ini pada ketika ini tidaklah dapat bekerja dengan tetap untuk satu tempoh masa yang panjang. Jika pekerja asing ini kembali ke negara mereka, mereka akan membawa balik 11% daripada gaji mereka dan ditambah pula dengan 12% caruman pihak majikan. Negara kita akan kerugian 12% daripada jumlah gaji pekerja asing ini. Ini merupakan satu jumlah yang amat besar memandang begitu ramai pekerja asing yang terdapat di negara ini.



Ini merupakan pengaliran keluar wang negara yang bukan sahaja ingin kita elakkan selama ini malahan dengan sendirinya menggagalkan tujuan asal pelaksanaan pencaruman KWSP pekerja asing. Ini jelas membuktikan bahawa negara bukan sahaja tidak mendapat sebarang faedah daripada dasar ini malah menerima kerugian yang lebih besar. Jika keadaan ini berlaku maka isu ini akan menjadi satu bahan ketawa kepada pihak pembangkang serta musuh negara. Ini dengan sendirinya akan mengurangkan keyakinan rakyat terhadap kebolehan dan kewibaan pihak berkuasa berkenaan.



Saya sedar bahawa kita tidak boleh mengabaikan sumbangan para pekerja asing terhadap perkembangan ekonomi di negara ini. Kebajikan para pekerja asing tidak seharusnya dilupakan. Akan tetapi masanya tidaklah sesuai dan belum tiba lagi untuk kita mewajibkan pencaruman KWSP terutama sekali pada pihak majikan. Saya berharap pihak kerajaan akan mempertimbangkan semula perlaksanaannya.



Tuan Yang di-Pertua, jika pihak kerajaan benar-benar yakin bahawa cara ini akan membantu mengukuhkan kedudukan kewangan negara dan pekerja asing yang tidak pernah meminta pencaruman KWSP, saya ingin mencadangkan supaya dasar ini dilaksanakan dengan sedikit pindaan supaya ia lebih menguntungkan semua pihak. Saya mencadangkan supaya pihak pekerja asing tetap mencarumkan 11% daripada gaji mereka dan pihak majikan tetap mencarumkan 12%. Tetapi apabila pekerja tersebut meninggalkan negara ini mereka hanya boleh membawa balik 11% dan faedah yang mereka carumkan selama ini. Manakala 12% dan faedah yang dicarumkan oleh pihak majikan akan dikembalikan kepada pihak majikan.



Tuan Yang di-Pertua, cadangan ini pada pendapat saya, bukan sahaja dapat menjaga kebajikan pekerja asing tetapi juga dapat mengelakkan pihak majikan daripada terus menanggung bebanan yang berat. Langkah ini juga akan mengurangkan pengaliran wang keluar ke negara asing berbanding dengan cadangan Menteri Kewangan yang asal. Pihak kerajaan masih dapat menggunakan wang tersebut untuk mengukuhkan kedudukan kewangan, menjaga kebajikan pekerja asing, pihak majikan tidak kerugian dan turut membantu untuk memulihkan ekonomi negara. Dengan ini kita telah mewujudkan satu keadaan “Win-Win” atau "Menang-Menang" yang pastinya akan menguntungkan ketiga-tiga pihak kerajaan, majikan dan pekerja asing.



Tuan Yang di-Pertua, saya mohon disokong. Sekian dan terima kasih.